SYAWAL MENJENGAH LAGI!!!
Hari ini 1 Syawal 1431H(2010), ku tersedar dari tidur jam 5 pagi. Seluruh tubuhku terasa sakit hingga terpaksa meminta pertolongan isteri untuk memicit seluruh tubuhku. Kemudian ku gagahkan diri untuk Mandi Sunat Hari Raya Aidilfitri dan Solat Subuh berjemaah bersama isteri dan anak-anak. Cadang nak ke masjid tetapi hujan pula dan isteri pula nak membuat persiapan raya.
Ku bertakbir membesarkan kalimah Allah, tanda kemenangan umat Islam mengharungi ketabahan berpuasa selama sebulan walaupun ku sendiri tak dapat berpuasa kerana Kanser Perutku.
Tahun ini isteri bersedia untuk beraya, Ketupat ditempah walaupun sekarang dah RM 1 sebiji, kalau masa ku kecil dulu, emak yang buat sendiri, kami akan ke rumah datuk di Jelawat mencari daun palas untuk dibuat pembalut ketupat. Susahnya hidup masa itu, untuk ke rumah datuk kami terpaksa berjalan kaki sejauh 7 km, sepanjang jalan kami akan mencari buah-buah hutan untuk dimakan dalam perjalanan seperti buah kemunting dan buah kerian. Untuk ke rumah datuk mesti melalui sebatang sungai. Ayah akan mengendong kami adik beradik seorang demi seorang melintasi sungai melalui titi daripada pokok nibong. Begitulah susahnya hidup kami pada masa itu, Alhamdulillah, kini semua itu dalam kenangan. Kami 8 beradik, 3 berkelulusan university, seorang diploma perguruan, seorang sijil IKBN dan Cuma seorang suri rumah sepenuh masa, bukan dia tak pandai, SPM Pangkat 1 tetapi Cuma nak kahwin cepat. Jadilah isteri peneroka. Seorang adik lelaki ku telah dipanggil Penciptanya semasa berumar 25 tahun pada tahun 2002. Moga rohnya dicucuri rahmat. Begitu juga Arwah isteriku yang meninggal pada tahun 2003 akibat kanser payu dara. Moga damailah ia di alam sana.
Kenangan Syawal 1430 H masih segar dalam ingatan. Pada hari raya bisul ku dicuci oleh doktor setelah hampir sebulan berada di dalam wad. Terpaksalah isteri dan mak serta anak-anak berpuasa dalam wad. Ku masih ingat betapa sakitnya bila doktor menghiris kulit di dadaku dengan pisau bagi membuang sel-sel yang mati di sekitar bisul di dadaku. Ku pegang katil, kutahan nafas, kemudian barulah Doktor Fatin menghiris perlahan-lahan kulitku. Begitulah setiap hari bisul ku dicuci dalam wad Bila bisul dah mula bersih, Jururawat pula yang mengambil alih mencucinya. Pada masa itu ku dirawat oleh jururawat pelatih dariapada Kolej Islam dan Teknologi(KIST) Bachok. Sebenarnya KIST terletak berhampiran sekolahku; SMK Kandis, Bachok.Kelantan.
Selepas keluar wad, ku cuci pula bisul di dadaku di Klinik Kesihatan Bachok pada setiap hari. 3 bulan ku berulang-alik ke Klinik tersebut dan sampai kini ku masih mengambil peralatan cuci(dressing set) daripada klinik tersebut. Hampir semua kakitangan klinik tersebut ku kenal.
Jam dah menunjukkan 7.00 pagi, sekian untuk entri kali ini, ku nak buat persediaan untuk pergi Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri di kampung ku; Kg.Rengas, Bachok,Kelantan.
Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin kepada semua pembaca website ku. Terima kasih atas sokongan kalian. Kepada Cancer Survivor, bersabarlah. Ingatlah sesudah kesusahan itu pasti ada kesenangan. Insya Allah. Assalamualaikum warahmatullah hi wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment