Sabar itu Indah Wahai Pesakit Kanser
Jam sudah pun menunjukkan pukul 3.00 pagi, sudah hampir 2 jam aku bertarung menahan kesakitan bisul akibat kanser perutku yang muncul di dada. Akibat tidak tahan sangat dengan kesakitan melampau(severe pain) aku minum sirap morphine dan celebrex(ubat tahan sakit) yang dibekalkan oleh Pain Clinic dan Oncology Clinic. Aku ingatkan sakitku akan berhenti kerana dalam minggu ini setiap malam aku diserang kesakitan ini, bila reda sakit, aku akan tertidur dan sedar kembali bila sakit menyerang kembali. Cuma ku bersyukur kepada Allah kerana pada waktu pagi serangan tidak datang, dan aku dapat ke sekolah menjalankan tugasku sebagai pendidik anak bangsa.Isteriku setia menemaniku yang menangis bercucuran air mata menahan kesakitan. Sesungguhnya berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Bila dah tak tahan sangat, barulah isteri dan anak-anakku menelofon kedua orang tuaku untuk menemaniku di rumahku. Sebenarnya aku tak mahu lagi menyusahkan kedua orang tuaku lagi, kerana dah masuk 4 tahun mereka menjagaku di rumah dan di hospital kerana hospital terutama Wad 2 Intan dan I selatan menjadi rumah keduaku. Alhamdulillah, tahun ini baru seminggu masuk wad 7 Selatan dan 1 Selatan, itupun cuma seminggu kerana pada tahun lepas hampir setiap bulan aku masuk wad dan paling lama bulan Jun tahun lepas selama 26 hari dan 2 minggu tak makan dan tak minum, harapkan air dan susu(TPM) yang dimasukkan melalui saluran darah. Sakit usah ceritalah tetapi para sahabat dulu lagi sakit diseksa oleh kafir Quraisy, begitu juga dengan pejuang-pejuang Islam sekarang yang diseksa oleh tentera Amerika di Guantanamoa Bay dan di penjara Tel Aviv dan Baghdad. Mereka lagi menderita, kita sakitpun ditenteramkan oleh doctor dan jururawat tetapi mereka dahlah diseksa fizikal, mental juga turut ditekan.
Jari-jemariku masih lagi laju menaip di papan kekunci computer kerana computer adalah teman sejati ku, ia sedia mendengar segala rintihan hati ku, dia tidak pernah marah,tidak pernah merajuk dan tidak pernah benci pada ku , kalau rosak, aku akan bawanya ke kedai computer, biar duit habis asalkan hati bahagia. Tambahan pula memang aku agak mahir dalam ICT kerana pernah mengikuti Kursus Sekolah Bestari 14 Minggu di Maktab Perguruan Kota Bharu pada tahun 2000 semasa aku mengajar di SMK Bachok tetapi kemahiran aku tidak ku pamerkan di SMK Kandis kerana aku menjawat jawatan sebagai Guru Kanan Teknik dan Vokasional ,apatah lagi di sana sudah ada YM Tg. Azmi yang memang mahir dalam computer bahkan pernah membuat Presentation di hadapan Bill Gates di Amerika Syarikat pada tahun 2005. Aku cuma membantu guru Kemahiran Hidup bertanding dalam Guru Inovasi sempena Hari Guru 2005 dan kami mendapat Tempat Ketiga Ketegori Berkumpulan dan dapatlah merasa menerima Sijil daripada Ke bawah Duli Yang Mulia Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis di Dewan Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kota Bharu pada tahun tersebut. Sijilnya ku gantung di rumahku sebagai kenang-kenangan.
Petang tadi aku ke rumah mertua, bertanya khabar tentang kesihatannya kerana dia terkena strok. Aku dah 3 minggu tak menziarahinya kerana keadaan kesihatanku tidak mengizinkan, balik saja dari sekolah, aku cuma berbaring di tilam di ruang keluaga, kadang-kadang solat Zohor ku Jamakkan dengan Asar dan Maghrib dengan Isyak. Solatpun sambil duduk. Maghrib tadi dapat berjemaah di balaisah(surau) dan baca Yasin, ingatkan dah tak akan datang lagi sakit, rupa-rupanya Allah mahu lagi mengujiku dengan kesakitan ini, SABARLAH KERANA SABAR ITU INDAH.
Tengah hari kelmarin aku berjumpa dengan seorang kawan lamaku, seorang perempuan.Dia jauh lebih muda daripadaku dia memanggilku “Abe” Di raut mukanya tersimpan seribu kerisauan, dalam menahan air matanya yang disulam dengan senyuman dia membuka bicara:
“Bang! Saya ada nak beritahu Abe satu perkara dan saya rasa Abe orang yang sesuai kerana Abe ada banyak pengalaman. Dulu arwah isteri Abe meninggal akibat kanser payu dara dan sekarang Abe pula yang menderitanya” dalam suara tersangkut-sangkut dia membuka bicara.
Aku merenung mukanya penuh simpati. Berat rasa hati untuk menceritakan betapa menderitanya ketika mengurus isteri menderita sakit kanser. Bomoh mana yang isteriku minta aku bawa, aku sebagai seorang suami yang setia sedia membawanya kerana dia menolak cadanganku supaya mendapatkan rawatan moden. Pelbagai harapan palsu diberikan oleh bomoh tetapi akhirnya ke hospital juga tetapi sudah terlambat.
Bulan lepas, aku mendengar berita seorang jururawat di Husm juga telah kembali menemui Penciptanya akibat kanser dan ramai lagi kawan-kawanku yang telah meninggal akibat kanser dan semoga roh mereka di tempatkan di sisi para solehin.
“Keluarga awak dah tahu ke!” aku bertanya penuh simpati kerana apa yang dia lalui ini sama seperti yang aku lalui dulu. Selepas isteriku dibuat biopsi di HRRPZII dan disahkan kanser, kami pulang ke rumah tanpa bercakap sepatahpun, masing-masing melayan perasaan. Bila aku cuba membuka mulut, isteriku hanya membisu seribu bahasa. Untuk menjaga hatinya, aku turut membisu. Dia enggan membuang payu daranya kerana takut cacat walaupun aku berjanji tidak akan menduakannya. Entahlah! Mungkin bagi perempuan payudara ibarat mahkota mereka tetapi kalau mahkota rosak buat apa, baik dbuang saja.
“Ya! Suami dan semua keluarga dah tahu, cuma tunggu keputusan suami . Mengikut doctor di Perdana Medical Center, ia cuma ketumbuhan biasa, tidak akan merebak” ujarnya sambil mengharap cadanganku.
“Dah buat biopsy?” balasku.
“Belum” ujarnya sambil tersenyum pahit.
“D, status ketumbuhan hanya dapat disahkan sama ada kanser atau tidak bila sampel tisu diambil dan dibuat ujian di makmal patologi. Dari situ baru kita tahu sama ada sel kita itu benign(setempat) atau malignant(merebak) dan kalau malignan, ia agak bahaya tetapi awak jangan risau kerana pengesanan awal boleh menyelematkan awak. Semua orang akan mati bila tiba masanya, tidak boleh ditangguh walau sesaat dan tidak boleh diawalkan walau sesaat, semuanya telah tertulis di Luh Mahfuz tetapi kita sebagai hambaNya mesti berikhtiar dan berdoa agar kita disembuhkan daripada penyakit berbahaya ini. Berusahalah dengan perubatan moden, elakkan daripada berjumpa bomoh tradisional tetapi kalau perubatan Islam saya galakkan. Awak boleh combine dengan perubatan moden” nasihatku panjang lebar.
Perbualan kami terhenti apabila beberapa orang lalu-lalang di hadapan kami dan kami menukar topik perbualan kerana kami ingin sembunyikan topic perbualan kami. Sebagai seorang bekas kaunselor pelajar, saya memang tahu etika kaunseling sama ada kaunseling individu atau kaunseling kelompok.
“Be! Apa pantang penyakit kanser?” dia bertanya bagi menambah pengetahuannya mengenai kanser.
“Awak ada internet kat rumah? tanyaku ingin kepastian.
“Laptop adalah tetapi belum ada broadband atau streamex” ujarnya sambil tersenyum.
Aku sebenarnya kagum dengan dia, walaupun perasaannya berkecamuk, dia masih lagi mampu tersenyum bagi menyembunyikan kerisaunnya daripada pengetahuan teman-teman lain.
“D! Sebenarnya, saya dahpun mengumpul bahan daripada internet mengenai kanser payu dara sejak tahun 2000 lagi dan masih saya simpan sampai hari ini. Nantilah saya bawakan kepada awak”
“ Tak apalah, ceritalah sekadar yang Abe ingat” dia mendesakku.
“Antara pantangnya ialah awak jangan makan makanan yang mengandungi karsinogen seperti karbon (arang) di ikan bakar dan sate, elakkan penggunaan bahan plastic yang tidak tahan panas sebagai alas makanan, jangan ambil produk gamat dan susu awal lembu kerana ia menggalakkan pertumbuhan sel, jangan ambil produk kacang soya kerana ia menggalakkan hormone astrogen, jangan tertekan-be positive- jangan fikir sangat tentang ketumbuhan di payu dara awak kerana hasil kajian menunjukkan daripada 10 ketumbuhan hanya satu kes sahaja kanser, yang lain-lain adalah ketumbuhan biasa” aku memberi nasihat yang aku ingat, nak beri laman web pun dia tak ada internet.
“Be! Pada pendapat Abe, buat pembedahan di Perdana ke HUSM?” kawanku ini begitu teruja nampaknya untuk mendapatkan rawatan daripada hospital. Dia seorang yang berpelajaran, lepasan university, sama seperti ku jadi senanglah kami berkomunikasi. Kalau dengan orang yang tidak berpelajaran agak sukar, kerana mereka masih terikat dengan pemikiran lama dan kolot, lebih percayakan bomoh dan takutkan hospital. Takut jarumlah, takut kena endoskopi, takut dengan CT Scan, takut dengan pembedahan dan entah apa-apa lagi yang dia takut.
“Terserah kepada awaklah tetapi pakar kanser setahu saya di Kelantan ini hanya di HUSM. Boleh juga awak buat pembedahan di Perdana kemudian buat pemeriksaan lanjut di HUSM, minta nasihat doctor di Perdana. Apa-apapun buat biopsy dulu untuk tahu status ketumbuhan” aku memberi cadangan.
Aku terlihat sedikit keceriaan di wajahnya berbanding ketika mula-mula berbual tadi.Ku lihat dari jauh kereta Proton Wira isteri ku menuju ke arahku. Sudah masuk tahun ke-4 isteriku menjadi pemanduku, aku cuma memandu kerete Proton Gen2 automatikku, itupun jika aku sihat dan ketika masuk Bandar Kota Bharu kerana isteriku tidak mahir memandu di dalam bandar apatah lagi dia cepat menggelabah.
“Ok D! Isteri saya dah sampai, kalau nak berbual lebih panjang, jemputlah ke rumah, bawa suami sama. Saya rasa di rumah lebih selesa, jauh daripada gangguan orang” aku tersenyum kepadanya agar dia lebih ceria menghadapi hari-hari mendatang.
“Ya Bang! Nantilah saya bincang dengan suami dulu. Apa-apapun terima kasih atas info yang abang bagi” balasnya penuh ceria sambil beredar menuju ke keretanya.
Kuharap dia tabah mendengar keputusan daripada biopsy nanti, dan ku berdoa agar ketumbuhannya bukan kanser. Aminnnnn!
Jam dah menunjukkan pukul 5.00 pagi, aku rasa setakat inilah dulu entri ku kali ini dan semoga ianya menjadi panduan yang berguna kepada para pembaca sekalin.
Wassalam.
Setiap yang bernyawa pasti akan mati tetapi sebanyak manakah amal kita untuk bekal di akhirat yang tidak akan mati-mati. Tepuk dada tanya iman.
28 Mei 2010
No comments:
Post a Comment