Tahun ini merupakan tahun yang paling menyedihkan sejak aku sakit kerana pada tahun ini aku terpaksa beraya di hospital. Sebenarnya aku sudah dimasukkan ke wad 3S kerana bisul yang naik di dadaku membengkak dan begitu sakit sekali.. Setelah beberapa hari dalam wad, bisulku pecah dan hanya dicuci oleh jururawat. Aku diberi morfin bagi menahan sakit sehingga aku khayal, cakapku tidak jelas, tak tahu arah kiblat dan lain-lain kesan negatif morfin.
Selepas bisul ku pecah, doktor membenarkan ku balik, aku gembira kerana hari raya tinggal 2 hari lagi. Ingin sekali aku beraya di surau kampungku kerana sudah lama benar aku tidak ke musalla kerana penyakit kanser yang aku tanggung. Malangnya pada malam sehari sebelum raya, perutku sakit melampau, bila tak tahan lagi di rumah, walaupun dimakan sirap morfin, aku dibawa oleh isteriku ke Unit Kecemasan HUSM pukul 300 pagi.
Sebenarnya aku dah serik ke HUSM kerana apabila doktor mahu memasukkan jarum ke dalam urat, ianya begitu menyakitkan dan biasanya selepas 3 atau 4 kali cucuk jarum baru drip dapat dimasukkann. Dari situlah air dan ubat tahan sakit dimasukkan.
Sesampainya di Husm, 6 orang doktor cuba memasukkan jarum dalam tubuhku tetapi tak berjaya, aku dah tahan lagi sakit dan meminta doktor bius saja. Akhirnya doktor pakar datang dan cucuk jarum melalui urat dileherku, sakitnya jarum yang dicucuk dileherku tak begitu terasa sakitnya kerana sakit perutku melebihi segalanya. Aku bertakbir untuk menahan sakitku.
Aku memberitahu doktor bahawa aku alergik dengan ubat tahan sakit maxilone, cuma kytril yang sesuai untukku. Selepas dimasukkan ubat tahan sakit dan beberapa jenis ubat lain, sakitku semakin reda.
Malamku aku tak dapat tidur, aku kesian kepada anak dan keluargaku kerana bersahur di hospital. Pagi esoknya ayah dan anakku pulang ke rumah dan aku ditemani oleh isteri dan emakku, dua orang yang sentiasa di sampingku bila ku sakit.
Paginya aku dilakukan ultrasound. Bila skanernya diletakkan dibisulku, aku rasa macam terkena renjatan elektrik, ini menyebabkan jurutekniknya hanya melakukkan ultrasound di kawasan lain.
Paginya bisulku ku dicuci oleh Dr.Fatin, sakitnya tak terkata, doktor menghirisku kulitku yang dijangkiti untuk mengelakkan bisulku merebak.
Selepas 15 minit, baru selesai dan aku menarik nafas lega.
Aku masih tak selesa kerana tiub dimasukkan melalui hidung dan menyebabkan tekakku merasa geli.Dah 4 hari aku tak makan dan minum, cuma bergantung kepada air dan ubat antibiotik dan gastrik yang dimasukkan melalui saluran darah.
Hari raya , lepas solat semua keluargaku datang. waris-waris turut datang, begitu juga kawan-kawanku. terima kasih semua tetapi aku minta maaf kerana tak dapat berbual panjang kerana masih lemah.
Raya ketiga, Dr. Mehboob Alam Pasya, seorang pensyarah dan doktor pakar melawatku dan memberitahu akan melakukan endoskopi. Aku terkejut kerana aku dah serik buat endoskopi, ini kali ke 5. Ia begitu menyakitkan bila wayar yang ada kamera di hujungnya dimasukkan ke dalam mulut dan seterusnya ke perut bagi melihat sebarang luka dalam perut.
Raya ke 4, Dr.Pasha membuat endoskopi, aku muntah bila dimasukkan wayar, aku tahan juga hinggalah prosedur selesai selepas 15 minit.
Hari ini aku dibenarkan minum air saja. Setiap kali aku melihat orang membawa air, tekakku terasa haus sekali tetapi terpaksa bersabar. Esoknya aku dibenarkan makan soft diet.
Hari kelima raya aku dibenarkan pulang dan mesti cucu luka tiap-tiap hari di klinik Bachok.
Bersambung kerana aku tak berani lama-lama mengadap komputer takut kepada radiasinya.
No comments:
Post a Comment