Tuesday, May 5, 2015

Kanser Yang Penuh Kontroversi

  • . Bukti arkeologi menunjukkan kanser telah dihidapi oleh manusia sejak zaman Firaun lagi. Kalau dalam masyarakat Melayu Kelantan mereka memberi pelbagai nama seperti barah, "orang baik" dan entah apa-lagi. Biasanya ia dirawat dengan herba seperti pokok sarang semut, kulat susu harimau, Raja Satung dan sebagainya.
  • Kini pelbagai herba didakwa boleh mengubat kanser seperti keladi tikus,pokok rerama, biji aprikot, ekstrak nenas(brombolin(ejaan tak pasti), buah durian belanda yang dikatakan 1000 kali lebih kuat dari kemoterapi ( dikata pembohong oleh drzubaidi.blogspot.com).
  • Ini belum termasuk produk-produk kesihatan yang berlambak dengan pelbagai dakwaan.
  • Sebenarnya berdasarkan pengalaman arwah isteriku dulu yang menjalani rawatan alternatif sebelum mendapat rawatan hospital, ku kurang tertarik walaupun ada juga yang ku cuba bila terdesak.
  • Penjual produk terakhir ialah air kangen, tetapi bila diuji airnya dan air penapis saya hampir sama pHnya, saya cuma minum air saya, kerana penapis airnya beribu juga. Saya tertarik dengan group ini https://www.facebook.com/pages/Pseudoscience-Watch/402738909901198?fref=ts

Jumpa Teman Lama

  • Hari ini ku keluar awal menunggu kereta sewa(teksi) di hadapan rumahku kerana jika lambat susah nak dapat kereta. Awal pagi kereta agak mudah dapat kerana pada masa inilah mereka mengambil pelajar sekolah atau para pekerja pejabat atau peniaga. 
  • Nasib ku baik kerana tak lama menunggu telah dapat teksi dan bila sampai ke hospital terus ambil darah dan kemudian baru bersarapan.
  • Sementara menunggu keputusan darah dari makmal, ku ambil ubat gastrik di farmasi.
  • Bila ku pergi untuk mendapatkan keputusan ujian darah, ku jumpa rakan sekelasku dulu dan kemudian menjadi rakan sejawat di sekolah . Dia pernah membuang sebelah payudaranya akibat kanser payudara pada tahun 2000. Kini sebelah lagi payudaranya terpaksa dibuang kerana kanser merebak. "Nasib kita serupa" katanya. " Sabarlah, dah nasib kita" ku cuba mententeramkan dia walaupun ku juga sebenarnya agak tertekan. 
  • Dia dimasukkan darah sebelum dikemoterapi kerana mungkin kekurangan darah.
  • Kelmarin ku dikunjungi oleh pembaca blogku. Ayahnya baru saja meninggal dunia akibat kanser limpoma. Katanya blogku banyak yang boleh dikongsi oleh pesakit kanser. Ku harap juga begitu.
  • Ahad lepas ku ziarah rakan sejawat yang terpaksa dipotong kakinya kerana kencing manis. Begitulah perjalanan hidup ini, semuanya dah ditentukan, kita cuma berusaha sekadar termampu.
  • Jam 11.00 pagi, result darah keluar dan ku dibenarkan untuk sambung makan ubat Nexavar. 
Sekian, Wassalam.

Sunday, January 25, 2015

Peringkat Penyakitku

  • Bulan Januari hampir penghujungnya, Ubat kemoterapi yang sepatutnya ku makan telah habis kerana bekalannya belum tiba. Maknanya sebelum ubat Nexavar sampai, ku rehatlah dariapada memakan ubat yang mahal tu...............
  • Masalahnya sekarang fistulaku(lubang yang bersambung ke perut)  selalu sakit terutama apabila lubang tempat keluarnya cairan daripada perut tertutup. Apabila ianya tertutup, kerana terlalu sakit, terpaksalah ku tebuk sendiri menggunakan jarum.
  • Ku pernah makan jus epal yang dicampur dengan 100 helai daun belalai gajah tetapi selapas memakannya , lubang tertutup dan akibat sakit melampau, maka ku berhentilah.
  • Sebenarnya dah banyak yang ku cuba rawatan alternatif untuk mengubat penyakitku. Antaranya: 
  1. Air zam-zam, air pertama ku minum selepas pembedahan.
  2. Alphalipid - Diperkenalkan oleh seorang nazir yang melawat sekolahku. Ku makan lima tin yang berharga Rm150.00 setin. Penjual tu beritahu anaknya kanser payu dara dan bila ambilnya ia beransur sembuh. Mungkin ia ketumbuhan biasa kerana ia tak buat biopsi di hospital sedangkan ku makan, sel kanser makin merebak apabila di buat ct- san. Maka ku berhenti memakannya terutama selepas ku mula makan ubat kimo Glivec kerana doktor bimbang ubat itu akan kurang berkesan kalau dimakan dengan ubat tambahan lain.
  3. Apabila penyakitku tak juga sembuh, ku makan pula Susu kuda asli yang berhanrga rm10.00 sebtol saiz vitagen, entah berapa botol ku tak ingat lagi dah. Ku juga makan kapsul susu kuda.
  4. Madu haula, jus Mahabbah dan talbinah.
  5. Telur Penyu
  6. Keladi tikus dalam bentuk kapsul
  7. Ayam organik HPA
  8. Labu Kayu
  9. Bunga kenerak
  10. Buah juju
  11. Daun belalai gajah
  12. Aprikot 
  13. Susu lebah(Royal jelly)
  14. Buah goji
  15. Minyak ikan
  16. Hari ini tukang urutku memperkenalkan air Kangen, RM15 sebotol, ku cubalah walaupun ku dah ada mesin penapis air Swisspro.
  •  Kini yang terus ku amalkan ialah susu kambing dan kadang-kadang ku makan royal jelly dan minyak ikan serta buah goji.
  • Tujuan ku bercerita di sini adalah untuk berkongsi pengalaman dengan pesakit yang menghadapi penyakit yang sama dan mungkin kita boleh berkongsi derita agar keperitan sakit ini berkurangan.  
Gambar perkembangan bisulku.




 Gambar di atas ialah bisul yang membengkak sebelum pecah.



 Gambar di atas ialah bisul selepas pecah dan dihiris oleh doktor sel-sel yang mati ditepinya.Sangat menyakitkan.




 Gambar di atas ialah cecair yang keluar daripada bisul ddanterpaksa dicuci di klinik berhampiran setiap hari. Hampir sebulan berulang-alik sebelum ku cuci sendiri.


 Gambar di atas menunjukkan bisul dah semakin sembuh tetapi lubangnya tidak tertutup dan cecair dan darah selalu keluar melaluinya. Doktor telah memasukkan tiub melalui dan mendapati ia bersambung dengan perut dan cecair yang keluar adalah zat-zat makanan. Biopsi yang dibuat menunjukkan ianya adalah sel -sel kanser yang merebak.Apabila lubang itu tertutup ia begitu sakit kerana cecair dari perut tersekat untuk keluar. 

Moga Allah memberi yang terbaik mengikut ilmuNya untuk ku dan untuk semua pesakit kanser.

Amin..........................




























Thursday, January 1, 2015

Selamat Tahun Baru 2015

  • Tahun 2014 telah meninggalkan kita. Banyak peristiwa pahit manis tahun 2014.
  • Sudah ramai orang yang tahu negara kita menghadapi musibah, tetapi sebagai kenagan ku turunkun juga:
  1. Kehilangan Pesawat MH 370
  2. MH 17 ditembak jatuh 
  3. Air Asia jatuh di Laut Jawa

  • Diriku pula, Alhamdulillah masih bertahan. Tahun ini ku makan ubat jenis ketiga jenama Nexavar, seblum ini Sutent dan sebelumya lagi Glivec.
 Moga Allah sembuhkan penyakit ini dan memberi kekuatan kepada ku untuk beramal ibadat padaNya.

Friday, November 7, 2014

Makan Ubat Kimoterapi Nexavar kali ke-2


  • Ubat Nexavar hanya tinggal sehari lagi bagi bulan kedua. Hari Isnin depan ku akan ke HUSM sekali lagi berjumpa pakar Oncology, ambil darah dan yang paling penting ambil ubat Nexavar untuk bulan ke-3. Ku juga perlu memohon untuk tiga bulan berikutnya dengan JPA.

  • Ingin saya kongsi pengalaman makan ubat Nexavar. Harga ubat ini RM20,000.00 untuk sebulan makan tetapi saya dapat percuma dari JPA. Saya makan 2 bji (400mg) pagi sebelum makan dan 2 biji malam. Kesan sampingannya tidaklah sekuat ubat dahulu iaitu Sutent, cuma kaki saya melepuh, begitu juga jari tangan, untungnya tiada ulser di mulut. 

  • Kesan yang agak berat ialah badan terlalau letih hingga terpaksa gagahkan diri untuk ke manan-mana.

  • Bulan Nov. kedua-dua anakku balik dari IPTA, tidaklah sunyi sangat rumah, sebelum ini kami berdua saja di rumah. 

  • Malang tidak berbau, kedua anakku ke Kota Bharu dan dalam perjalanan balik, motosikal mereka dilanggar motosikal di simpang. Motosikal rosak teruk dan kedua anakku cedera ringan. Tuan punya motor menanggung kos pembaikan kerana salah dia.

  • Dua hari kemudian semasa menghantar anak sulung ke U, ku dapat berita anak saudaraku di Pahang meninggal dunia. Maka bergegas ku  Pahang membawa bersama ibu dan ayah. Kereta dipandu isteri. Biasanya anakku yang pandu tetapi kerana tangan masih sakit akibat kemalangan, dia tak dapat pandu.

  • Kesian sungguh adikku, tahun lepas suaminya meninggal, tahun ini anakknya yang baru kawin pula meninggal, anak sulung pula terpaksa menjalani dialisis 3 kali seminggu.

  • 3 hari lepas, biawak masuk ke rumahku dan terus masuk dalam tandas, ku minta tolong kawan tolong tarik keluar tapi tak berjaya. Ku masukkan klorox dalam lubang tandas bagi ia mati, masa nak solat subuh, ku lihat dia keluar tandas tetapi kerana ekornya  ku ikat, ia tak dapat lari. Ku pukul dan buang saja biawak yang menyusahkan. Biawak memang banyak di sekeliling rumah kerana rumahku ditepi sungai, tetapi taklah menyursahkan begini.

Tuesday, August 19, 2014

Alhamdulillah Syukur PadaMu Ya Allah


  • Alhamdulillah, minggu ini merupakah minggu yang sungguh mengembirakan ku dan isteri kerana akhirnya dapat juga melihat kedua-duanya anak lelaki ku menjejakkan kaki ke menara gading. Anak sulungku telah diterima masuk ke Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tg.Malim dengan sijil STPM nya. Anak bongsuku dahpun belajar Asasi Sains di UIAM. Kini ku berdoa moga kedua-duanya berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran dan mendapat kerjaya yang menjamin masa depan mereka. 
  • Isteriku pula menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang untuk kali kedua dalam perkhidmatannya. Ku cuma tumpang gembira kerana tidak lagi berpeluang kerana dah bersara awal.
  • Kembali kepada penyakitku, keadaannya masih seperti dulu, bisul di dadaku tidak sembuh-sembuh, selalu diserang gastrik dan badan selalu letih. Namun bila ku rasa sihat ku akan membersihkan kawasan rumahku yang agak luas.
  • Semasa ku sihat dulu ku suka berkebun pada sebelah petang jika tidak ada ko-kurikulum sekolah. Ku tanam rambutan, dokong, durian, salak, pokok kantan, betik di samping landskap di depan rumah. Ku beli mesin rumput untuk membersih kawasan tanahku yang hampir seekar.
  • Tahun ini buah rambutan ku lebat berbuah, ku tak jual pun, cuma sedekah kepada saudara mara dan sesiapa sahaja yang berkunjung ke rumah dengan syarat mereka kena petik sendiri kerana ku tak berapa larat nak petiknya.
  • Durian juga berbuah tetapi asyik berebut dengan tupai kerana di kawasanku tak banyak pokok durian, jadi durianku yang menjadi sasarannya. Tak apalah, ku bukannya nak jualpun.
  • Pokok dokongpun lebat berbuah tetapi belum masak.
  • Ku makan juga sikit walaupun ada orang kata perlu pantang makan buah bermusim tetapi ku lebih percaya kepada pakar pemakanan.
  • Sekian. Wassalam.


Dilema Pengambilan Sutent



·                          Hari ke-9 umat Islam berpuasa dan Alhamdulillah ku masih dapat berpuasa walaupun sakit gastrik sering terasa. Ku akan berhenti puasa jika sakit ku teruk.
·         Sudah seminggu ku makan kembali ubat Sutent setelah ku hentikan pengambilannya untuk 3 minggu akibat pendarahan melalui mulut.
·         Dua malam lepas ku hentikan semula pengambilan Sutent bila ku lihat sedikit darah keluar melalui kahak. Ku bercadang untuk berehat selama 3 malam.
·         Seminggu lagi temujanji dengan pakar kanser dan mungkin keputusan Pet-Scan dah sampai, moga keputusannya memberi khabar gembira.
·         Seminggu lebih sudah berpuasa, baru sekali ku ke surau berterawih kerana bila saja lepas makan, perut ku tidak selesa dan semput pernafasan. Ku terpaksa berehat untuk tempoh yang lama sebelum makan turun ke perut dan dapat solat. Begitulah keadaan ku sepanjang bulan Ramadan tetapi Alhamdulillah ku hanya tinggal sehari sahaja puasa.
·          


·          

Prosedur Pet-Scan kali ke-3


Pantang 2 sebelum Pet-scan:
·         Sayur, buah,jus, beras perang, daging, bijirin,kekacang, oat, nestum
·         Berhenti supplement dan vitamin tetapi ubat yang dibekalkan boleh diteruskan.
              Boleh Makan:
·         Nasih putih, roti putih kosong
·         Ikan, ayam, telur, makanan laut, mihun laksa tetapi mesti rebus,kukus atau sup.
·         Milo, horliks tetapi tidak boleh bergula.
·         Susu segar atau rendah lemak.
              Pantang pada hari Pet-Scan
·         Sebelum 8.30 pagi, 1 gelas susu tanpa gulu dan 2 keping roti putih
·         Lepas jam 8.30 pagi Cuma air kosong saja.

Jam 9.00 pagi , 12 Jun 2014,  ku mendaftar di Klinik Nuklear Hospital Besar Pulau Pinang. Ku serahkan borang daripada Prof.Dr.Biswal dari HUSM dan CD CT-Scan serta salinan kad pesara. Kemudian ku dipanggil berjumpa doctor bersama dengan isteri. Doktor menjelaskan ada ketumbuhan baru di hati dan tempat limpa yang dibuang dulu. Doktor juga menjelaskan mungkin pukul 6 baru siap kerana ubat masih dalam perjalanan dari Putrajaya.

Jam 1.00 ptg ku dipanggil ke bilik persediaan suntikan, setelah menunggu  3 jam ku di masukkan jarum untuk dimasukkan ubat nuclear nanti. Jam 3 ptg, ku lihat ubat dari Hospital Putrajaya baru sampai. Hari ini seramai 6 orang, 2 Melayu, 2 Cina dan 2 India akan membuat pet-scan dan ku orang terakhir.

Akhirnya ku dipanggil  ke bilik suntikan, mungkin dalam jam 5 petang kerana tiada jam di bilik. Nasib baik kerana ku ditukar ke no.5 kerana lelaki India ada sedikit masalah, jadi dia no.6. Selepas itu ubat dimasukkan dalam saluran darah dan ku dikehendaki berehat dalam bilik gelap. Sejam kemudian ku dikehendaki buang air kecil dan kemudian dimasukkan dalam bilik pet-scan. Lebih kurang 45 minit ku dalam terowong pet-scan dan akhirnya dibenarkan keluar menunggu di ruang rehat. Semasa lelaki India sedang di scan, doctor memberitahu bahawa ku perlu menjalani sekali lagi Pet-scan kerana ada sesuatu yang kurang jelas di paru-paru ku.

Selepas India itu keluar, ku masuk sekali lagi ke bilik scan dan dibenar keluar selepas 15 minit diimbas. Jam 8.00 malam ku dibenarkan pulang.

Ku bersama keluarga pergi makan kerana hari ini ku cuma makan 2 keping roti kosong pada waktu pagi. Selepas solat, kami terus bertolak pulang ke Kelantan walaupun agak bimbang kerana terpaksa meredah lebuh raya timur barat pada waktu tengah malam. Nasib baik tidak sesat sepanjang perjalanan. Jam 4.30 pagi kami sampai di rumah. Sesampai di rumah anak lelaki sedang menonton Pesta Bola Piala Dunia antara Brazil dan Crotia. Ku tengok sekejap tetapi terlena di depan sampai waktu subuh.


Moga pet-scan memberi khabar gembira.
(Maaf buat pembaca kerana baru post walaupun dah lama menulisnya).

Friday, June 27, 2014

Perubatan Al-Quran Menggunakan Ayat 33

Rangkaian ayat-ayat ini di panggil al-hirz iaitu ayat-ayat pengawalan dan penjagaan yang sangat besar faedahnya apabila dibaca dan diamalkan. Samalah ertinya dengan membuat benteng atau pagar besi yang kukuh bagi dirinya,  keluarganya dan harta bendanya. Ianya telah dicuba dan diuji yang ternyata sekali bukti kehebatannya dan dikatakan padanya mempunyai penawar bagi semua penyakit kecuali tua dan mati sahaja.

Diriwayatkan daripada Muhammad b Ali r.a katanya" Saya telah membaca ayat ini kepada seorang terkena penyakit angin ahmar, maka Allah s.w.t. telah memberi sembuh kepadanya dengan berkat ayat ini".

Ayat-ayat tersebut telah diajar oleh Rasulullah s.a.w kepada sahabatnya Abdullah b Umar r.a. yang merupakan rangkaian ayat-ayat daripada beberapa surah di dalam al-Quran iaitu:

  1.  Surah al-Fatihah
  2.  Surah al-Baqarah ayat 1 - 5
  3. Surah al-Baqarah ayat 255- 257
  4. Surah al-Baqarah ayat 284 - 286
  5. Surah al-A'raf ayat 54 - 56
  6. Surah al-Isra' ayat 110 -111
  7. Surah as-Soffat ayat 1 -11
  8. Surah ar-Rahman ayat 33 - 35
  9. Surah al- Hasyr Ayat 21 - 24
  10. Surah al-Jin ayat 3 - 4
Sebuah hadis Nabi s.a.w. yang bersumber daripada Ibnu Umar r.a. sesungguhnya  Nabi s.a.w. bersabda bermaksud:
         " Sesiapa yang membaca 33 ayat dari Kitab Allah  Taala nescaya tiada membahayakan kepadanya binatang buas yang amat berbahaya, penyamun atau pencuri yang memusuhinya dan diselamatkan dirinya, anaknya dan hartanya sampai waktu pagi".

Dipetik daripada buku Pengubatan Al-Quran Menggunakan Ayat 33 karangan Ustaz Haji Abdul Halim bin Haji Mohd Saud. Beliau seorang Perawat Islam. Siapa berminat untuk menghubunginya boleh PM saya di fb saya : zaini ismail.






Friday, June 6, 2014

Lawatan Rakan Facebook

Kelmarin ku terima panggilan dari teman facebook dan folower blogku dari Kajang. Dia berada di Kota Bharu atas urusan kerja. Sebelah petangnya dia ke rumahku. Kami berbual tentang penyakit masing-masing. Dia gasrtik yang agak teruk dan telah melakukan endoskopi, MRI dan pernah pergi ke IJN.

Ku pula menceritakan kesan sampingan yang teruk dari ubat sutent. Setelah makan 3 bulan berterusan, ku mengalami pendarahan, darah keluar dari mulutku. Bila kali kedua keluar ku pergi ke lklinik berhampiran.
Darah diambil dan di periksa di makmal. Doktor mahu memasukkan ku ke hospital tetapi ku cuma minta ubat penahan darah dan ubat ulser mulut. Doktor menasihataku supaya terus ke hospital jika darah masih keluar.

Pagi esoknya darah tak keluar tapi petangnya keluar lagi. Ku masih tak pergi hospital kerana sebelah malam dan pagi berikutanya tak keluar, Malangnya malamnya keluar sekali lagi tetapi ku masih tak ke hospital memikirkan betapa sukarnya di hospital tambahan pula ia tak keluar berterusan dan ku pun dah ada ubatnya.

Sebenarnya sudah acapkali ku mengalami pendarahan akibat makan ubat kimo, dua kali masuk wad dan kali terakhir ku cuma dapatkan ubat di klinik berhampiran. Atas faktor itulah ku bertahan di rumah.

Setelah sejam berbual, dia meminta diri pulang dan ku berikan dia Ayat 33 dari Ustaz Halim untuk dia amalkan. Moga dimakbulkan doa untuk kesembuhan.


Selesai Juga Kes Pesaka


Setelah mendengar perintah dari Pegawai Pesaka, ku terus pergi menemui Bapa Saudara arwah isteri, Alhamdulillah dia tidak mahu mengambil bahagiannya, katanya dia serahkan kepada cucu saudaranya. Ku pergi pula menemui bekas isteri arwah mertua bersama dua iparku. Pada mulanya ia mengikut apa yang dipersetujui oleh dua iparku iaitu menyerahkan bahgain masing-masing kepada anakku, tetapi selepas ku meminta dia menyerahkan kad  pengenalan, dia berubah fikiran dan mahukan bahagiannya.

Petangnya ku ke rumah Mak saudara arwah isteri, dia adalah kakak kepada arawah mertuaku,  Setelah dijelaskan  duduk perkaranya di depan anaknya, dia mengambil keputusan berbincang dengan anak-anak.

Akhiarnya ku jemput bekas isteri arwah mertua dan Mak saudara arwah isteri untuk menandatangni surat akuan penyerahan bahagian masing-masing di Pejabat Tanah. Kedua-duanya mahukan bahagian masing-masing, dan ku bayar tunai.

Alhamdulillah, selepas selesai menandaatangani surat akuan di depan ADO, ku terus serahkan kepada Pegawai Pesaka.

Tiga minggu kemudian, ku terima surat pengesahan pemindahan pesaka. Ku serahkan ke Pejabat Tanah untuk dipindah nama kepada dua orang anakku, Ku juga ke JPJ untuk menukar nama motosikal kepada anakku.

Hari ini, ku pergi ke pejabat tanah dan berjaya mendapat geran tanah yang telah ditukar nama atas dua orang anakku.

Terima kasih kepada dua iparku kerana memberi bahagian masing-masing kepada dua orang anakku, Ku memang telah berikan bahagian ku kepada anakku. Sebenarnya tanah tersebut telah diserahkan kepada arwah isteriku oleh emaknya semasa hidup. Bila isteriku meninggal, tanah tersebut kembali kepada orang yang berhak menerima pusaka iaitu, saya, dan kedua ibu bapanya. Bila kedua ibu bapnya meninggal, ia jatuh pula kepada adik beradik mertuaku. Bila mertuaku kahwin lain, ia jatuh pula kepada isterinya bila ia meninggal dunia.

Silapku ialah tidak melantikku sebagai pemegang amanah. Ku dulu ke Majlis Agama mengira faraid, jadi semua duit telah ku bahagi, cuma tanah saja yang tergantung. Ku ingat bila anak ku dah umur 18 ku boleh tukar nama secara automatik, rupanya  banyak pula kerenahnya dan terbanglah duitku, memang dah rezeki mereka.

Semoga menjadi pengalaman kepada pembaca.

Friday, April 11, 2014

Kes Pesaka Yang Tak Selesai

9 April 2014 ku dikehendaki datang ke Pejabat Tanah untuk menghadiri perbicaraan harta pesaka arwah isteri. Terkejut besar ku bila diberitahu oleh pegawai pesaka bahawa tanah isteriku bukan hanya aku dan dua orang anakku saja yang berhak tetapi kedua ibu bapanya juga Walaupun mereka yang memberi tanah itu kepada isteriku. Disebabkan kedua ibu bapanya meninggal selepas kematiannya, tanah itu diwarisi pula oleh adik beradik isteriku dan bekas isteri mertua(isteri baru), bapa saudara isteri dan mak saudara isteri. Banyak pula lah kerjanya.

Tension betul. Dahlah kaki ku sakit dan sukar berjalan kesan daripada ubat kimo( Sutent), kena pergi jumpa ahli waris lagi. Nasib baik adik beradik isteriku semuanya tidak mahu  ambil bahagian mereka kerana mereka faham tanah itu telah dipindah milik kepada isteriku semasa emaknya masih hidup lagi. Silap ku kerana tidak membahagi kepada anak awal-awal dengan ku sebagai pemegang amanah. Ku sebenarnya tidak faham dan menunggu sehingga anakku berusia 18 tahun baru nak pindah nama. Terpaksalah aku hadapi akibat salah maklumat.

Moga diperemudahkan
Allah.