Utusan Malaysia : BUTTERWORTH 20 Dis. 2010
- Biarpun baru berusia 15 tahun, Muhammad Nur Nazari Mohd. telah menjalani enam kali pembedahan akibat kanser tulang yang dihidapinya.
Pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Inderawasih, Perai itu malahan terpaksa berulang alik ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) setiap bulan untuk mendapatkan rawatan.
Dia juga pernah melalui saat getir apabila tangan kanannya terpaksa dipotong hingga ke pangkal lengan tiga tahun lalu akibat penyakit tersebut.
Menurut ibunya, Rohani Kader Gani, 39, penyakit anak tunggalnya itu dikesan apabila tangan anaknya membengkak ketika menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
"Selepas dua bulan menderita sakit, kami membawa Nazari ke hospital bagi mendapatkan rawatan dan doktor mengesahkan dia menghidap kanser tulang. Tangannya dipotong dua minggu selepas itu.
"Selepas pembedahan, keadaannya beransur pulih dan Nazari juga terpilih menyertai program Jemputan Umrah anjuran Astro Oasis pada 2008," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Manis di sini hari ini.
Jelasnya lagi, selepas pulang dari menjalani ibadat itu, keadaan kesihatan anaknya itu bertambah baik namun pada pertengahan tahun lalu, dia terpaksa menjalani beberapa pembedahan lagi apabila kanser merebak ke paru-paru.
Terbaru, Nazari menjalani pembedahan di HKL pada November lalu dan selepas pemeriksaan pada 13 Disember lalu, kanser tersebut kini dikesan menyerang kelenjar berhampiran saluran pernafasan.
"Selepas pembedahan terakhir itu, Nazari beritahu saya, dia berhajat untuk sekali lagi ke Mekah menunaikan umrah bersama saya, nenek dan bapanya, Mohd. Kader Ghouse.
"Tapi dengan pendapatan sebagai tukang cuci sebanyak RM400 sebulan manakala suami pula hanya pembantu kedai dengan gaji RM700, sukar untuk kami penuhi impian Nazari itu," ujarnya.
Sehubungan itu, Rohani merayu sumbangan orang ramai bagi memenuhi impian Nazari untuk berdoa di hadapan Kaabah agar penyakitnya sembuh dan dia dapat menjalani kehidupan seperti biasa.
Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan bolehlah menghubungi Rohani di talian 017-5475549 atau 017-4794807 atau melalui akaun Maybank atas nama Nazari bernombor 107161913811.
No comments:
Post a Comment