RABU 6 JAN 2010
Hari ini hari jadi isteriku, semalam ku belikan peti sejuk sebagai hadiah harijadinya. Sampai di sekolah, selepas punch card, kuperhatikan pelajar di perhimpunan, memang sikap pelajar tak pernah berubah, selalu datang lewat dan melanggar peraturan sekolah. Sebagai guru kita kena sabar dalam mendidik mereka, bertindak mengikut garis panduan kalau tidak akan disaman di mahkamah atau dikerjakan oleh ibu bapa. Sabarlah wahai guru sekelian.
Jam 8.00 pagi semakin ramai guru dibilik guru dan masuklah Cikgu Mat Ghani, Us.Zainuri, Cikgu Rosli dan beberapa orang guru lagi. Entah macam mana keluar tajuk jumpa bomoh. Saya kata "sesiapa yang pergi berjumpa bomoh yang tidak berlandaskan al-Aquran dan menujum, maka solatnya 40 hari tak diterima oleh Allah dan sesiapa yang mempercayai ahli nujum atau bomoh tersebut maka ia syirik. Cikgu Mat Ghani tercengang kerana ia disahkan oleh Us.Zainuri.
Jam 12.oo tengahari, sekali lagi berbincang tajuk jumpa bomoh dan ramai contoh bomoh dirujuk termasuk bomoh di kampungku(Kg.Rengas) iaitu Pak Ku Sulaiman atau terkenal dengan gelaran Tok Wak Ratu Jawa. Memang aku tahu benar dengan bomoh ini dan insya Allah jika saya sihat sepenuhnya nanti saya akan berjuang menghapuskan kepercayaan karut ini walaupun ditentang oleh orang kampung. Jangan takut kepada makhluk tetapi takut hanya kepada Allah.
Cikgu Mat Ghani bertanya kepada Us.Dasuki betulkan seperti apa yang saya cakap pagi tadi, Us. Dasuki mengiyakan dan tambah tercengahlah lagi Mat Ghani. Saya menjelaskan yang lepas tu biarlah, kita bertaubat, tetapi masa depan janganlah lagi kita berbuat demikian, Kita perlu memahami apa itu mukjizat, karamah dan istidraj. Istidraj ialah pemberian oleh Allah kepada seseorang untuk menyesatkan lagi orang tersebut termasukalah memberi kelebihan ilmu ghaib kepadanya.
Kemudian masuk pula Us.Sukri, saya bertanya apakah hukumnya merokok, Us.Sukri menjelaskan mengikut fatwa Majlis Fatwa ianya haram kerana mencampak diri kita ke arah kerosakan kerana merokok berbahaya kepada kesihatan. Maka berlakulah perdebatan hangat antara Ustaz Syukri dengan Cikgu Mat Ghani, seorang perokok tegar. Kesimpulannya merokok haram jika asap rokoknya mengganggu orang lain. Saya terpaksa pulang kerana isteri dah sampai menjemput saya pulang..........jumpa lagi esok jika panjang umur..
Sesampai di rumah, lenguh seluruh betis saya dan saya minum sirap morfin, cadangan ke HUSM nak ambil surat sara ubat dibatalkan, wakil isteri ambilnya sambil bayar roadtax kereta.
Pn.Saimah PPD telefon beritahu Ketua Sektor Unit Kaunseling nak ziarah saya petang esok. Datanglah rumah saya sentiasa terbuka.
Jam 7.30 petang, kawanku Razali Samat dan pengetua SMK Tanah Merah 2. Cikgu Daud ziarahku dan solat maghrib di rumahku.
Selepas kawanku pulang, betisku kembali lenguh dan ia begitu teruk sehingga kedua-dua anakku memabaca yasin dan Mek dan Ayah mengajar mengucap. Isteriku hanya berderai dengan air mata.....................Akhirnya aku tertidur selepas aku paksa diri untuk solat Isyak.
Ya Allah ampunkan dosaku sepanjang hari ini.......Berilah hidayahMu dan jauhkan aku dari godaan syaitan dan selamat dari azab nerakaMu...........
No comments:
Post a Comment