Aku amat beruntung walaupun sakit, masih ada isteri, emak dan ayah yang menjagaku. Jika aku dimasukkan ke wad, ibuku sentiasa bersama denganku di wad, isteriku bila pulang kerja, terus ke wad dan tidur dalam wad bersama Mak di atas simen wad, jam 6.30 dia akan pergi terus kerja. Kedua-duanya banyak berkorban untukku dan anak-anak. Ayah pula memasak dan menjaga anakku yang bersekolah, hampir setiap hari Ayah dan anak-anakku akan melawatku di hospital. Banyak duit yang keluar tapi rezeki di tangan Allah, Dia telah tentukan sejak azali cuma kita kena usaha mencarinya.
Sudah 2 tahun lebih emak dan ayah tidur di rumahku menjagaku. Waktu pagi emak jaga kerana isteri kerja, ayah pulang rumah urus rumah dan peliharaannya. Mereka tidak lagi bertani sejak aku sakit. "Ya Allah kau ampunilah dosa kedua ibu bapaku dan kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihaniku"
Anakku seorang akan menduduki PMR tahun ini. Aku rasa bagitu bersalah kerana tidak dapat mengajarnya kerana aku sakit.Isteriku dan bapa saudaranya berkongsi hantar kelas malam dan tuisyen. Seorang lagi tingkatan 2. Aku berdoa moga mereka menjadi anak soleh dan berjaya dalam hidup.
Adik-adikku semua kerja jauh tetapi mereka kerap balik melawatku. Aku sebenarnya amat menyayangi adik-adikku cuma memang dari dulu aku tak suka bergurau dengan adik-adik, tapi abang mana yang tak sayang adik. Sebagai anak sulung akulah sumber "rujukan" mereka.
Aku juga amat beruntung kerana keluarga isteriku juga mengambil berat tentangku, mereka sanggup menghulurkan bantuan apa saya kepada aku dan keluargaku.
No comments:
Post a Comment