Semalam aku cuma tidur 45 minit, kemudian terkebil-kebil, sementara keluarga lain tidur nyenyak. Satu poin di dada kiriku terasa sakit dan cadang nak jumpa Pakar Onkologi, Dr. Biswal, tapi selepas zikir aku rasa ia tak perlu lalu aku gunakan biodisc, rasa ok sikit.
Temujanji dengan Pakar Psikologi Kanser, Profesor Madya Dr.Hasanah masih lambat kerana aku terlepas temujanji akibat dimasukkan ke wad selama 26 hari akibat sakit perut. Dr.Hasanah banyak memberiku semangat untuk melawan kanser kerana dia juga pesakit kanser payudara, begitu juga suaminya kanser usus. Tahun kedua aku diserang kanser, aku begitu tertekan dan dia banyak mendengar luahan perasaanku dan memberiku kekuatan.
Walaupun aku tertekan dengan sakitku dan terpaksa bercuti kerja hampir 2 tahun, aku terima takdir ini kerana salah satu Rukun Iman ialah Percaya kepada Qada dan Qadar .
Firman Allah bermaksud " Sesungguhnya orang-orang yang berdosa berada dalam keadaan sesat di dunia dan di akhirat pula mereka berada dalam api neraka. Semasa mereka diseret di dalam neraka dengan tertiarap atas muka serta dikatakan kepada mereka: "Rasalah kamu bakaran api neraka". Sesungguhnya kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir yang telah ditentukan." (Surah al-Qamar : 47 - 49)
Hadis Nabi s.a.w. bermaksud:" Allah telah menetapkan qadar bagi makhluk-makhluk ini 50,000 tahun sebelum menjadikan langit dan bumi". (Riwayat Muslim dan Tirmizi)
Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w. duduk dan ditangannya ada sebatang kayu digunakan untuk mencungkil tanah, lalu baginda mengangkat kepalanya dan berkata: Tidak ada seorang pun daripada kalangan kamu melainkan telah diketahui tempat tinggalnya sama ada di dalam neraka atau syurga. Para sahabat bertanya : Wahai Rasulullah! Kalau begitu mengapa kami perlu beramal? Tidak bolehkah kami berserah kepada qada dan qadar Allah sahaja? baginda menjawab: Beramallah, setiap kamu dipermudahkan beramal mengikut qadar yang telah ditetapkan."
Namun begitu kita kena berusaha kerana kita tidak tahu qadar kita.
Menolak qadar yang telah berlaku dengan qadar lain yang boleh menolaknya seperti menolak qadar sakit dengan qadar berubat spt sabda Nabi s.a.w. " Berubatlah wahai hamba Allah! Sesungguhnya tidak menjadilah penyakit melainkan Dia menjadikan ubatnya melainkan satu penyakit yang tidak ada ubatnya. Mereka bertanya: Apakah dia Wahai Rasulullah? Baginda menjawab : Sakit tua." ( Riwayat Ahmad dan lainnya)
Rasulullah s.a.w. telah bersabda dalam sebuah hadis bermaksud:
"Mukmin yang kuat adalah lebih dikasihi oleh Allah S.W.T. daripada mukmin yang lemah. Di dalam setiap satunya ada kebaikan. Berhati-hatilah terhadap perkara yang boleh mendatangkan manfaat kepada engkau, mintalah pertolongan kepada Allah. Sekiranya engkau ditimpa oleh sesuatu musibah, maka janganlah engkau berkata: Sekiranya aku lakukan ini maka inilah yang akan berlaku. Akan tetapi katakanlah apa yang menimpa aku adalah qadar Allah dan Dia berhak melakukan apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya "kalau" boleh membuka amalan syaitan" (Riwayat Muslim)
Setelah manusia mengerahkan tenaganya dan berlaku sesuatu kepadanya kerana usahanya sereta musibah itu tidak dapat dihindarnya maka ia perlu berkata : Qadar Allah, Dia melakukan apa yang dikehendaki-Nya. Pada ketika ini dia perlu bersabar dan redha terhadap qadar yang telah ditetapkan oleh Allah, dia perlu tunduk kepada kehendak Allah dan tidak boleh menyerah iri kepada perasaan runsing dan sedih.
Firman Allah S.W.T. bermaksud:
" Tiada satu bencana pun yang menimpa di bumi dan tidak pula pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab(Luh Mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah(Kami jelaskan yang demikian itu ) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput daripada kamu dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepada kamu. Dan Allah S.W.T. tidak suka setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri"
(surah al-Hadid:22-23)
No comments:
Post a Comment