Wednesday, August 18, 2010

RAMADAN


                                                         RAMADAN


Ramadan adalah anugerah Maha Agung
bulan rahmat bulan keampunan
bulan kemerdekaan daripada azab neraka
membakar belukar noda para solihin
uacapkan Alhamdulillah dan Al-Fatihah tujuh kali
moga afiat sakit 'ain
solat tarawih, tahajjud,tasbih dan witir
menghidupkan jiwa mati, menghangatkan malam dingin
dalam munajat dan bicara para abid
mempasrah segalanya pada Yang Esa

Malam awal Bulan al-Mubarak
bertiup sepoi angin syurga di bawah 'arasy
gemersik dedaun kayu pepohon rimbun dalam jannah
bidadari berhias indah persis menunggu lamaran peria
dibukakan babul jannah, ditutup babul jahim
syaitan dibelenggu dilontar ke laut ganas
tujuh petala langit, tujuh petala bumi
meriah bergema, melafaz kalimat puji  dan syukur
menyambut kehadiran bulan kemuliaan,

Malam qadar penuh berkat penuh rahmat
adalah rahsia, tersirat pelbagai hikmat dan maslahah
Jibril turun ke bumi menyertai perhimpunan raksasa
membawa bendera hijau, dipacakkan di atas Kaabah
demi meraikan kehadiran Lailatul Qadar
terlebih mulia daripada seribu bulan

Malam persalinan, malam akhir Ramadan
menitis air mata, menangis para aulia'
merintih seluruh isi alam:
tujuh petala langit
tujuh petala bumi
terharu yang amat
demi melepaskan pemergian Ramadan tercinta
lantaran kemesraan terlalu sekejap
dalam pertemuan sesingkat ini

pun pertemuan akan datang
bukanlah suatu kepastian
barangkali kita terlebih dahulu
dilamat kematian...................


Hasil Karya,

Ustaz Muhammad Sanusi Awang Hasan
Bekas Pensyarah UiTM Arau, Perlis
Antologi Nyanyian Kembara, GEMA DBP 1999


Catatan: Ustaz di atas memberi ceramah di SMK Kandis, Bachok sempena Bulan Ramadan dan sajak tersebut dideklamasi beliau semasa ceramah tersebut yang begitu berkesan kepada para pelajar dan para guru sehingga semuanya diam memberi tumpuan kepada ceramahnya. Syabas Ustaz.

Sekarang uztaz sedang mengadakan Pameran Kraf Rotan dan yang paling menarik ialah surah Yassin yang diperbuat dariapada rotan dan panjangnya 7 km jika diluruskan.. Pameran tersebut di adakan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV Kota Bharu Kelantan sempena bulan Ramadan. Selamat Berkunjung.

No comments: