Wednesday, July 22, 2009

Pembedahan Kanser Perut

18 Nov.2006 begitu menguji kesabaran dan keimananku. Aku akan dibedah selepas disahkan mengidap kanser perut melalui CT Scan. Aku taklah takut sangat wp doktor mengatakan ia pembedahan besar kerana dari endoskopi perutku mengalami pendarahan akibat gastrik yang teruk selepas aku mengalami gastrik hampir 5 tahun. Aku terkena gastrik kerana selalu sangat makan PIL PONSTON kerana sakit kepala. Rupa-rupanya mataku yang rabun jauh, tapi dah terlambat, bila aku pakai cermin mata, sakit kepalaku hilang .Aku dirujuk ke pakar gastrologi tapi malang nasibku (sudah takdir) aku terkena juga kanser. Pakar bedah mengatakan ini adalah takdir kerana aku telah berusaha mengawal gastrikku, mungkin juga tekanan hidup menyebabkan gastrikku makin teruk.

Pembedahan berjalan lancar. Selepas pembedahan membuang separuh perut dan separuh saluran makanan selama 9 jam, aku dimasukkan ke ICU. Aku masuk bilik bedah jam 1 pm dan jam 2 aku mula dibius di hidung, aku mengucap, adakah aku berpeluang melihat dunia ini lagi.
Jam 9 pm aku siap dibedah dan diletakkan di bilik pemulihan. Jam 12 baru aku dimasukkan ke ICU. Aku antara sedar dengan tidak tetapi waktu dinihari, aku terasa sungguh sakit. Aku berselawat dan membaca Quran dalam hati kerana mulut dan seluruh tubuhku dipenuhi wayar/tiub.
Esoknya jam 2 petang aku dipindahkan ke wad pemerhatian dan diberi morfin untuk menahan sakit. Aku mengalami halusinasi bila mata dipejam, oleh itu aku hanya menekan butan morfin bila terlalu sakit.
Dadaku ditebuk untuk dimasukkan susu(TPM), seminggu kemudian baru aku boleh makan bubur.
Setelah 18 hari dalam wad aku dibenarkan keluar dan dapatlah aku berjumpa ibu, ayah dan mertua serta emak saudara isteri yang nak ke Mekah, aku dan isteri terpaksa batalkan pemergian kami kerana pembedahan tersebut. Inilah dinamakan tak sampai seru lagi atau takdir Ilahi walaupun tiket penerbangan ke Mekah sudah kami terima dari Tabung Haji. Kami berdoa agar satu hari nanti bila aku sembuh, aku dan isteri akan mengerjakan haji ke Mekah yang menjadi rukun Islam kelima.

Sebulan aku diberi cuti, awal 2007, aku ke sekolah dan mengajar seperti biasa tetapi tidak lagi secemerlang dahulu. Aku tidak diberi tugas yang berat.
Bulan 3 2007 aku dirujuk ke klinik Onkologi(Kanser). Doktor memaklumkan kos ubatku RM 70 ribu. Aku termenung. CT Scan menunjukkan kanser sudah merebak ke hati sebanyak 2 cm, kemudian Ct Scan berikutnya naik ke 4 cm.

Kanser merupakan penyakit berbahaya yang punca sebenar belum diketahui dan kos rawatannya begitu mahal.

No comments: