Monday, December 20, 2010

Ziarah Isteri Arwah Pesakit Kanser

Kelmarin dulu ku ziarah Kak L, dia tinggal di Penambang, Kota Bharu. Isteriku dan Kak L begitu rapat kerana mereka berdua sama-sama menjaga suami yang sakit kanser. Suaminya Abang L, menghidap kanser usus. Ku dibedah dua hari lebih awal daripadanya iaitu pada November 2006. Ku masih ingat kami sama-sama makan ubat julap supaya semua isi perut keluar agar senang dibedah. Tetapi dia ditunda dua hari kerana ku mengambil masa terlalu lama iaitu 9 jam dibedah, gilirannya selepasku, Di wad, kami  sama-sama mengharungi deritanya sakit kanser, jarum disuntik sudah biasa, tiub dimasukkan melalui hidung, dada ditebuk supaya dapat diberi susu melalui saluran darah dan macam-macam prosedur perubatan lagi.

Selepas dibedah, Abang L kelihatan sihat sehingga dia sanggup memandu sendiri kereta ke rumahku yang jaraknya 50KM. Namun selepas itu dia kembali sakit dan kali terakhir ku berjumpanya semasa kami masuk wad entah untuk ke berapa kalinya pada tahun 2008. Ku pergi ke katilnya di wad 2 Intan, wad yang menjadi rumah keduaku. Ku lihat dia begitu terseksa, dia tak senyumpun. Mukanya berkerut menahan sakit. Dia kemudian menjalani kimoterapi sehingga hangus kulitnya.

Menurut isterinya, selepas keluar wad, berat badannya susut begitu ketara. Dia muntah hitam dan bila makan, makanan  muntah keluar, mungkin ususnya dah muncul kanser kembali dan tersumbat. Akhirnya dia disyorkan menjalani bedah batin di Sentul, Kuala Lumpur. Dua tiga kali pengsan sebelum sampai di klinik. Kemudian dia dibedah oleh Tabib daripada Indonesia dengan menggunakan pisau cukur, darah membuak keluar dan beberapa organ dalaman dikeluarkan dan kemudian diplaster. Abang L dibenarkan pulang dan dalam perjalanan pulang, dia kembali ke rahmatullah. Kos pembedahannya RM10,000.00.

Ku juga pernah disyorkan melakukan bedah batin tetapi ku lebih yakin dengan perubatan moden di samping perubatan Islam. Tambahan pula apa lagi yang nak dibedah kerana ku dah menjalani pembdahan membuang separuh daripada perutku seperti pelakon Shani buat, sebab itu ku terlalu kurus. Tinggi ku 167 cm tetapi berat cuma 51kg, sedangkan dulu beratku 68kg.

Sebenarnya dah ramai kawan-kawan kanserku yang dah dipanggil menemuinya Penciptanya, Alhamdulillah ku masih panjang umur dan ku bersyukur kerana akhirnya dapat juga ku mengerjakan haji yang tertangguh pada tahun 2006 kerana menjalani pembedahan.

Semoga Allah menyembuhkan ku sepenuhnya kerana sekarang ku belum sihat lagi, nanah masih keluar melalui bisul yang muncul diperutku akibat kanser. Semasa di Mekah, ku bawa bekal ubat cuci dan pembalut untuk mencuci dan membalut bisul tersebut. Pernah sekali, jemaah haji dari India secara tak sengaja menyiku bisulku, berdarahlah ia tetapi ku tak tunjukkan kesakitanku kepadanya, ku tahan kesakitan tersebut.

Sekarang ku bergantung kepada SUSU LEBAH kerana tuntutan ubat SUTENT daripada Kementerian Pelajaran belum diluluskan lagi. Macam menunggu buah yang tak gugur kerana tuntutan dah dibuat sejak januari 2010. Biarlah ...............kerana Allah yang menyembuh, bukannya ubat.

Wassalam, jumpa di lain entri. Yang baik daripada Allah dan yang silap ku mohon kemaafanNya kerana ku insan yang lemah.

No comments: