Jam dah menunjukkan pukul 1.20 pagi, mata tak mahu lelap lagi. Pagi tadi saya telefon kawan saya Cikgu Azmi, kawan seuniversiti dulu nak bertanya khabar kerana dia keluar Tabligh 40 hari di Cameron Highland. Berita sedih yang ku dengar, dia kehilangan anak lelakinya dalam kemalangan jalan raya kelmarin. Inilah dugaan Allah, anak yang dipinjamkannya telah diambil kembali, betapa remuknya hati si bapa tetapi siapalah kita untuk menahan takdir Allah. Sekalung takziah untuk kawanku Azmi, tabahkan hati, hidup ini sementara cuma, kita semua akan kembali menemui Pencipta.
Sejak akhir-akhir ini saya terlalu rindu kepada Jemaah Tabligh yang saya ikuti semasa di Universiti Malaya dulu. Nikmatnya iman, ilmu dan amal yang diperjuangkan oleh Tabligh. Mungkin juga saya dah jemu dengan pertelingkahan PAS dan UMNO. Tak habis-habis. Dulu PAS marahkan UMNO bersahabat dengan MCA dan MIC dalam BN tetapi sekarang PAS pula berpakat dengan DAP dan PKR dalam PAKATAN RAKYAT. Beginikah sepakterajang politik, oleh sebab itu saya tak suka berpolitik, hari ini cakap lain, esok cakap lain, Saya pernah berjuang untuk menghidupkan solat 5 waktu di surau kampung saya tetapi gagal, hiduplah jemaah sedia ada iaitu Maghrib, Isyak dan Subuh. Keluarga saya pula risau dengan perjuangan saya.
Perjuanganku berjaya membawa anak muda ke surau tetapi bila kupergi semula ke universiti, merekapun hilang entah ke mana.
Berbalik kepada penyakitku, saya masih lagi bergantung kepada morfin untuk menahan sakit. Ubat Sunatinib yang berharga RM17140.00 sebulan belum dibeli kerana saya nak tahu hukum ubat tersebut kerana ia berbentuk kapsul. Saya dah telefon Pfizer dan mereka beritahu ia dari gelatin lembu. Jadi saya telefon Tok Guru Hj.Husin Lubuk Tapah Pasir Mas dan dia kata boleh, saya lihat laman web JAKIM, pun dibolehkan atas dasar darurat. InsyaAllah hari Isnin ni saya akan ambil no.akaun Pfizer dan masukkan duit untuk beli ubat tersebut. Pusingan kedua, Suttent Assistance Program berjanji akan beri sehingga tuntutan saya dengan Kementerian Pelajaran diluluskan.
Saya juga dah telefon Ketua Sektor Unit Akaun JPN Kelantan suruh dia uruskan tututan saya yang dah 2 tahun tak dibayar lagi berjumlah RM 30,000.000 lebih. Kalau dapat boleh buat modal. Tengok keadaan, kemungkinan besar saya akan adu kes ini ke Biro Pengaduan Awam jika tuntutan saya tak dibayar Disember ini.
Petang tadi Emak Saudara saya, Mak Nah dan anaknya Che Jah datang ziarah saya. Alhamdulillah masih ramai saudara mara yang ingatkan saya. Begitu juga teman sekerja di SMK Bachok dan SMK Kandis serta jiran sekampung. Jenuh dibuatnya dulu isteri saya menyediakan air untuk tetamu, tetapi sabar kerana kita dapat pahala, merekapun dapat pahala.
Pagi tadi saya marahkan Pengusaha batu blok depan rumah saya yang mencanai tiang larik dah habuknya menyelubungi rumah saya, tetapi saya luahkan kemarahan di depan Mek dan Ayah saja. Saya telefon SU Majlis Daerah Bachok tetapi tak dapat, esok saya atau isteri akan telefon lagi kerena pengusaha itu telah berjanji tidak mahu mencanai lagi di depan rumah saya. Kalau MDB tak mahu ambil tindakan saya akan panggil TV3 buat liputan, biar heboh seluruh Malaysia. Sebenarnya dah 4 kali saya lapor masalah ini kepada MDB, saya dah lapor ke Jabatan Alam Sekitar tetapi saya batalkan bila ia pindahkan mesin penggaul simen dari depan rumah saya. Tetapi nampaknya tak boleh berlembut lagi, saya dah bersedia untuk saman di mahkamah. Saya kalau tak selesai, saya akan saman pengusaha batu-bata dan MDB.
Berbalik kepada tajuk saya, Hiduplah Berjemaah, sebenarnya saya menyesal tinggalkan Jemaah Tabligh selepas kahwin. Dulu semasa di Sabah, saya ada juga ikut Usrah dan JIM tetapi sejak balik ke Kelantan, kebobrokan politik di Kelantan menyebabkan saya mendiamkan diri. Keinsafan datang hanya setelah Allah memberi peringatan dengan mendatangkan penyakit kanser ini. Maafkan aku Ya Allah. Kawanku Cikgu Azmi pagi tadi juga telah memberitahuku bahawa Ahli Tagligh seuniversiti dulu iaitu Muzammil telah meninggal dunia akibat kanser rektum. Semoga Allah tempat ia bersama para Nabi, Rasul dan solehin. Amin........................
SELAMAT TAHUN BARU HIJRAH- SEMOGA KITA SEMUA BERHIJRAH KE ARAH MELAKSANAKAN SEGALA PERINTAH ALLAH DAN MENINGGALKAN SEMUA LARANGANNYA.
Jam dah pukul 2.00 pagi, saya nak telan susu lebah sebagai makanan tambahan, ikhtiar di samping ubat mahal tu.
Wasallallahu ala Muhammad, waala alihi wasahbihi wabarik wasallam. walhamdulillah hi rabbil alamin.
No comments:
Post a Comment