Friday, September 17, 2010

Beraya di Wad - Sabarlah


Hari ini Jumaat, selapas Solat Subuh di Masjid Bachok bersama-sama anak-anak, ku mendengar Rancangan Tanyalah Ustaz TV9 bertajuk Jiwa Kosong. Sungguh meresap hati ceramah yang disampaikan. Kedua-dua  orang anakku pergi menziarahi kubur arwah ibunya sementara ku akan pergi sekejap lagi selepas rancangan ini.
Semalam seluruh tubuhku sakit-sakit terutama di betisku kerana kelmarin ku pergi ke Bukit Keluang Beach Resort kerana menghadiri Hari Keluarga sekolahku. Ku tertidur dalam menahan kesakitan di betisku. Entah bagaimana caranya untuk ku menghilangkan lenguh di betis ini, Prof. Biswal dah bagi ubat saraf tetapi nampaknya tidak berkesan dan terpaksalah juga ku ambil morfin. Bisul di dadaku dah setahun tetapi belum juga sembuh-sembuh, terpaksalah mencucinya setiap hari.
Pada petang Hari Raya, anak seorang pesakit kanser usus datang ke rumahku membeli Susu Lebah. Ayahnya dah agak teruk, kansernya menyerang kalenjar di pipi dan otak. Kanser memang senang merebak kerana ia merebak melalui darah. Pengesanan  awal Insya Allah boleh menyelamatkan pesakit daripada menderita akibat kanser.
Pengalaman saya sebagai pesakit Kanser Perut, cukup menyeksakan. Sakitku bermula dengan gastric akibat selalu makan Ponstan kerana saya sering diserang migraine. Kemudian makan minum tak terjaga kerana sibuk mengurus arwah isteri yang menderita kanser payu dara. Akhirnya ku muntah darah dan dibedah. Ku disahkan kanser peringkat IV.

Pelbagai prosedur dah ku lakukan, Endoskopi, CT Scan, Gastroscopi, Fistulagram, Fluroskopy, Barrium follow through, PET Scan selain kimoterapi, tambah darah, air dan ubat tahan sakit. Tubuh pula  dah tak terbilang lagi  jumlah ditusuk jarum.
Prosedur PET Scan ku lakukan di Hospital Besar Pulau Pinang pada Mei 2008. Jarum di tangan dimasukkan jam 9.00 pagi tetapi ubat masih berada di Singapura. Jam 12.00 baru ubat nuklear sampai di lapangan terbang dan diiringi doctor ke hospital dan terus dimasukkan ke dalam tubuhku. Seluruh tubuh terasa panas. Sejam kemudian ku dimasukkan ke dalam mesin dan seluruh badan diimbas. Sel kanser dah merebak ke hati sebanyak 7 cm.
Kini ku sedang menunggu ubat Sutent yang berharga RM17650.00 sebulan. Ubat ini dah terputus selama 4 bulan kerana tuntutan ku dengan Jabatan Perkhidmatan Awam lambat diluluskan. Beginilah nasib pegawai kerajaan.
Namun kini ku pasrah kepada Ilahi, bukan ubat yang menyembuh tetapi Allah yang menyembuhkan kita.
Kepada pesakit kanser dan keluarga, sabarlah kerana Allah bersama orang-orang yang sabar.

Wassalam.

2 comments:

CT said...

moga allah permudahkan perjalan hidup...tabah mghadapi dugaan Allah...setiap ujian ada hikmahNya

zaini said...

Firman Allah dalam Surah al-Mulk bermaksud: Allah menjadikan hidup dan mati untuk menguji siapakah yang lebih baik amalannya.

Dunia ini pentas ujian.

Innalillahi wainna ilai hi rajiuun.