Parameter Pelaburan Emas 
Keputusan: 
Muzakarah 
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia
 Kali Ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011 telah membincangkan 
mengenai Parameter Pelaburan Emas. 
Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
Setelah mendengar taklimat dan penjelasan daripada Y. Bhg. Prof. Dr. 
Ashraf Md. Hashim dan Y. Bhg. Ustaz Lokmanulhakim bin Hussain daripada 
Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (ISRA), 
Muzakarah bersetuju menerima dan memperakukan Parameter Pelaburan Emas 
seperti berikut:
Syarat Umum Jual Beli
1. Transaksi jual beli emas mestilah memenuhi semua rukun jual beli yang
 digariskan oleh Syarak, iaitu pihak yang berakad, item pertukaran, dan 
sighah menurut ’uruf yang diamalkan. Jika sekiranya suatu transaksi 
tidak memenuhi salah satu rukun jual beli, transaksi tersebut dikira 
tidak sah.
Pihak Yang Berakad
2. Pihak yang berakad mestilah orang yang mempunyai kelayakan melakukan 
kontrak (Ahliyyah al-Ta’aqud) iaitu dengan memenuhi kriteria berikut:
i. Baligh, berakal dan rasyid
Jika sekiranya pihak yang berakad seorang yang gila atau kanak-kanak 
samada mumayyiz atau tidak mumayyiz, maka jual belinya adalah tidak sah.
 Akad oleh kanak-kanak yang mumayyiz adalah tidak sah kerana jual beli 
ini melibatkan barang yang tinggi nilainya.
ii. Keredhaan
Akad jual beli mestilah dimeterai oleh dua pihak yang saling reda-meredhai, tanpa ada unsur paksaan, tekanan dan eksploitasi.
Harga Belian (al-Thaman)
3. Harga belian (al-Thaman) hendaklah diketahui dengan jelas oleh kedua-dua pihak yang berakad ketika sesi jual beli.
Barang Belian (al-Muthman)
4. Barang belian (al-Muthman) hendaklah suatu yang wujud, dan dimiliki 
sepenuhnya oleh pihak yang menjual ketika berlangsungnya kontrak jual 
beli. Oleh itu, jual beli suatu yang tidak wujud secara fizikalnya dan 
juga jual beli suatu yang tidak dimiliki oleh pihak yang menjualnya 
adalah tidak sah.
5. Barang belian (al-Muthman) hendaklah suatu yang boleh diserahkan 
kepada pembeli atau wakilnya. Jika barang belian tidak dapat diserahkan 
kepada pembeli, ataupun penjual mensyaratkan tidak menyerahnya kepada 
pembeli, maka akad tersebut tidak sah.
6. Barang belian (al-Muthman) hendaklah suatu yang diketahui oleh 
kedua-dua pihak yang berakad ketika sesi jual beli. Ia boleh terlaksana 
melalui kaedah-kaedah di bawah:
i. Melihat sendiri barangan yang hendak dibeli ketika akad jual beli, 
atau sebelum akad jual beli dalam tempoh yang tidak menjejaskan 
sifat-sifatnya.
ii. Melihat sampel barangan yang hendak dijual beli. Ini biasanya berlaku semasa proses pemesanan sebelum akad dilaksanakan.
iii. Menentukan sifat-sifat dan kadar barang belian secara terperinci 
yang secara urufnya tidak menimbulkan pertikaian. Dalam konteks emas, 
penentuannya adalah dengan mengenalpasti tahap ketulenan emas samada 
mengikut standard lama berasaskan karat (seperti emas 24 karat), atau 
standard baru berasaskan peratusan (seperti emas 999). Penentuan sifat 
juga mestilah mencakupi bentuk emas, samada dalam bentuk syiling, wafer,
 jongkong dan sebagainya. Timbangan emas secara tepat juga adalah suatu 
yang disyaratkan dalam penentuan sifat emas.
Sighah
7. Sighah dalam jual beli adalah suatu yang menunjukkan kepada keredhaan
 kedua-dua pihak untuk memetrai kontrak jual beli. Ia boleh berlaku 
samada melalui pertuturan, atau suatu yang boleh mengambil hukum 
pertuturan seperti tulisan dan seumpamanya. Manakala jual beli secara 
Mu’ataah (serah-hulur) juga adalah dikira sebagai sighah yang muktabar 
oleh sebahagian fuqaha’.
8. Di dalam sighah jual beli tidak boleh dimasukkan unsur penempohan. 
Contohnya, seseorang mengatakan, ” Saya menjual barangan ini kepada kamu
 dengan harga RM100 untuk selama tempoh setahun”.
9. Ijab dan qabul mestilah bersepadanan dan menepati antara satu sama lain dari sudut ciri-ciri dan kadarnya.
Syarat Khusus Jual Beli Emas Yang Bercirikan Item Ribawi
10. Oleh kerana emas dan wang adalah dua item ribawi yang mempunyai 
illah yang sama, maka syarat tambahan bagi transaksi pembelian atau 
penjualan emas mestilah memenuhi syarat berikut:
i. Berlaku taqabudh (penyerahan) antara kedua-dua item yang terlibat 
dalam transaksi sebelum kedua-dua pihak bertransaksi berpisah daripada 
majlis akad.
ii. Jual beli emas hendaklah dijalankan secara lani, dan tidak boleh berlaku sebarang penangguhan.
Syarat-syarat tersebut adalah khas bagi emas yang bercirikan item 
ribawi, seperti emas jongkong dan syiling emas. Syarat ini tidak 
termasuk barang perhiasan emas kerana ia telah terkeluar daripada illah 
ribawi.
Perincian taqabudh dan urusniaga lani adalah seperti berikut:
Syarat Pertama: Taqabudh
11. Taqabudh (penyerahan) hendaklah berlaku terhadap kedua-dua item jual
 beli iaitu harga dan juga barang belian (emas), dan ia hendaklah 
terlaksana sebelum kedua-dua pihak berpisah daripada majlis akad.
12. Penyerahan harga boleh dilakukan melalui kaedah-kaedah berikut:
a. Pembayaran secara tunai
b. Pembayaran secara cek yang diperakui (seperti banker’s cheque)
c. Pembayaran secara cek peribadi
d. Pembayaran secara kad debit
e. Pembayaran secara kad kredit
f. Pemindahan wang daripada akaun simpanan atau semasa.
Secara urufnya, kesemua bentuk bayaran di atas kecuali (c) adalah 
dianggap sebagai pembayaran tunai oleh penjual. Pembayaran melalui kad 
kredit masih lagi dianggap tunai kerana pihak penjual akan mendapatkan 
harga jualan secara penuh dari pihak yang mengeluarkan kad kredit 
tersebut. Hutang yang berlaku, jika ada, adalah di antara pemegang kad 
dengan pengeluar kad dan bukannya dengan penjual barangan.
Status tunai ini masih lagi diterima secara urufnya oleh penjual 
walaupun pada hakikatnya pihak penjual akan menerima secara fizikal atau
 dimasukkan ke dalam akaunnya beberapa hari selepas transaksi berlaku.
13. Penyerahan barang belian (emas) hendaklah berlaku secara penyerahan 
hakiki ataupun kaedah muktabar yang boleh menggantikan penyerahan 
hakiki. Penyerahan barang belian yang muktabar akan membawa kesan sama 
seperti penyerahan hakiki, iaitu:
a. Berpindah dhaman (tanggungjawab jaminan) daripada penjual kepada pembeli.
b. Kemampuan pembeli untuk mendapatkan barang beliannya pada bila-bila masa tanpa ada halangan.
14. Majlis akad di dalam transaksi jual beli boleh berlaku dengan 
pertemuan secara fizikal, ataupun secara maknawi. Contoh majlis akad 
secara maknawi ialah ijab dan qabul melalui telefon, sistem pesanan 
ringkas (sms), emel, faksimili dan lain-lain. Tetapi disyaratkan dalam 
semua bentuk majlis akad tersebut, hendaklah berlaku taqabudh ketika 
majlis akad, contohnya melalui penyerahan secara wakalah.
Perlu diberi perhatian bahawa majlis akad secara bertulis akan hanya 
bermula apabila ianya diterima oleh pihak yang berkontrak. Contohnya, 
pembeli menandatangani akad jual beli dan kemudian menghantarnya melalui
 pos kepada penjual. Selepas tiga hari, akad tersebut sampai ke tangan 
penjual. Maka majlis akad bermula pada waktu tersebut, jika pihak 
penjual bersetuju, maka akad tersebut perlu disempurnakan oleh penjual 
dengan menandatanganinya, dan barang belian hendaklah diserahkan kepada 
pembeli secara hakiki atau hukmi.
Syarat Kedua: Secara Lani 
15. Transaksi jual beli emas hendaklah berlaku secara lani dan tidak 
boleh dimasuki sebarang unsur penangguhan, samada dalam penyerahan harga
 atau dalam penyerahan emas.
16. Penangguhan penyerahan harga yang tidak dibenarkan adalah meliputi 
pembelian secara hutang secara keseluruhannya atau pembelian secara 
bayaran ansuran.
17. Kelewatan penyerahan emas yang melebihi tempoh tiga hari selepas 
akad jual beli dimeterai adalah tidak dibenarkan sama sekali.
Manakala bagi kelewatan penyerahan emas dalam tempoh kurang daripada 
tiga hari, Muzakarah mengambil maklum bahawa terdapat perbezaan 
pandangan ulama di dalam hal ini. Namun Muzakarah lebih cenderung untuk 
mengambil pakai pendapat yang tidak membenarkan berlakunya kelewatan 
walaupun tempohnya kurang daripada tiga hari. Dengan kata lain, 
penyerahan emas mestilah di lakukan di dalam majlis akad tanpa ada 
penangguhan. Ini adalah kerana di dalam urusniaga emas, kelewatan tiga 
hari bukanlah suatu uruf, berbeza dengan isu tukaran matawang asing.
Di dalam pertukaran mata wang asing, tempoh T+2 diperlukan kerana ianya 
melalui proses tertentu yang melibatkan tempoh masa bekerja yang berbeza
 antara negara, perpindahan wang elektronik, clearing house dan 
lain-lain lagi. Proses-proses yang disebutkan ini tidak terdapat di 
dalam perniagaan jual beli emas fizikal. Maka adalah tidak tepat untuk 
membuat qiyas ke atas proses pertukaran matawang asing.
Namun secara praktikal, pihak penjual akan menyerahkan emas selepas 
amaun bayaran yang dibuat melalui cek dan sebagainya dikreditkan ke 
dalam akaunnya. Proses ini biasanya akan mengambil masa tiga hari 
bekerja. Di dalam menangani tempoh antara penyerahan cek dan penerimaan 
emas, maka pihak penjual dan pembeli bolehlah mengambil pakai aturan 
berikut:
Pihak pembeli akan hanya membuat pesanan (order) kepada penjual dengan 
dinyatakan jenis dan berat emas yang ingin dibelinya. Pesanan ini akan 
disertai dengan pengiriman wang ke akaun penjual. Pada tahap ini, 
perkara berikut perlu diberi perhatian:
i. Pada peringkat ini, akad jual beli emas masih belum berlaku.
ii. Wang yang berada di dalam akaun penjual masih lagi bukan milik 
penjual tersebut. Ianya masih milik pembeli dan disimpan sebagai amanah 
oleh penjual. Di dalam hal ini, adalah lebih baik jika satu akaun khas 
yang bersifat amanah (trust account) dibuka oleh penjual.
iii. Emas masih lagi kekal menjadi milik penjual dan ia bertanggungjawab penuh ke atas emas milikannya itu.
iv. Di dalam peringkat ini, pembeli masih boleh membatalkan pesanan yang
 dibuat dan penjual hendaklah memulangkan wang kepada pembeli. Namun, 
jika berlaku kerugian sebenar disebabkan pembatalan tersebut, bolehlah 
dibuat syarat bahawa ia perlu ditanggung oleh pembeli. Contohnya, 
pembeli membuat pesanan 100gm emas 999 dengan harga RM20,000. Ketika 
ini, pihak penjual telah menyimpan emas tersebut dan tidak menjualkannya
 kepada pihak lain yang telah bersedia untuk membelinya. Selepas tiga 
hari, apabila penjual bersedia untuk membuat akad jual beli dan 
seterusnya menyerahkan emas tersebut kepada pembeli, pembeli membatalkan
 pesanannya. Pada hari tersebut harga emas telah jatuh kepada RM19,000. 
Dengan kata lain, penjual akan kerugian RM1,000 jika menjualnya kepada 
pihak lain. Di dalam hal ini, kerugian sebenar adalah sebanyak RM1000.
Apabila wang pesanan sudah diberi clearance oleh bank, maka akad jual 
beli perlu dilakukan. Wang di dalam trust account (jika ada) bolehlah 
dipindahkan ke akaun penjual dan emas hendaklah diserahkan kepada 
pembeli.
Akad Dan Unsur Sampingan
18. Penglibatan hibah dalam transaksi jual beli samada hibah dalam 
bentuk barangan ataupun wang tunai adalah dibenarkan jika mencukupi 
syarat-syarat hibah, dan tidak melibatkan unsur-unsur yang bercanggah 
dengan syarak. Perlu diberi perhatian bahawa hibah secara hakikatnya 
adalah akad sukarela dan ia bukanlah di dalam bentuk lazim. Dengan kata 
lain, jika janji hibah ini tidak ditunaikan oleh penjual, maka pembeli 
tidak boleh memaksanya memberi hibah tersebut.
19. Penglibatan wadiah dalam pelan pelaburan emas hendaklah menepati 
hukum hakam wadiah, yang antara lain ialah pegangan wadiah adalah 
berasaskan kepada Yad Amanah.
20. Seseorang yang membeli emas bebas mengendalikan (tasarruf) emasnya, 
termasuklah memberi pinjaman (qardh) kepada orang lain. Tetapi hendaklah
 memenuhi kriteria qardh yang dibenarkan syarak, yang antara lain tidak 
boleh membawa unsur faedah, tidak wujud unsur ”salaf wa bay” iaitu 
hutang yang diikat bersama dengan jual beli.
21. Seseorang yang membeli emas bebas mengendalikan (tasarruf) emasnya 
termasuk menjadikannya sebagai pajakan untuk wang secara hutang, selagi 
konsep al-Rahn yang digunakan adalah bertepatan dengan hukum syarak. 
Namun secara teorinya, perkara ini seharusnya tidak digalakkan kerana 
secara tidak langsung ia menggalakkan aktiviti berhutang di dalam 
keadaan yang tidak perlu.
22. Wa’d boleh dimasukkan dalam pelaburan emas, selagi mana ia adalah 
wa’d dari sebelah pihak dan bukannya muwa’adah dari kedua-dua belah 
pihak. Contoh aplikasi wa’d dalam konteks ini ialah membuat purchase 
order, iaitu pelanggan membuat perjanjian untuk membeli emas dengan 
harga tertentu. Perjanjian pembelian ini dinamakan ’kunci harga’. 
Sekiranya proses kunci harga adalah menyamai proses akad jual beli, ia 
tidak dibenarkan kerana akan berlaku penangguhan.
23. Transaksi jual beli hendaklah bebas daripada unsur-unsur riba, 
perjudian, gharar yang berlebihan, dan kezaliman. Jika sekiranya 
terdapat unsur-unsur tersebut, transaksi jual beli adalah dikira tidak 
memenuhi kriteria syarak.
[ 
http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/parameter-pelaburan-emas ]
Lihat Ulasan UZAR dalam: [ 
http://zaharuddin.net/senarai-lengkap-artikel/3/1008-majlis-fatwa-syarat-halal-bagi-pelaburan-emas.html ]
Risalah Mengenai Penggunaan Emas & Jual Beli serta Tukar Emas Lama Dgn Baru di: 
http://abuanasmadani.blogspot.com/2011/09/2-risalah-hukum-menggunakan-emas-perak.html
Akhukum,
Abu Anas Madani, PSD. 7 Muharram 1433H.