SMK
Menggatal Tercinta
16 Mei 1989
merupakan Hari Guru peringkat nasional, Zaini
dan Aziz begitu sedih kerana surat penempatan guru bagi lepasan Diploma
Pendidikan dan Kursus Perguruan Lepas
Ijazah(KPLI) belum lagi diterima sedangkan kawan-kawan lain dahpun dapat
mengajar di sekolah masing-masing . Azman ditempatkan di SMK Bachok,
beruntungnya dia. Aziz dan Zaini yang bersahabat sejak dari darjah satu lagi
dan persahabatan mereka berterusan sehingga ke Universiti Malaya. Sambil
menunggu surat penempatan , mereka
melancong ke Pulau Redang kerana Zaini mempunyai datuk saudara di sana. Mereka berdua tawakkal pergi ke sana dengan
harapan ada bot pukat jerut di jeti
Kuala Terengganu yang akan ke Pulau Redang,itu saja pilihan kerana bot
bertambang belum ada.
“Pakcik nak
balik ke Pulau Redang ke?” tanya Zaini kepada tuan punya bot pukat jerut yang
sedang bersiap untuk berangkat.
“Ya! Nak
tumpang ke?” balasnya penuh mesra.
“Ya Pakcik.
Saya nak pergi rumah datuk saudara saya di sana”
“Kalu gitu
maghilah, kita nak tolak dah ni”
“Terima
kasih Pak Cik, jasa baik Pak Cik takkah kami lupa!” Zaini dan mengulum
senyuman.
Zaini dan
Aziz begitu gembira kerana akhirnya hajat mereka untuk ke Pulau Redang tercapai juga, terutama Aziz yang belum pernah
bertandang ke sana.
Ombak Laut
Cina Selatan melambung bot pukat jerut yang ditumpangi. Kecut juga perut mereka kerana tidak pernah menempuh perjalanan
jauh dengan bot. Tapi hati mereka puas kerana hasrat untuk bercuti di Pulau
Redang tercapai. Dari jauh sudah kelihatan deretan rumah kayu di tepi pantai
yang dibina oleh kerajaan negeri Terengganu bagi menempatkan penduduk Pulau
Redang. Selepas 3 jam bertarung dengan ombak laut, akhirnya bot yang mereka
tumpangi berlabuh di jeti Pulau Redang.
Cantik sungguh pemandangan di Pulau Redang. Dari atas jeti mereka berdua
melihat ikan-ikan kecil berkejaran di air laut yang jernih sehingga menampakkan pasir di dasarnya.
“ Lihat
siapa yang datang” sahut tuanpunya bot kepada bapa sepupu Zaini yang kebetulan sedang
berbual kosong di jeti sambil menghirup
udara segar pada waktu petang.
“ Assalamualaikum
Ayah Long” Zaini berjabat tangan mesra
dengan bapa sepupunya. Aziz hanya tersenyum dan nampak kekok kerana belum biasa
dengan keluarga Zaini.
“Ayah Long! Ini kawan Zaini, Aziz, dia nak lihat
kehidupan di sini” usik Zaini. Aziz
hanya tersenyum .
Seminggu
mereka di sana. Terharu mereka dengan layanan yang diberikan oleh keluarga
Zaini di sana, mereka berdua dilayan bagai raja terutama Nenek Saudara Zaini,
bukan sahaja menyediakan makan dan minum, malah memasukkan bunga kenanga dalam
kolah mandi agar mereka berdua bila manda nanti, akan harum seluruh tubuh.
Mereka berdua dibawa oleh Ayah Awi memancing ikan di Pantai Dalam, walaupun
Zaini mabuk laut, tetapi seronok kerana dalam baringpun, ikan yang dipancing
tetap mengena, banyak sungguh ikan.
Pada suatu pagi, Zaini dan Aziz mengikut
Makcik Dah dan Ayah Cik ke Pulau Pinang, sebuah pulau yang kecil berhampiran
Pulau Redang. Makcik Dah buka kedai makan di sana bagi menyediakan makanan
kepada pekerja berbangsa Cina yang
sedang menjalankan kerja memotong kapal yang tenggelam berhampiran pulau tersebut.
Aziz dan Zaini sudah bersedia memancing di
sana. Mereka berdua menyusuri pantai meninggalkan warung makan Makcik Dah. Selepas
10 minit berjalan, akhirnya mereka menemui tempat yang sesuai untuk memancing.
Mereka meredah air laut dan memanjat batu di tengah laut, ketika itu air surut.
Mereka berdua mula memasang umpan sotong di mata kail dan jorang dilontar ke
laut lepas. Tak sampai 5 minit, joran dah mengena. Zaini menarik jorang ke
darat dan gembiranya rasa bila melihat seekor ikan yu terlekat di mata kail.
“Aduh!
Tajamnya gigi kau” jerit Zaini yang mahu melepaskan ikan yu dari mata kail.
Darah meleleh dari jari Zaini dan ia terus menghisap darah tersebut dan diludah
ke laut untuk membekukan darah.
“Padan
mukamu, lorat sangat!” usik Aziz yang juga sibuk melepaskan ikan yu daripada
mata kailnya.
Selepas dua
jam mengail, mereka mahu berangkat pulang tetapi alangkah terkejutnya mereka
kerana mereka tak sedar air dah mula pasang dan mereka terperangkap di atas
batu di tengah laut.
“Ziz! Camna
ni, matilah kita kat sini, nak ke pantai tak boleh kerana air dalam” Zaini
mulai risau. Teringat kepada keluarga yang bakal ditinggalkan jika mereka
berdua tenggelam di atas batu itu kerana air semakin pasang dan kemungkinan batu itu akan
tenggelam.
“Mu jangan
rungsing, kita anak jantan, pantang menyerah kalah. Tak lama lagi kalau kita
tak pulang, bapa sepupumu akan datang carilah” Aziz cuba menenangkan hati Zaini
walaupun Aziz sendiri kecut perut memikirkan padah yang bakal mengundang jika
air laut menenggelamkan batu tempat mereka memancing.
Selepas sejam menunggu, Allah menyelematkan
mereka berdua. Sebatang buluh terapung-apung ke arah mereka. Cepat-cepat Zaini
dan Aziz berenang ke arah buluh tersebut
sambil membawa peralatan memancing dan ikan yu yang diperolehi. Alhamdulillah,
akhirnya dengan berenang menggunakan buluh tersebut, mereka berjaya sampai ke
pantai. Mereka meneruskan perjalanan ke
warung mak sepupu Zaini sambil tidak
putus-putus mengucap syukur kepada Allah kerana mereka berdua telah terselemat
daripada menjadi mangsa Laut Cina Selatan yang ganas. Sesampainya mereka berdua
di warung tersebut, mereka terhidu bau sotong bakar. Serta-merta perut mereka
terasa lapar. Rupa-rupanya Bapa Sepupu Zaini dah pun membakar sotong untuk
dijadikan hidangan makan tengahari. Hilang semua kesedihan ketika di atas batu
tadi bila menjamah nasi panas dengan sotong bakar yang dicecah dengan sos
penyicah sotong.
“Para
penumpang sila pakai tali pinggang keledar seperti yang saya tunjukkan ini”. Demontrasi
keselamatan oleh peramugari pesawat MAS mematikan lamunan dua
sahabat itu. Zaini mendapat surat penempatan di Sabah sementara Aziz mendapat
surat penempatan di Sarawak. Inilah kali pertama mereka berdua menaiki pesawat
kerana keduanya daripada keluarga miskin. Anak penanam tembakau di Bachok. Mereka
berdua besar dalam lumpur, makan buah jembal bersama-sama, berkongsi nasi bekal
yang dibungkus dengan upih pinang semasa waktu rehat sekolah, buah tembikai
yang dibawa dari rumah sebagai penghilang haus.
Pesawat
berlepas meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Subang menuju Kota
Kinabalu. Kebiruan air laut dari jendela pesawat memang mempesonakan mata
memandang. Makanan dihidang oleh peramugari berkebaya batik yang memang anggun belaka.
Terpikat juga hati dua sahabat tetapi siapalah mereka untuk memikat peramugari
yang cantik jelita, pandang sajalah.
Pesawat
singgah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan turunlah Aziz untuk
melapor diri di Jabatan Pendidikan Sarawak. Berpisahlah dua sahabat sejati,
masing-masing membawa hasrat yang satu untuk mencari sumber pendapatan halal
bagi menampung diri dan keluarga yang miskin di kampung di samping menabur
bakti kepada anak bangsa. Mereka berpeluk dan berjabat tangan, entah bila akan
berjumpa lagi hanya Allah yang tahu. Air mata bercucuran kerana setelah sekian lama bersama, sejak di darjah
satu, tingkatan satu, tingkatan 6, Universiti Malaya dan kini terpaksa
berpisah.
“Ziz! Jangan
lupa aku ya! Halalkan segala makan dan minum. Entah bila kita akan berjumpa
lagi” Zaini memegang erat tangan Aziz seolah-olah mereka tidak akan berjumpa
lagi. Jauh di sudut hatinya kalau boleh perpisahan ini tidak berlaku tetapi
demi tugas, perpisahan ini terpaksa juga berlaku.
“Mu jangan
bersedih, aku akan tulis surat ke mu” Aziz menenangkan perasaan Zaini yang hiba
ketika pesawat mahu meneruskan penerbangan ke Kota Kinabalu.
Pesawat Boeing
747 meneruskan penerbangan ke Kota Kinabalu dan setelah 2 jam setengah
penerbangan, pesawat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
Pegawai dari Jabatan Pendidikan Sabah
sudah sedia menunggu bakal-bakal guru
yang baru tiba daripada Semenanjung yang
semuanya berjumlah 30 orang. Bakal-bakal guru tadi di bawa ke Sekolah Berasrama
Penuh, Bukit Padang Sabah sebelum di hantar ke sekolah masing-masing. Selepas
makan malam di dewan makan asrama, bakal –bakal guru di jemput ke Bilik Gerakan
Sekolah untuk mendengar taklimat daripada Pegawai Pejabat Pendidikan Sabah. Di
akhir taklimat tersebut, tibalah saat yang ditunggu-tunggu, bakal guru
diedarkan surat penempatan. Zaini membuka sampul surat dengan hati yang
berdebar-debar dan di surat tersebut tertampal SMK Menggatal. Zaini bertanyakan
kawan-kawan di manakah SMK Menggatal.
Semua mereka menyakat Zaini.
“Mesti jauh
punya, menggatal menggarulah kau!” usik seorang kawan Zaini. Zaini mulai risau,
kena naik kapal terbang pula ke? Atau kena naik bot. Fikirannya bercelaru dan
untuk menghilangkan kerisauan di hati, Zaini bertanya kepada Pegawai Pendidikan
Sabah.
“ Tuan, di
mana SMK Menggatal? Jauh ke?” Zaini
bertanya dengan takut-takut.
“Cikgu
jangan risau, SMK Menggatal tak jauh, daerah Kota Kinabalu juga” pegawai
tersebut cuba mententeramkan hati Zaini.
Malam itu
Zaini tak lena tidur memikirkan di mana letaknya SMK Menggatal. Di dalam hutan
ke? Di atas gunung ke? Dalam berfikir-fikir itu akhirnya Zaini terlena dalam
kerisauan.
Selepas
sarapan pagi, semua bakal guru dihantar ke destinasi masing-masing. Ada yang
terpaksa naik pesawat semula iaitu bakal-bakal guru yang di tempatkan di
Sandakan. Semporna dan Tawau, sementara yang lain-lain dihantar menggunakan kenderaan
pacuan empat roda Jabatan Pendidikan Sabah. Zaini dibawa ke SMK Menggatal
bersama beberapa orang lagi bakal guru, ada juga yang perempuan. Mereka di
tempatkan di SMK Telipot, SMK Kundasang, SMK Kota Belud, SMK Ranau dan
lain-lain. Pemandu tersebut membawa Zaini dan rombongan melalui Bukit Bendera.
Seluruh jalan dilitupi daun pokok kayu sehingga langit pun terlindung. Risaunya
Zaini, tentu teruk sekolah SMK Menggatal ni, tentu dalam hutan tebal.
“Ah! Aku dah
biasa hidup susah. Bertani ku pernah, laut sudah menjadi darah daging, aku tak
gentar dengan cubaan mendatang” Zaini cuba menguatkan semangat diri.
Selepas
setengah jam perjalanan, kenderaan pacuan empat roda tersebut tiba di SMK
Menggatal. Selepas melapor diri di pejabat dan berjumpa puan pengetua,
Pn.Hamidah Nordin, Zaini berkenalan
dengan para guru SMK Menggatal. Sungguh beruntung Zaini kerana kawan
seuniversiti dulu mengajar di situ iaitu Ahmad Ruwiyani dan Mohd Najib. Zaini
berkenalan dengan Ustaz Mokhtar Ismail, seorang ustaz dari Pulau Belanga, Kota
Bharu. Dah 4 tahun mengajar di situ.
“ Kau
PAS ke UMNO” sergah Cikgu Mahyani Simis,
guru mata pelajaran Kimia yang berasal dari Selangor . Zaini tahu ini tentu kes
nak buli guru baru.
“Mu jangang
tanya gitu Mahyani, itu hak dia”
Ahmad Ruwiyani yang masih pekat dengan loghat Terengganunya membela Zaini,
kawan seuniversitinya dulu.
Selepas
berkenalan dengan para guru SMK Menggatal, waktu persekolahan tamat. Zaini
dibawa oleh Cikgu Najib dan isterinya Cikgu Rohana untuk tinggal buat sementara
waktu di rumahnya. Zaini tidak tinggal lama di sana kerana kemudiannya dia
dilantik sebagai warden asrama. Tinggallah Zaini dengan Ustaz Mokhtar selaku Ketua
Warden dan Cikgu Wahab. Seronoknya dapat
tinggal di asrama kerana sekurang-kurangnya makan dan tempat tinggal tidak
perlu difikir lagi, apatah lagi duit simpanan hasil daripada wang biasiswa
Diploma Pendidikan cuma tinggal sedikit sahaja lagi. Keluarganya tidak dapat
memberi wang saku kerana mereka cuma kais pagi makan pagi, kais petang makan
petang, apatah lagi Zaini anak sulung daripada 8 adik beradik, ramai lagi
adik-adik yang perlu ditanggung oleh ibu bapanya. Dulu Zaini pernah menyatakan
hasrat kepada kedua ibu bapanya untuk sambung belajar bagi mendapatkan Master
of Arts tetapi apabila memikirkan adik-adik, hasrat itu dibatalkan, biar kumpul
duit dulu.
“Cikgu “don’t scare” jadi warden, kalau ada
masalah, bincang dengan saya dan Ustaz Mokhtar” nasihat Pn.Hamidah, selaku pengetua.
Berdebar juga Zaini untuk memegang jawatan tersebut. Tugas itu berat, oleh
sebab itu ramai guru yang menolak daripada menjadi warden dan yang menjadi
mangsa ialah guru bujang yang baru mengajar, mereka tiada alasan untuk
menolaknya. Zaini menerima tugas itu sebagai amanah yang perlu dilaksanakan
selain daripada mengajar. Zaini mengajar Sejarah Islam Tingkatan 6 dan Bahasa
Malaysia Tingkatan 6. Mengajar Sejarah tidak menjadi masalah kerana memang itu pilihan di universiti,
tetapi mengajar Bahasa Malaysia, Zaini mengalami sedikit kesukaran
terutama Bahagian C iaitu menterjemah
Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu, takut hebat pelajar daripada guru. Begitulah
rutin seterusnya, pagi mengajar, petang dan malam mengurus pelajar di asrama.
Pelbagai suka duka ditempuhi bersama para warden lain iaitu Ustaz Mokhtar
selaku Ketua Warden, dan Cikgu Wahab .Biasanya lepas Solat Maghrib, Zaini akan
mengajar para pelajar mengaji al-Quran bersama Ustaz Mokhtar dan beberapa orang
guru lain yang mempunyai kemahiran al-Quran.
Kelas tambahan memang tak ada kerana falsafah pengetua, jika cikgu
mengajar dengan efisen di dalam kelas, kelas tambahan tidak diperlukan apatah lagi, kebanyakan guru pada masa cuti persekolahan akan pulang
ke Semenanjung. Walau bagaimanapun, Zaini mengambil inisiatif dengan mengadakan
kelas tambahan malam bagi mata pelajaran Sejarah Islam kepada pelajar asrama.
Namun ada juga pelajar luar yang datang tetapi Zaini mensyaratkan mereka mesti
ditemani oleh penjaga masing-masing. Ada pelajar yang datang dari Kg.Tebobon
dan Darau. Hasil daripada usaha Zaini, ramai pelajar yang mendapat A dalam mata
pelajaran Sejarah dan salah seorang daripadanya ialah pelajar Kadazan, Lubita
Gundongon. Memang dia layak dapat A kerana dalam Peperiksaan Percubaan pun dia
dah dapat A. Sayang, ke mana perginya pelajar Bajau yang beragama Islam, kenapa
tak ramai yang dapat A, pelajar Kadazan yang beragama Kristian yang dapat A.
Semasa
peperiksaan STPM dan SPM, cuma Cikgu Zaini
seorang yang menjadi warden asrama kerana Ustaz Mokhtar dan Cikgu Wahab pulang
kampung, Cikgu Zaini lewat pulang ke
kampung kerana menjadi pengawas peperiksaan STPM di SMK Sanzec. Pada suatu
malam, Ketua Pengawas Asrama memberitahu terdapat pelajar yang meminum arak di asrama.
“Mereka minum di mana bah?” tanya Cikgu Zaini kepada Pengawas Asrama dengan nada terkejut
kerana Cikgu Zaini belum pernah menerima laporan kes disiplin begini, kalau
setakat bergaduh dan mencuri duit pelajar asrama , itu perkara biasa.
“Di asrama Cikgu?”
Pengawas tersebut dengan berani melaporkan.
“Panggil
mereka ke bilik warden” Cikgu Zaini member arahan dengan tegas.
Tidak lama
kemudian, 4 orang pelajar Kadazan datang ke hadapan bilik warden.
“Betul kamu
minum arak di asrama” Cikgu Zaini melakukan soal selidik.
“Ya ciku, tapi lihing saja bah!” jawab 3
orang pelajar tersebut dalam pelat Kadazannya.
“Kamu Biling,
kenapa diam, tak mengaku” tanya Cikgu Zaini kepada seorang pelajar yang nampak
gelisah dan dalam keadaan separuh mabuk.
“Aku tak
minum” jawab pelajar tersebut dalam keadaan separuh mabuk.
“Kawan-kawan
kamu memberitahu saya ,kamu juga minum, macam mana? “Mengaku tak?” Cikgu Zaini menyergah
pelajar tersebut dengan suara nyaring.
“Ya! Saya
mengaku” pelajar tersebut akhirnya akur dengan kesalahannya.
“Saya beri
pilihan kepada kamu semua. Nak saya buang asrama atau nak saya rotan. Jika saya buang asrama, esok kamu tak dapat
menduduki peperiksaan SPM kerana rumah kamu semua jauh dari sekolah” Cikgu
Zaini memberi pilihan kepada para pelajar tersebut.
“Rotan saja ciku. Kamu nak periksa esok bah!” pelajar tersebut merayu dalam
loghat Sabah.
“Ok! Tanda
tangan di buku kesalahan disiplin ni yang menunjukkan kamu bersetuju dengan
hukuman rotan”
Semua
pelajar tersebut menandatangani borang persetujuan dirotan.
“Sekarang,
pusing punggung kamu ke arah saya” Cikgu Zaini memberi arahan.
Zapp! Zapp!
Zapp! Zapp! Keempat-empat pelajar tersebut dirotan oleh Cikgu Zaini.
“Kamu semua
sedarkan, meminum arak ini salah dalam peraturan sekolah. Masalah kamu nak minum di rumah itu hak kamu kerana
ia budaya kamu tetapi di sekolah tak boleh, faham!” Cikgu Zaini menjelaskan
kenapa mereka dirotan. Keempat-empat pelajar tersebut bersalaman dengan Cikgu Zaini dan pulang ke dom masing-masing.
Hari
peperiksaan semakin hampir ke penghujungnya. Semua pelajar sibuk dengan
mengulangkaji pelajaran. Cikgu Zaini pergi makan di kantin asrama selepas
mengimami solat Isyak bersama para pelajar. Selepas makan malam, Zaini
memerhati para pelajar perempuan yang belajar di dewan makan asrama, tiba-tiba
Cikgu Zaini dipanggil oleh seorang pelajar perempuan yang berasal dari Labuan,
Azira.
“Cikgu! Saya
ada perkara nak cakap dengan Cikgu bah” Azira bercakap tersangkut-sangkut.
“Ada ape?
Cakap sajalah” Zaini ingin cepat meninggalkan dewan makan asrama untuk pergi
melihat para pelajar lelaki belajar di bilik darjah di sekolah pula.
“Cikgu, muka
cikgu seiras dengan muka kekasih saya bah!”
Azira menjelaskan sambil tersipu-sipu.
“Habis apa
kaitan dengan saya bah?” Cikgu Zaini
yang masih bujang cuba mengelak diri daripada terperangkap dengan cinta monyet
para pelajar.
“Dia dah
tinggalkan saya cikgu dan pulang ke Dubai” jelas Azira sayu sambil mengharap
simpati daripada Cikgu Zaini.
“Oh gitu,
sabarlah, kumbang bukan seekor, bunga bukan sekuntum.” Cikgu Zaini cuba
mengubat hati pelajar tersebut.
“Sudikah
cikgu menjadi pengganti” Azira merayu penuh simpati.
Kelam-kabut
fikiran Cikgu Zaini. Patutlah semasa Cikgu Zaini mengajar, Azira selalu
termenung kosong memandang mukanya. Markah peperiksaan pula selalu rendah,
rupanya Azira kena penyakit angau.
“Macam mana
ni! Kalau aku tolak, nanti merajuk pula pelajar ni, sedangkan peperiksaan dah nak
habis. Nanti rosak fikirannya dan akan mengganggu konsentarasi dia dalam
pelajaran” fikiran Cikgu Zaini berserabut. Ditelan mati emak, diluah mati
bapak.
“Beginilah
Azira, saya akan beri keputasan selepas tamat peperiksaan STPM lusa” Cikgu
Zaini berjanji.
“Baik cikgu,
saya tunggu jawapan cikgu” Azira meminta diri dan terus ke meja belajarnya
untuk meneruskan menelaah pelajaran.
Fikiran
Cikgu Zaini berserabut. Dia dah ada teman istimewa di kampung, takkan nak
tinggal begitu saja, apatah lagi temannya di kampung jauh lebih istimewa
daripada pelajarnya.
Hari ini
merupakan hari terakhir pelajar asrama
berada di asrama kerana esoknya mereka akan pulang ke rumah masing-masing
menemui keluarga tercinta setelah lama ditinggalkan sejak cuti pertengahan
penggal dulu lagi. Zaini mengelamun seorang diri di pondok yang didirikan oleh
Ustaz Mokhtar secara gotong-royong dengan para pelajar asrama. Ustaz Mokhtar
memang seorang yang kreatif, semua kerosakan kecil asrama akan dibaikinya
sendiri dengan kerjasama pelajar yang berminat menimba ilmu pengetahuan.
Dari jauh
Zaini melihat sekumpulan pelajar menuju ke arahnya. Azira mendahului mereka
semua.
“Cikgu!
Terimalah kuntuman bunga ini sebagai tanda ingatan daripada saya Cikgu” dengan
suara penuh menggoda Azira menghulurkan sekuntum bunga.
Zaini
menjadi serba-salah. Kalau tak diterima, kecil hati pula pelajar ini. Dengan
berat hati, kuntuman bunga itu diterimanya, tetapi bukan ia cinta kepada
pelajar tersebut.
“Aku tak
mahu menjadi tempat ia bermanja bila ditinggalkan kekasih, aku dah ada buah
hati sendirilah, perasan!” getus hati Zaini.
“Hai Cikgu!
Dapat bunga ya!” usik Jenny, pelajar Kadazan yang sekelas dengan Azira.
“Orang bagi
kita terimalah, nanti kecil hati pula dia” balas Zaini dengan hambar. Kalau
Jenny yang bagi bunga, mungkin lain ceritanya kerana Jenny memang cantik.
Cuti akhir
tahun sudah bermula. Semua pelajar asrama telah pulang ke kampung
masing-masing. Ada yang diambil ibu bapa dan ada yang pulang sendiri. Mereka
yang pulang sendiri akan menaiki van ke
Kota Kinabalu dan dari sana mereka akan pulang ke Semporna, Sandakan, Kudat,
Kota Marudu, Ranau dan hampir ke seluruh Sabah kerana SMK Menggatal merupakan
sekolah menengah berasrama yang menjadi pilihan ibu bapa. Sekolah ini memang
besar dan mempunyai Tingkatan 6 aliran sains.
Zaini
berkemas untuk pulang ke kampung halamannnya di Kelantan yang sudah setahun di
tinggalkan.Cek gaji selama 6 bulan baru dimasukkan ke Maybank semalam. Kerana
masalah pejabat, Cikgu Zaini dan beberapa orang guru baru lambat dapat gaji
hingga ada guru yang nak terbalikkan meja kerani yang tak buat KEW 8. Cikgu
Zaini bernasib baik kerana makan percuma di asrama sebagai warden, guru lain
terpaksalah pinjam duit dengan sekolah untuk belanja seharian.
Rindu rasanya bertemu kedua ibu bapa dan
adik-adik yang ditinggalkan. Rindu kepada ahli jemaah surau di kampungnya dan
berbual mesra dengan teman-teman sepermainan . Pesawat MAS Boeing 737 meluncur
laju di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu menuju Lapangan
Terbang Antarabangsa Subang. Selamat tinggal Negeri di Bawah Bayu, tahun depan
kalau umur panjang, Cikgu Zaini akan datang lagi meneruskan baktinya kepada
anak bangsa tercinta. Selamat tinggal SMK Menggatal tercinta. Selamat tinggal
murid-muridku, panjang umur kita jumpa lagi tahun depan meneruskan perjuangan
dalam menimba ilmu pengetahuan yang tidak pernah habis. Tamat……………………….
No comments:
Post a Comment