Tuesday, June 29, 2010

Mengapa Nahas Dicari


Insaf-Insaflah Bangsaku

Jangan kamu campakkan diri kamu ke lembah kebinasaan
Itu firman Allah
Pun ramai masih mengepah rokok
Terbukti sudah ia berbahaya
Ramai sudah menderita kanser

Pun masih ramai merempit
Terbukti sudah
ramai kecundang di jalan raya
Ada koma, ada kudung kaki
Ada yang dah bersemadi di liang lahad

Pun ramai menagih dadah
Terbukti sudah ramai kena HIV Aids
Berjuta duit rakyat mengubati mereka
Menjadi mayat hidup
Menjadi beban negara

Bangsaku,
Tidak sedarkah lagi kalian
Bagaimana runtuhnya Melaka
Tidak serikkah  lagi bagaimana rasa 400 tahun dijajah
Memang benar
Melayu mudah lupa
Tetapi adakah kita mahu terus lupa
Hingga kelak kita dilupakan dalam peta dunia
Hingga anak cucu kita hanya mengenali Malaysia dalam buku Sejarah
Mahukah kita?
 Tepuk dada tanya iman
Pisau di tangan anda
Mentimun pun di tangan anda
Andalah penentu masa depan anda
Kerana
Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum
Sehigga mereka sendiri mengubahnya.

Zaini alrengasi
29.6.10
5.00 pagi

Wednesday, June 23, 2010

ANUGERAH JASAMU DIHARGAI SEMPENA HARI GURU PERINGKAT KELANTAN

21.06.2010

     Hari ini ku bersama isteri ke SMK(A) Falahiah, Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan untuk meneriama Sijil Penghargaan Jasamu Dihagai kerana khidmatku selama 20 tahun dan kini menderita sakit kanser perut. Majlis itu sepatutnya disampaikan oleh Kebawah Duli Yang Mulia Pemangku Sultan Kelantan, Tengku Faris Petra tetapi kerana baginda mempunyai aturcara yang lebih penting di tempat lain, anugerah pada hari tersebut disampaikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapha Mohamed. Datuk Seri sebenarnya berasal dari Kampung Badak, Bachok iaitu berjiran dengan kampung ku , Kg. Rengas. Kg.Badak memang ramai melahirkan pemimpin peringkat pusat spt Datuk Pahamin Rajab, Datuk Nordin Razak dan Datuk Baharudin.

Balik dari majlis, ku terjelopok di tilam kerana terlalu letih dan terpaksalah minum sirap morfin untuk menahan sakit. Solat Maghrib ku jamakkan dengan Solat Isyak kerana tak berdaya untuk bangun. Bergilir-gilir anak dan isteriku memicit badanku.

Alhmadulillah, esoknya ku dapat pergi ke sekolah.

Friday, June 18, 2010

Sajak - Pesan Buat Anak-Anakku


PESAN BUAT ANAK-ANAKKU

Wahai anak-anakku       
Janganlah kamu mempersekutukan Allah
Kerana ia benar-benar kezaliman yang besar
Jangan anak-anakku mudah mengalah dalam perjuangan
Kerana ia memerlukan pengorbanan yang besar


Hai anakku!
Berbuat baiklah kepada Ummi
Membelaimu dengan cinta bersemi
Bersyukurlah pada Allah Anak-anakku
Kau masih ada Abah dan Ummi
Walaupun kanser merampas ibumu

Wahai anak-anaku,
Dirikanlah solat,
Suruhlah manusia berbuat baik
Dan cegahlah manusia dari melakukan kemungkaran
Dan bersabarlah atas ujian yang datang
Kerana Allah bersama orang-orang yang sabar


Wahai anak-anakku,

Bersyukurlah kepada Allah
Atas rezeki yang melimpah
Jangan anak  menjadi gundah
Andaikata rezeki terluluh
Rezeki itu dari Allah
KepadaNya kita memohon
Besyukurlah
Atas rezeki yang ada.

Zaini al-rengasi
Wad 7 Selatan HUSM Kubang Kerian
8 Mac 2010

Sajak Sempena Hari Bapa




PUISI BUAT IBU DAN AYAH

Kau umpama lilin membakar diri
Berpagi berpetang menghayun cangkul
Bergelumang dengan selut,pacat dan lintah

Malam begitu panjang
Menunggu hari esok menerus bakti
Malam bicara hari esok
Masih adakah  beras,
Masih adakah ikan pekasam
Masih adakah ubi kayu
Masih adakah rantai untuk digadai
Anak-anakmu makin dewasa
Putera sulung ke menara gading
Seekor lembu bertukar tangan
Puteramu melanjut pengajian
Sebidang tanah terlepas tangan

Kini kau mampu tersenyum
Anak-anakmu berjaya dalam hidup
Walaupun kini jauh ditinggalkan

Pun ujian tak pernah padam
Anak sulungmu menderita kanser
selepas anak lelakimu dan menantumu pergi menemui Ilahi
Cucumu pula menderita sakit buah pinggang
Ini lumrah kehidupan
Hidup ini penuh ujian
Berputar ibarat roda
Akhirat jua bahagia abadi

Zaini al-rengasi
25/11/2009
3.15 pagi

Sajak Buat Pesakit Kanser: Simpan Dulu Tangismu


SIMPAN DULU TANGISMU
Biar derita membadai jasad
Lemparkan senyum
Pada setiap insan
Kerana senyum ubat paling mujarab
Yakinlah setiap penyakit ada ubatnya
Lemahnya insan belum menemuinya

Bedah,endoskopi,ct-scan,pet-scan lumrah rawatan
Barrium,fistulagram hadapi dengan tabah
Kimoterapi,radioterapi,hormon terapi
Muntah,badan tak bermaya,rambut gugur
Usah mematahkan harapanmu
Derita tanggung sendiri
tahu kita siapa sahabat siapa kawan
inilah putaran hidup
sebelum kita dijemput menemuiNya
bangunlah di tengah malam
jangan lagi simpan tangismu
mohonlah padaNya
 sakit itu penghapus dosa
jangan kita marah padaNya
kerana kita hambaNya
dan dunia ini tempat ujian.

3 mac 2010
3.30 pagi

Sajak - Ku Cari Damai di Hati

Ku Cari Damai Di Hati

Dalam mencari damai di hati
Ku dengar lagu Kitaro
Damainya hati dengar gesekan biola
Habis lagu damai hilang
Lama didengar lagu jadi jemu
Ku cari damai di hati
Ku melancong hingga Songkla
Lihat dunia luar
Bercampur-baur antara damai dan maksiat
Damai dicari Maksiat yang dapat
Ku cari damai di hati
Ingin rasanya mengecap nikmat cinta
Ku lihat kawanku bercinta
Cinta monyet dalam kelas
Lupa agama lupa pelajaran
Tapi kini hidup berasingan
Adakah mereka temu damai di hati?
Ku cari damai di hati
Ku daki Gunung Kinabalu
Indahnya alam ciptaan Allah
Sayang dalam pengembaraan
Ramai lupa pada Allah

Ku cari damai di hati
Ku ke rumahMu Ya Allah
Ku jejak pintu rumahMu Ya Allah
Ku lihat sekujur tubuh kurus sedang bertafakur
Matanya dipejam rapat
MengingatiMu setiap masa
Kini ku bersamanya mengingati Mu Ya Allah
Menyelami makrifat kepada Mu Ya Allah 
Mencari kedamaian abadi
Mencari cinta sejati
Mencari lagu makrifat
Moga ku bahagia dunia dan akhirat

. Zaini al-rengasi 14.6.2006.

KELETIHAN MELAMPAU KESAN UBAT SUTENT(KEMOTERAPI)

17.6.2010 Hari ni saya ke sekolah mengambil kot untuk dipakai pada hari Ahad 20 Jun 2010 kerana dijemput untuk menerima penghargaan daripada Pemangku Sultan Kelantan, YM Tengku Faris Petra di SMKA Falahiah,Tumpat sempena Pelancaran Hari Guru Peringkat Negeri Kelantan. Dalam perjalanan pulang, ku singgah di rumah kawan lama, Cikgu Izani.Anaknya ku mengajar tetapi sekarang ni dah praktikal pusat pengajian tingginya Seronok berbual mengenai kisah silam semasa belajar di Universiti Malaya dulu terutama kisah kawan kami yang menyebut “air” dalam bahasa Melayu untuk “air and water” tetapi kini memegang jawatan sebagai Penolong Kanan Pentadbiran di sebuah sekolah menengah di Johor. Kawanku ini walaupun cikgu tetapi mengusahakan ladang kelapa sawit. Baguslah untuk menambah pendapatan halal dengan cara begitu daripada sesetengah pegawai kerajaan yang pendek akal dan melabur dalam skim cepat kaya kerana tamak dan akhirnya hutang yang dapat. Sebelum pulang ku dihadiahkan dua biji tembikai oleh bekas muridku( adik ipar Cikgu Izani), semasa mengajar di Institut Tunas Bakti, Gunung, Bachok dulu. Selepas Solat Zohor, cadang nak ke Batuta Traver & Tour tetapi ku terlalu letih dan cuma berbaring di tikar sembahyang. Ku gagahkan diri untuk solat Asar dan tidur kembali. Isteriku membeli mee rebus untuk ku kerana tiada selera untuk makan nasi. Kerana terlalu letih ku jamakkan solat Maghrib dan Isyak. Alhamdulillah tubuhku semakin segar selepas makan susu lebah(royal jelly), kurma dan garam yang dibekalkan hospital. Dapatlah ku Solat Subuh.

KENDURI KESYUKURAN DI PUSAT RAWATAN ISLAM

14.6.2010 : Kenduri Kesyukuran di rumah Ustaz Halim. Ustaz Halim yang ku kenal sejak ku mengajar di SMK Menggatal, Sabah adalah bekas Pensyarah di Maktab Perguruan Gaya, Sabah dan Maktab Perguruan Kota Bharu tetapi sekarang dah pencen. Ia adalah pengamal perubatan Islam. Sesiapa berminat boleh hubunginya di talian 013-9393603 Ku bersama keluarga ke rumahnya di Kg.Becah Kura(Wadi Qura) kerana kenduri kesyukuran menduduki rumah barunya. Ramai sungguh tetamu kerana ia mengadakan “reunion” dengan kawan-kawan yang pernah mengajar di Sabah. Di sana ramai ku jumpa kawan-kawan lama yang sama-sama mengajar di Sabah. Ku juga berjumpa dengan bekas pengetua SMK Raja Sakti, Kota Bharu, Tn.Hj.Ibrahim Daud. Dia masih sihat walaupun dah lama pencen. Itulah anugerah Allah untuk dia dan semoga kita semua sihat sepanjang hayat agar dapat beribadat kepadaNya dengan lebih sempurna.

PTK (Penilaian Tahap Kelicikan)

PTK (Penilaian Tahap Kelicikan) Penilaian Tahap Kecekapan(PTK) kepada para guru dan kakitangan kerajaan lain telahpun berlalu. Pelbagai cerita kita dengar mengenai PTK. Ada yang tidak membaca dan jawab secara rambang pun dapat bar 4 dan dapat kenaikan gaji di aras P2 atau P3. Hal ini berlaku berlaku kerana pengawas peperiksaan gagal melaksanakan tugas sebagai pengawas kerana kebanyakan calon adalah kawan-kawan mereka dan pengawas membenarkan calon yang menduduki peperiksaan meniru. Oleh itu jelaslah dasar kerajaan untuk meningkatkan tahap kompetensi pegawai melalui Penilaian Tahap Kecekapan kurang berkesan kerana calon meniru dalam peperiksaan. Daripada pengalaman lepas, ada berlaku pegawai yang memperolehi bar 4 dan mendapat kenaikan gaji tetapi hakikatnya dia seorang yang kaki ponteng kerja. Mungkin dia lulus kerana meniru ataupun soalan yang diramalnya keluar dalam peperiksaan. Hakikat sebenarnya , seseorang yang cemerlang dalam akademik tidak semestinya cemerlang dalam alam pekerjaan. Hal ini banyak berlaku sama ada dalam bidang perguruan ataupun kedoktoran ataupun bidang-bidang lain, oleh itu pada pendapat saya, SSB lebih baik daripada SSM dengan syarat pegawai yang menilai adalah telus, jangan pilih bulu. Sekian. Wassalam.

BERITA KEMBALINYA KE RAHMATULLAH SAHABATKU

9 Jun 2010- Kembalinya ke Rahmatullah Pesakit Kanser Ketika bersedia untuk menghantar ke Pusat Peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan(PTK) ku terima panggilan telefon daripada isteri pesakit kanser usus. Pesakit itu dah menjadi kawannku kerana kami sama-sama satu wad tahun lepas iaitu Wad 2 Intan HUSM Kubang Kerian. Isterinya memaklumkan kepadaku bahawa suaminya telah pulang ke rahmatullah 2 minggu lepas. Aku menasihatkannya supaya sebar dan berdoa moga rohnya aman di alam barzakh. Nampaknya isteri kawanku ini tabah orangnya kerana masih mampu ketawa semasa memberitahuku berita kematian suaminya. Petang kelmarin, ku telefon kawanku Da yang menjalani pembedahan di Hospital Pakar Perdana, Kota Bharu yang menjalani pembedahan kanser payu dara. Dia memberitahu pembedahan berjalan lancer dan dahpun bersedia untuk pulang ke rumah. Dia akan membuat radioterapi 2 minggu lagi. Moga kansernya tidak merebak(metastasis). Terimalah takdir setelah kita berusaha. Dan semoga kita semua diberkati Allah swt.

ZIARAH PESAKIT KANSER

4 Jun 2010 Menziarahi Pesakit Kanser. Hari ini hari Jumaat, hari yang mulia bagi umat Islam. Pagi tadi ku ziarahi kubur arwah isteriku yang meninggal akibat kanser payu dara untuk kesekian kalinya. Moga rohnya damai di alam barzakh. Selepas Solat Jumaat, Ku ziarahi pula warisku yang sedang menuggu anakknya di Wad 6 Utara HUSM Kubang Kerian, Kota Bharu yang menderita Kanser Tulang. Kerana keadaanku yang masih belum sihat sepenuhnya, aku menggunakan kerusi roda dengan ditolak oleh isteri. Kesian saudaraku ini, anak perempuan sulungnya menderita kanser dan dah 4 cycle kimoterapi. Rambutnya dah jarang dan dikurantin dalam bilik khas kerana ada jangkitan kuman. Namun bila ku jumpa saudaraku, dia dah dapat terima keadaan, sudah mampu tersenyum, tidak seperti pertama kali berjumpanya dulu, raut mukanya menggambarkan bagaimana isi hatinya. Ku telah berikan dia Buku Doa Penawar Kanser dan Buku Merawat Menggunakan Ayat 33 karangan Ustaz Halim, bekas Pensyarah Maktab Gaya dan Maktab Perguruan Kota Bharu dan mengamalkan perubatan Islam(boleh dihubungi melalui tel: 013-9393603- dia boleh merawat barah) Selepas beberapa ketika berbual, aku minta diri pulang kerana betis ku terasa sungguh lenguh. Kesan ubat Sutent ini begitu kuat hingga ku terpaksa minum sirap morfin bagi menghilangkan lenguh dan sakit bisul di dadaku. Sekian, jumpa di lain entri. Wassalam

KE MAKAM KASIH


4 Jun 2010

KE MAKAM KASIH

Hari ini hari Jumaat. Selepas menonton Rancangan Tanyalah Ustaz di TV9, Aku pergi menziarahi kubur Arwah Isteriku yang meninggal akibat Kanser Payu dara pada 1 Jun 2003. Lama aku berzikir di sana. Teringat kembali saat-saat suka- duka semasa hidup bersama. Bagaimana kami berusaha untuk tinggal bersama selepas kahwin pada 22 Mei 1992 kerana dia selepas seminggu kahwin mendapat kerja sebagai Kerani di Jabatan Bekalan Elektrik Kuala Lumpur dekat Hotel Concorde. Bersusah-payah saya ke Jabatan Perkhidmatan Awam memohon pertukaran dia ke Sabah dan Alhamdulillah di Sabah ada jawatan kerani yang kosong di Jabatan Bekalan Elektrik di sana.

Tahun  1994, kami berpindah balik ke Kelantan, sayangnya dia di t empatkan di Jabatan Pendaftaran Pengangkutan di Kuantan dan saya di tempatkan di SMK Raja Sakti, Kota Jembal, Kota Bharu. Pada masa yang sama dia mendapat surat pelantikan sebagai Kerani Sekolah di SK Padang Setebu, Kuala Berang Terengganu. Kami mengambil keputsan melepaskan jawatan sebagai kerana dengan JPA dan menjadi Kerani di Kementerian Pendidikan.

Sekolahnya jauh di pedalaman, 5 km dari  Empangan Kenyir(Pengkalan Gawi) tetapi dia menyewa di Tengkawang. Seminggu sekali saya akan ke sana dan pada hari sabtu saya akan pulang ke kampng semula. Pada masa itu dia mengandungkan anak sulung kami.

Di SMK Raja Sakti, saya seorang Guru Kaunseling dan kemudian dilantik sebagai Kauselor Sepenuh Masa. Disebabkan tugas saya yang banyak terlibat dengan aktiviti luar seperti Kem Motivasi, saya kadang-kadang lewat petang Khamis baru pergi ke Kuala Berang yang mengambil masa hampir 3  jam. Kalau ada Kelas Tambahan hari Sabtu, jam 5.00 pagi Sabtu, saya dah bertolak balik ke Kota Bharu. Begitulah rutin saya sehinggalah tahun 1996 bila dia di tukarkan ke SK Sungai Dua, Bachok.

Pada tahun 1998, kami membina rumah sendiri, sayang nya pada tahun 1999 dia menghidap kanser. Pada tahun 2000 saya dipindahkan ke SMK Bachok dan mengajar Tingkatan 6. Tahun ini juga dia membuat biopsy dan disahkan kanser tetapi  dia menolak untuk melakukan pembedahan dan lebih suka mendapatkan rawatan tradisional walaupun jenuh saya memujuknya. Maka bermulalah episode duka dalam hidup kami sehinggalah dia meninggal dunia. Ini semua sudah suratan Illahi,  aku terima dengan redha  dan kini aku pula menderita kanser dan aku sebagai hambaNya menerimaNya dengan redha kerana kita milik Allah. Dari Allah kita datang dan kepadaNya kita akan dikembalikan. Cuma kupohon, Ya Allah berilah aku ketabahan dalam menghadapai  ujianMu. Amin.

Tuesday, June 15, 2010

THIRD WORLD WAR WAS BEGIN?


9.6.2010

THIRD WORLD WAR WAS BEGINNING?

Flotila bantuan kepada penduduk Gaza yang dikepung Zionist Yahudi dengan Kapal Mavi Marmara  dari Turki telah diserang oleh Komado Israel di perairan antara bangsa berhampiran sempadan Gaza pada  31 Mei 2010 telah menyebabkan 9 orang sukarelawan Turki syahid. Bersama bantuan kepada penduduk Gaza tersebut  ialah sukarelawan dari Malaysia. Alhamdulillah kesemua sukarelawan Malaysia terselamat hasil bantuan beberapa Negara seperti Jordan, Turki, Filipina dan New Zealand. Mereka telah tiba di tanah air dan telah ditemuramah oleh para wartawan dan stesen TV di Malaysia.

Mengikut sukarelawan, mereka tidak menyerang komando Israel yang mendarat menggunakan helicopter seperti yang dilaporkan CNN. Sebaliknya mereka ditembak ketika sedang Solat Subuh hingga syahidnya 9 syuhada daripada Turki. Sementara sukarelawan Malaysia diacukan senjata dan diikat tangan selama 15 jam dan tidak dibenarkan ke tandas.

Pada 7 Jun 2010, Malaysia telah mengutuk serangan tersebut dan dalam sidang Parlimen, Perdana Menteri Malaysia YAB Dato’Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah meluluskan resolusi Mengutuk Serangan Kejam Tentera  Zionis Israel ke atas Konvoi Kapal Freedom Flotilla yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Nampaknya Israel mahu bermain api dengan Umat Islam. Sudah lupakah mereka sejarah bangsa mereka yang dihalau dari Bumi Palestine dan dijadikan hamba oleh Firaun, nasib baik mereka diselamatkan oleh Nabi Musa a.s dengan menyeberangi Laut Merah yang terbelah.

Sudah lupakah mereka semasa Perang Dunia Kedua bangsa mereka dibunuh oleh Nazi dibawah Adolf Hitler tetapi nasib menyebelahi mereka bila Jerman kalah dalam Perang Dunia 2 dan tamatnya Perang Dunia 2 pada 15 Ogos 1945 bila Jepun menyerah kalah apabila pengganas no.1 dunia, Amerika Syarikat yang mengebom Hiroshima pada 6 Ogso 1945 dan Nagasaki 8 Ogos 1945 dengan bom atom(nuclear)

Kesan daripada PDII, tertubuhlah Negara Yahudi Israel dengan merampas tanah milik  umat Islam Palastine pada tahun 1948 melalui perjanjian  Balfour. Sedikit demi sedikit tanah Palestine dirampas. Negara Arab pernah bangkit menentang pada tahun 1967 tetapi terpaksa berdamai keana campur tangan Amerika Syarikat.

Amerika Syarikat(USA) menjadi pencacai Yahudi kerana undi Presidennya dibiayai oleh pelobi Yahudi. USA menggunakan kedudukannya sebagai Ahli Majlis Keselamtan PBB untuk menggunakan kuasa veto bagi membatalkan semua usul yang mengutuk Israel. China dan Rusia pula cuma berkecuali.

Sampai bila umat Islam perlu ditindas oleh kuasa barat, tidak cukupkah lagi umat Islam dijajah oleh England dulu dan kini diganti oleh Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya. Iraq dan Afghanistan sudah  jatuh ke tangan mereka sementara Negara-negara Arab pula sebahagian besar bersekokongkol  dengan kuasa barat. Hanya Iran satu-satunya harapan Amerika. Al-Qaeda pula menggunakan taktik menyerang kepentingan barat dan orang Awam kuasa barat yang pada pendapat saya tidak sesuai dengan ajaran Islam yang melarang menyerang orang Awam dan rumah ibadat.

Bangkitlah umat Islam, kembalikan kegemilangan Islam seperti Zaman Nabi, Zaman Khalifat al-Rasyidin, Umayyah, Abbasiyah dan Turki Uthmaniah. Jika umat Islam bersatu, tentu kuasa barat akan jatuh seperti jatuhnya kerajaan Rome di tangan Islam dulu.

Allah  hu Akbar. Sesunggunya Allah bersama orang-orang yang bertakwa. Kembalilah kepada ajaran Islam sebenar dan Islam Insya Allah akan menentang menentang kuasa kuffar.  Jangan kita hanya berpeluk tubuh menunggu kelahiran Imam Mahadi dan turunnya Nabi Isa a.s.

Sekian. Wabillah hi taufik walhidayah , wassalamualikum warahmatullah hi wabarakatuh.  

Monday, June 14, 2010

SAJAK BUAT PARA JURURAWAT


Selamat Hari Jururawat

Dalam dunia aman kau menabur bakti
Merawat mesra insan menderita
Kau bersekang mata tika insan lain dibuai mimpi
Kau tinggalkan keluarga tersayang demi tugas mulia
Terima kasih jururawat tersayang

Dalam dunia bergelora kau menabur bakti
Peluru bersimpang-siur tidak mematahkan semangatmu
Bunyi bom bak bertih goreng tak menghalangmu
Merawat insan luka parah di medan perang, di medan juang
Ikhlaskan niatmu wahai jururawat
Moga segala jasamu mendapat pahala disisiNya.
Moga di alam sana kau di tempat mulia

Zaini al-Rengasi 16.4.2010 

Sajak Buat Rakyat Palastine

Anak Kecil Itu Masih Menangis
(Buat Pejuang Palestine)

Seorang anak kecil menangis pilu
Meratapi kediamannya ranap
Dek digempur pesawat jahanam Zionis

Ia mengutip sisa-sisa runtuhan
Ia mengutip sisa-sisa makanan
Buat mengalas perut yang sentiasa berkeroncong

Anak kecil itu masih menangis
Meratapi pemergian ayah ibu
Meratapi pemergian abang dan adik

Kini ia keseorangan
Dalam mengharugi hidup yang tak kenal erti belas kasihan
Dalam hidup dibayangi bom Zionis

Anak kecil itu masih menangis
Melihat bangsanya dipulau dunia
Hanya kerana ingin merdeka
Hanya kerana inginkan hak mereka
Hak memerintah sendiri
Hak memiliki kekayaan bumi sendiri
Hak mengamalkan agama dengan aman

Kini anak kecil itu tidak menangis lagi
Di bahunya tersandang roket Katyusha
Di bahunya tersandang AK-47
Digempurnya pesawat Israel
Digempur Tel Aviv
Biar mereka turut merasa sakitnya kehilangan insan tercinta
Biar darah mereka menjadi saksi kekejaman mereka

Kini anak kecil itu diratapi
Ia pergi menemui Pencipatanya
Ia syahid demi sebuah perjuangan
Menegakkan negara Palastine berdaulat.

Zaini al-Rengasi
22.5.2010