Friday, May 28, 2010

SABAR ITU INDAH WAHAI PESAKIT KANSER

Sabar itu Indah Wahai Pesakit Kanser 

Jam sudah pun menunjukkan pukul 3.00 pagi, sudah hampir 2 jam aku bertarung menahan kesakitan bisul akibat kanser perutku yang muncul di dada. Akibat tidak tahan sangat dengan kesakitan melampau(severe pain) aku minum sirap morphine dan celebrex(ubat tahan sakit) yang dibekalkan oleh Pain Clinic dan Oncology Clinic. Aku ingatkan sakitku akan berhenti kerana dalam minggu ini setiap malam aku diserang kesakitan ini, bila reda sakit, aku akan tertidur dan sedar kembali bila sakit menyerang kembali. Cuma ku bersyukur kepada Allah kerana pada waktu pagi serangan tidak datang, dan aku dapat ke sekolah menjalankan tugasku sebagai pendidik anak bangsa.Isteriku setia menemaniku yang menangis bercucuran air mata menahan kesakitan. Sesungguhnya berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Bila dah tak tahan sangat, barulah isteri dan anak-anakku menelofon kedua orang tuaku untuk menemaniku di rumahku. Sebenarnya aku tak mahu lagi menyusahkan kedua orang tuaku lagi, kerana dah masuk 4 tahun mereka menjagaku di rumah dan di hospital kerana hospital terutama Wad 2 Intan dan I selatan menjadi rumah keduaku. Alhamdulillah, tahun ini baru seminggu masuk wad 7 Selatan dan 1 Selatan, itupun cuma seminggu kerana pada tahun lepas hampir setiap bulan aku masuk wad dan paling lama bulan Jun tahun lepas selama 26 hari dan 2 minggu tak makan dan tak minum, harapkan air dan susu(TPM) yang dimasukkan melalui saluran darah. Sakit usah ceritalah tetapi para sahabat dulu lagi sakit diseksa oleh kafir Quraisy, begitu juga dengan pejuang-pejuang Islam sekarang yang diseksa oleh tentera Amerika di Guantanamoa Bay dan di penjara Tel Aviv dan Baghdad. Mereka lagi menderita, kita sakitpun ditenteramkan oleh doctor dan jururawat tetapi mereka dahlah diseksa fizikal, mental juga turut ditekan. 

Jari-jemariku masih lagi laju menaip di papan kekunci computer kerana computer adalah teman sejati ku, ia sedia mendengar segala rintihan hati ku, dia tidak pernah marah,tidak pernah merajuk dan tidak pernah benci pada ku , kalau rosak, aku akan bawanya ke kedai computer, biar duit habis asalkan hati bahagia. Tambahan pula memang aku agak mahir dalam ICT kerana pernah mengikuti Kursus Sekolah Bestari 14 Minggu di Maktab Perguruan Kota Bharu pada tahun 2000 semasa aku mengajar di SMK Bachok tetapi kemahiran aku tidak ku pamerkan di SMK Kandis kerana aku menjawat jawatan sebagai Guru Kanan Teknik dan Vokasional ,apatah lagi di sana sudah ada YM Tg. Azmi yang memang mahir dalam computer bahkan pernah membuat Presentation di hadapan Bill Gates di Amerika Syarikat pada tahun 2005. Aku cuma membantu guru Kemahiran Hidup bertanding dalam Guru Inovasi sempena Hari Guru 2005 dan kami mendapat Tempat Ketiga Ketegori Berkumpulan dan dapatlah merasa menerima Sijil daripada Ke bawah Duli Yang Mulia Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis di Dewan Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kota Bharu pada tahun tersebut. Sijilnya ku gantung di rumahku sebagai kenang-kenangan.

Petang tadi aku ke rumah mertua, bertanya khabar tentang kesihatannya kerana dia terkena strok. Aku dah 3 minggu tak menziarahinya kerana keadaan kesihatanku tidak mengizinkan, balik saja dari sekolah, aku cuma berbaring di tilam di ruang keluaga, kadang-kadang solat Zohor ku Jamakkan dengan Asar dan Maghrib dengan Isyak. Solatpun sambil duduk. Maghrib tadi dapat berjemaah di balaisah(surau) dan baca Yasin, ingatkan dah tak akan datang lagi sakit, rupa-rupanya Allah mahu lagi mengujiku dengan kesakitan ini, SABARLAH KERANA SABAR ITU INDAH. 

Tengah hari kelmarin aku berjumpa dengan seorang kawan lamaku, seorang perempuan.Dia jauh lebih muda daripadaku dia memanggilku “Abe” Di raut mukanya tersimpan seribu kerisauan, dalam menahan air matanya yang disulam dengan senyuman dia membuka bicara: 

“Bang! Saya ada nak beritahu Abe satu perkara dan saya rasa Abe orang yang sesuai kerana Abe ada banyak pengalaman. Dulu arwah isteri Abe meninggal akibat kanser payu dara dan sekarang Abe pula yang menderitanya” dalam suara tersangkut-sangkut dia membuka bicara. Aku merenung mukanya penuh simpati. Berat rasa hati untuk menceritakan betapa menderitanya ketika mengurus isteri menderita sakit kanser. Bomoh mana yang isteriku minta aku bawa, aku sebagai seorang suami yang setia sedia membawanya kerana dia menolak cadanganku supaya mendapatkan rawatan moden. Pelbagai harapan palsu diberikan oleh bomoh tetapi akhirnya ke hospital juga tetapi sudah terlambat. Bulan lepas, aku mendengar berita seorang jururawat di Husm juga telah kembali menemui Penciptanya akibat kanser dan ramai lagi kawan-kawanku yang telah meninggal akibat kanser dan semoga roh mereka di tempatkan di sisi para solehin. 

“Keluarga awak dah tahu ke!” aku bertanya penuh simpati kerana apa yang dia lalui ini sama seperti yang aku lalui dulu. Selepas isteriku dibuat biopsi di HRRPZII dan disahkan kanser, kami pulang ke rumah tanpa bercakap sepatahpun, masing-masing melayan perasaan. Bila aku cuba membuka mulut, isteriku hanya membisu seribu bahasa. Untuk menjaga hatinya, aku turut membisu. Dia enggan membuang payu daranya kerana takut cacat walaupun aku berjanji tidak akan menduakannya. Entahlah! Mungkin bagi perempuan payudara ibarat mahkota mereka tetapi kalau mahkota rosak buat apa, baik dbuang saja.

“Ya! Suami dan semua keluarga dah tahu, cuma tunggu keputusan suami . Mengikut doctor di Perdana Medical Center, ia cuma ketumbuhan biasa, tidak akan merebak” ujarnya sambil mengharap cadanganku.

“Dah buat biopsy?” balasku.
“Belum” ujarnya sambil tersenyum pahit.
“D, status ketumbuhan hanya dapat disahkan sama ada kanser atau tidak bila sampel tisu diambil dan dibuat ujian di makmal patologi. Dari situ baru kita tahu sama ada sel kita itu benign(setempat) atau malignant(merebak) dan kalau malignan, ia agak bahaya tetapi awak jangan risau kerana pengesanan awal boleh menyelematkan awak. Semua orang akan mati bila tiba masanya, tidak boleh ditangguh walau sesaat dan tidak boleh diawalkan walau sesaat, semuanya telah tertulis di Luh Mahfuz tetapi kita sebagai hambaNya mesti berikhtiar dan berdoa agar kita disembuhkan daripada penyakit berbahaya ini. Berusahalah dengan perubatan moden, elakkan daripada berjumpa bomoh tradisional tetapi kalau perubatan Islam saya galakkan. Awak boleh combine dengan perubatan moden” nasihatku panjang lebar.

Perbualan kami terhenti apabila beberapa orang lalu-lalang di hadapan kami dan kami menukar topik perbualan kerana kami ingin sembunyikan topic perbualan kami. Sebagai seorang bekas kaunselor pelajar, saya memang tahu etika kaunseling sama ada kaunseling individu atau kaunseling kelompok.

“Be! Apa pantang penyakit kanser?” dia bertanya bagi menambah pengetahuannya mengenai kanser.

“Awak ada internet kat rumah? tanyaku ingin kepastian.
“Laptop adalah tetapi belum ada broadband atau streamex” ujarnya sambil tersenyum.
Aku sebenarnya kagum dengan dia, walaupun perasaannya berkecamuk, dia masih lagi mampu tersenyum bagi menyembunyikan kerisaunnya daripada pengetahuan teman-teman lain.
“D! Sebenarnya, saya dahpun mengumpul bahan daripada internet mengenai kanser payu dara sejak tahun 2000 lagi dan masih saya simpan sampai hari ini. Nantilah saya bawakan kepada awak” 

“ Tak apalah, ceritalah sekadar yang Abe ingat” dia mendesakku. “Antara pantangnya ialah awak jangan makan makanan yang mengandungi karsinogen seperti karbon (arang) di ikan bakar dan sate, elakkan penggunaan bahan plastic yang tidak tahan panas sebagai alas makanan, jangan ambil produk gamat dan susu awal lembu kerana ia menggalakkan pertumbuhan sel, jangan ambil produk kacang soya kerana ia menggalakkan hormone astrogen, jangan tertekan-be positive- jangan fikir sangat tentang ketumbuhan di payu dara awak kerana hasil kajian menunjukkan daripada 10 ketumbuhan hanya satu kes sahaja kanser, yang lain-lain adalah ketumbuhan biasa” aku memberi nasihat yang aku ingat, nak beri laman web pun dia tak ada internet.

“Be! Pada pendapat Abe, buat pembedahan di Perdana ke HUSM?” kawanku ini begitu teruja nampaknya untuk mendapatkan rawatan daripada hospital. Dia seorang yang berpelajaran, lepasan university, sama seperti ku jadi senanglah kami berkomunikasi. Kalau dengan orang yang tidak berpelajaran agak sukar, kerana mereka masih terikat dengan pemikiran lama dan kolot, lebih percayakan bomoh dan takutkan hospital. Takut jarumlah, takut kena endoskopi, takut dengan CT Scan, takut dengan pembedahan dan entah apa-apa lagi yang dia takut. 

“Terserah kepada awaklah tetapi pakar kanser setahu saya di Kelantan ini hanya di HUSM. Boleh juga awak buat pembedahan di Perdana kemudian buat pemeriksaan lanjut di HUSM, minta nasihat doctor di Perdana. Apa-apapun buat biopsy dulu untuk tahu status ketumbuhan” aku memberi cadangan.
Aku terlihat sedikit keceriaan di wajahnya berbanding ketika mula-mula berbual tadi.Ku lihat dari jauh kereta Proton Wira isteri ku menuju ke arahku. Sudah masuk tahun ke-4 isteriku menjadi pemanduku, aku cuma memandu kerete Proton Gen2 automatikku, itupun jika aku sihat dan ketika masuk Bandar Kota Bharu kerana isteriku tidak mahir memandu di dalam bandar apatah lagi dia cepat menggelabah. 

“Ok D! Isteri saya dah sampai, kalau nak berbual lebih panjang, jemputlah ke rumah, bawa suami sama. Saya rasa di rumah lebih selesa, jauh daripada gangguan orang” aku tersenyum kepadanya agar dia lebih ceria menghadapi hari-hari  mendatang. “Ya Bang! Nantilah saya bincang dengan suami dulu. Apa-apapun terima kasih atas info yang abang bagi” balasnya penuh ceria sambil beredar menuju ke keretanya.
Kuharap dia tabah mendengar keputusan daripada biopsy nanti, dan ku berdoa agar ketumbuhannya bukan kanser. Aminnnnn! 

Jam dah menunjukkan pukul 5.00 pagi, aku rasa setakat inilah dulu entri ku kali ini dan semoga ianya menjadi panduan yang berguna kepada para pembaca sekalin. Wassalam.
Setiap yang bernyawa pasti akan mati tetapi sebanyak manakah amal kita untuk bekal di akhirat yang tidak akan mati-mati. Tepuk dada tanya iman. 28 Mei 2010

Saturday, May 22, 2010

TEMUJANJI DENGAN PAKAR KANSER(APPOINTMENT WITH ONCOLOGIST)


Temu janji dengan Pakar Onkologi (Appointment With Oncologist)

Hari ini 20 Mei 2010,  aku ada temu janji dengan Prof.Madya Biswa Mohan Biswal, Pakar Onkologi(Kanser) dari India. Sebenarnya aku dah lama kenalnya iaitu semasa arwah isteriku mendapat rawatan kanser payu daranya dulu.

Sebelum ke klinik Nuklear, Radioterapi dan Onkologi, aku terlebih dahulu pergi ke sekolah untuk memaklumkan kepada Pengetua bahawa aku ada TCA hari ini. Jam 9.00 pagi, aku memandu kereta Gen 2 automatik yang ku beli pada tahun 2007 selepas aku dibedah akibat penyakit kanser perutku. Nama sebenar penyakitku ialah Gastrointestinal Stromal Tumor(GIST).

Sampai hari ini, sudah 3rd line Kimoterapi dengan Sutent(Sunitinib) yang berharga RM17650.00 untuk satu line(sebulan). Dulu aku menggunakan ubat Kimoterapi Glivec yang berharga RM8380.00 sebulan. Bulan pertama(First Line) ubat kimoterapi Sutent  aku gunakan duit sendiri dengan membelinya di Kian Farmasi, tetapi untuk bulan ke – 2 dan ke-3, aku mendapat “donation” daripada Sutent Assistant Program daripada Axios International. Untuk bulan ke-4, aku kena beli sendiri kalau surat kelulusan daripada Kementerian Pelajaran lambat diterima. Aku dahpun terima surat salinan surat daripada Kementerian Pelajaran yang mengajukan surat tersebut kepada Kementerian Kesihatan Malaysia. Harap-harap lulus cepat agar ubatku tidak terputus.

Jam 9.30 pagi aku tiba di HUSM tetapi sukarnya cari parking, akhirnya aku parking berhampiran Maidin Hypermarket. Terpaksa berjalan jauhlah walaupun tapak kakiku sakit akibat kesan sampingan  Ubat Kimoterapi, Sutent. Bisul di dadaku pula mengeluarkan nanah (sel kanser yang mati) berwarna hijau selama dua hari, diikuti nanah dan darah. Bisul ini pula begitu sakit(severe pain) hingga aku terpaksa minum sirap morfin.

Sejak kesan sampingan Sutent aku alami, aku dah mulai kurang mengendalikan kes disiplin di sekolah, ceramah motivasi pagi juga aku dah tak bagi, bagi peluang kepada cikgu lainlah. Nanti bila dah sihat nanti, ramailah pula pelajar yang akan jadi mangsa rotanku jika melanggar disiplin sekolah, bukan nak rotan sangat pelajar  ni, tapi cakap mulut mereka tak makan, malah dipersendakan kita, jadi rotanlah jawabannya.

Sampai di klinik, aku mengambil nombor giliran dan mengucapkan Selamat Hari Jururarawat kepada para jururawat dan mereka pula mengucapkan Selamat Hari Guru kepadaku. Ya! Kita sama-sama menyumbang bakti kepada masyarakat walaupun dalam bidang yang berbeza. Cikgu yang suka bercakap, jururawat yang suka menyuntik pesakit.

Selapas 2 jam menunggu, namaku dipanggil berjumpa dengan Prof.Biswa yang ditemani Dr.Hajariah. Selepas membuat pemeriksaan dan mengambil gambar bisulku, Prof. memberiku ubat tahan sakit dan ubat cuci bisulku.

Jam 3 petang aku sampai di rumah dan meneruskan rutin harian, Cuma sekarang tak dapat lagi ke surau, sihat nanti pergi semulalah.

Sekian dulu untuk entri kali ini. Kepada para pesakit kanser, sabarlah, kerana sesungguhnya sabar itu indah. Sesungguhnya Allah bersama orang yang sabar.
Dunia ini hanya pinjaman, akhirat juga tempat kekal abadi. Ikhtiar di tangan kita, nak ke syurga atau neraka. Marilah kita berdoa agar kita dipermudahkan Allah untuk melaksanakan amalan ahli syurga. Amin…………………………..

Friday, May 21, 2010

CERPEN: SMK MENGGATAL TERCINTA


SMK Menggatal Tercinta


16 Mei 1989 merupakan Hari Guru peringkat nasional, Zaini  dan Aziz begitu sedih kerana surat penempatan guru bagi lepasan Diploma Pendidikan dan Kursus Perguruan  Lepas Ijazah(KPLI) belum lagi diterima sedangkan kawan-kawan lain dahpun dapat mengajar di sekolah masing-masing . Azman ditempatkan di SMK Bachok, beruntungnya dia. Aziz dan Zaini yang bersahabat sejak dari darjah satu lagi dan persahabatan mereka berterusan sehingga ke Universiti Malaya. Sambil menunggu surat penempatan , mereka  melancong ke Pulau Redang kerana  Zaini mempunyai datuk saudara di sana.  Mereka berdua tawakkal pergi ke sana dengan harapan ada bot pukat jerut di  jeti Kuala Terengganu yang akan ke Pulau Redang,itu saja pilihan kerana bot bertambang belum ada.

“Pakcik nak balik ke Pulau Redang ke?” tanya Zaini kepada tuan punya bot pukat jerut yang sedang bersiap untuk berangkat.

“Ya! Nak tumpang ke?” balasnya penuh mesra.
“Ya Pakcik. Saya nak pergi rumah datuk saudara saya di sana”

“Kalu gitu maghilah, kita nak tolak dah ni”
“Terima kasih Pak Cik, jasa baik Pak Cik takkah kami lupa!” Zaini dan mengulum senyuman.
Zaini dan Aziz begitu gembira kerana akhirnya hajat mereka untuk ke Pulau Redang  tercapai juga, terutama Aziz yang belum pernah bertandang ke sana.

Ombak Laut Cina Selatan melambung bot pukat jerut yang ditumpangi. Kecut juga perut  mereka kerana tidak pernah menempuh perjalanan jauh dengan bot. Tapi hati mereka puas kerana hasrat untuk bercuti di Pulau Redang tercapai. Dari jauh sudah kelihatan deretan rumah kayu di tepi pantai yang dibina oleh kerajaan negeri Terengganu bagi menempatkan penduduk Pulau Redang. Selepas 3 jam bertarung dengan ombak laut, akhirnya bot yang mereka tumpangi  berlabuh di jeti Pulau Redang. Cantik sungguh pemandangan di Pulau Redang. Dari atas jeti mereka berdua melihat ikan-ikan kecil berkejaran di air  laut yang jernih sehingga menampakkan  pasir di dasarnya.

“ Lihat siapa yang datang” sahut tuanpunya bot kepada bapa sepupu Zaini yang kebetulan sedang berbual kosong  di jeti sambil menghirup udara segar pada waktu petang.
“ Assalamualaikum Ayah  Long” Zaini berjabat tangan mesra dengan bapa sepupunya. Aziz hanya tersenyum dan nampak kekok kerana belum biasa dengan keluarga Zaini.
“Ayah Long!  Ini kawan Zaini, Aziz, dia nak lihat kehidupan di sini”  usik Zaini. Aziz hanya tersenyum .
Seminggu mereka di sana. Terharu mereka dengan layanan yang diberikan oleh keluarga Zaini di sana, mereka berdua dilayan bagai raja terutama Nenek Saudara Zaini, bukan sahaja menyediakan makan dan minum, malah memasukkan bunga kenanga dalam kolah mandi agar mereka berdua bila manda nanti, akan harum seluruh tubuh. Mereka berdua dibawa oleh Ayah Awi memancing ikan di Pantai Dalam, walaupun Zaini mabuk laut, tetapi seronok kerana dalam baringpun, ikan yang dipancing tetap mengena, banyak sungguh ikan.

     Pada suatu pagi, Zaini dan Aziz mengikut Makcik Dah dan Ayah Cik ke Pulau Pinang, sebuah pulau yang kecil berhampiran Pulau Redang. Makcik Dah buka kedai makan di sana bagi menyediakan makanan kepada pekerja berbangsa Cina yang  sedang menjalankan kerja memotong kapal yang tenggelam berhampiran  pulau tersebut.

    Aziz dan Zaini sudah bersedia memancing di sana. Mereka berdua menyusuri pantai meninggalkan warung makan Makcik Dah. Selepas 10 minit berjalan, akhirnya mereka menemui tempat yang sesuai untuk memancing. Mereka meredah air laut dan memanjat batu di tengah laut, ketika itu air surut. Mereka berdua mula memasang umpan sotong di mata kail dan jorang dilontar ke laut lepas. Tak sampai 5 minit, joran dah mengena. Zaini menarik jorang ke darat dan gembiranya rasa bila melihat seekor ikan yu terlekat di mata kail.
“Aduh! Tajamnya gigi kau” jerit Zaini yang mahu melepaskan ikan yu dari mata kail. Darah meleleh dari jari Zaini dan ia terus menghisap darah tersebut dan diludah ke laut untuk membekukan darah.
“Padan mukamu, lorat sangat!” usik Aziz yang juga sibuk melepaskan ikan yu daripada mata kailnya.
Selepas dua jam mengail, mereka mahu berangkat pulang tetapi alangkah terkejutnya mereka kerana mereka tak sedar air dah mula pasang dan mereka terperangkap di atas batu di tengah laut.
“Ziz! Camna ni, matilah kita kat sini, nak ke pantai tak boleh kerana air dalam” Zaini mulai risau. Teringat kepada keluarga yang bakal ditinggalkan jika mereka berdua tenggelam di atas batu itu kerana air semakin  pasang dan kemungkinan batu itu akan tenggelam.
“Mu jangan rungsing, kita anak jantan, pantang menyerah kalah. Tak lama lagi kalau kita tak pulang, bapa sepupumu akan datang carilah” Aziz cuba menenangkan hati Zaini walaupun Aziz sendiri kecut perut memikirkan padah yang bakal mengundang jika air laut menenggelamkan batu tempat mereka memancing.

    Selepas sejam menunggu, Allah menyelematkan mereka berdua. Sebatang buluh terapung-apung ke arah mereka. Cepat-cepat Zaini dan Aziz berenang ke arah  buluh tersebut sambil membawa peralatan memancing dan ikan yu yang diperolehi. Alhamdulillah, akhirnya dengan berenang menggunakan buluh tersebut, mereka berjaya sampai ke pantai.  Mereka meneruskan perjalanan ke warung  mak sepupu Zaini sambil tidak putus-putus mengucap syukur kepada Allah kerana mereka berdua telah terselemat daripada menjadi mangsa Laut Cina Selatan yang ganas. Sesampainya mereka berdua di warung tersebut, mereka terhidu bau sotong bakar. Serta-merta perut mereka terasa lapar. Rupa-rupanya Bapa Sepupu Zaini dah pun membakar sotong untuk dijadikan hidangan makan tengahari. Hilang semua kesedihan ketika di atas batu tadi bila menjamah nasi panas dengan sotong bakar yang dicecah dengan sos penyicah sotong.

“Para penumpang sila pakai tali pinggang keledar seperti yang saya tunjukkan ini”. Demontrasi keselamatan  oleh  peramugari pesawat MAS mematikan lamunan dua sahabat itu. Zaini mendapat surat penempatan di Sabah sementara Aziz mendapat surat penempatan di Sarawak. Inilah kali pertama mereka berdua menaiki pesawat kerana keduanya daripada keluarga miskin. Anak penanam tembakau di Bachok. Mereka berdua besar dalam lumpur, makan buah jembal bersama-sama, berkongsi nasi bekal yang dibungkus dengan upih pinang semasa waktu rehat sekolah, buah tembikai yang dibawa dari rumah sebagai penghilang haus.  

Pesawat berlepas meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Subang menuju Kota Kinabalu. Kebiruan air laut dari jendela pesawat memang mempesonakan mata memandang. Makanan dihidang oleh peramugari  berkebaya batik yang memang anggun belaka. Terpikat juga hati dua sahabat tetapi siapalah mereka untuk memikat peramugari yang cantik jelita, pandang sajalah.

Pesawat singgah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan turunlah Aziz untuk melapor diri di Jabatan Pendidikan Sarawak. Berpisahlah dua sahabat sejati, masing-masing membawa hasrat yang satu untuk mencari sumber pendapatan halal bagi menampung diri dan keluarga yang miskin di kampung di samping menabur bakti kepada anak bangsa. Mereka berpeluk dan berjabat tangan, entah bila akan berjumpa lagi hanya Allah yang tahu. Air mata bercucuran kerana  setelah sekian lama bersama, sejak di darjah satu, tingkatan satu, tingkatan 6, Universiti Malaya dan kini terpaksa berpisah.

“Ziz! Jangan lupa aku ya! Halalkan segala makan dan minum. Entah bila kita akan berjumpa lagi” Zaini memegang erat tangan Aziz seolah-olah mereka tidak akan berjumpa lagi. Jauh di sudut hatinya kalau boleh perpisahan ini tidak berlaku tetapi demi tugas, perpisahan ini terpaksa juga berlaku.
“Mu jangan bersedih, aku akan tulis surat ke mu” Aziz menenangkan perasaan Zaini yang hiba ketika pesawat mahu meneruskan penerbangan ke Kota Kinabalu.

Pesawat Boeing 747 meneruskan penerbangan ke Kota Kinabalu dan setelah 2 jam setengah penerbangan, pesawat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Pegawai dari Jabatan Pendidikan  Sabah sudah sedia  menunggu bakal-bakal guru yang baru tiba daripada Semenanjung  yang semuanya berjumlah 30 orang. Bakal-bakal guru tadi di bawa ke Sekolah Berasrama Penuh, Bukit Padang Sabah sebelum di hantar ke sekolah masing-masing. Selepas makan malam di dewan makan asrama, bakal –bakal guru di jemput ke Bilik Gerakan Sekolah untuk mendengar taklimat daripada Pegawai Pejabat Pendidikan Sabah. Di akhir taklimat tersebut, tibalah saat yang ditunggu-tunggu, bakal guru diedarkan surat penempatan. Zaini membuka sampul surat dengan hati yang berdebar-debar dan di surat tersebut tertampal SMK Menggatal. Zaini bertanyakan kawan-kawan di manakah  SMK Menggatal. Semua mereka menyakat Zaini.
“Mesti jauh punya, menggatal menggarulah kau!” usik seorang kawan Zaini. Zaini mulai risau, kena naik kapal terbang pula ke? Atau kena naik bot. Fikirannya bercelaru dan untuk menghilangkan kerisauan di hati, Zaini bertanya kepada Pegawai Pendidikan Sabah.

“ Tuan, di mana SMK Menggatal? Jauh ke?” Zaini  bertanya dengan takut-takut.
“Cikgu jangan risau, SMK Menggatal tak jauh, daerah Kota Kinabalu juga” pegawai tersebut cuba mententeramkan hati Zaini.

Malam itu Zaini tak lena tidur memikirkan di mana letaknya SMK Menggatal. Di dalam hutan ke? Di atas gunung ke? Dalam berfikir-fikir itu akhirnya Zaini terlena dalam kerisauan.

Selepas sarapan pagi, semua bakal guru dihantar ke destinasi masing-masing. Ada yang terpaksa naik pesawat semula iaitu bakal-bakal guru yang di tempatkan di Sandakan. Semporna dan Tawau, sementara yang lain-lain dihantar menggunakan kenderaan pacuan empat roda Jabatan Pendidikan Sabah. Zaini dibawa ke SMK Menggatal bersama beberapa orang lagi bakal guru, ada juga yang perempuan. Mereka di tempatkan di SMK Telipot, SMK Kundasang, SMK Kota Belud, SMK Ranau dan lain-lain. Pemandu tersebut membawa Zaini dan rombongan melalui Bukit Bendera. Seluruh jalan dilitupi daun pokok kayu sehingga langit pun terlindung. Risaunya Zaini, tentu teruk sekolah SMK Menggatal ni, tentu dalam hutan tebal.

“Ah! Aku dah biasa hidup susah. Bertani ku pernah, laut sudah menjadi darah daging, aku tak gentar dengan cubaan mendatang” Zaini cuba menguatkan semangat diri.
   
Selepas setengah jam perjalanan, kenderaan pacuan empat roda tersebut tiba di SMK Menggatal. Selepas melapor diri di pejabat dan berjumpa puan pengetua, Pn.Hamidah  Nordin, Zaini berkenalan dengan para guru SMK Menggatal. Sungguh beruntung Zaini kerana kawan seuniversiti dulu mengajar di situ iaitu Ahmad Ruwiyani dan Mohd Najib. Zaini berkenalan dengan Ustaz Mokhtar Ismail, seorang ustaz dari Pulau Belanga, Kota Bharu. Dah 4 tahun mengajar di situ.
“ Kau PAS  ke UMNO” sergah Cikgu Mahyani Simis, guru mata pelajaran Kimia yang berasal dari Selangor . Zaini tahu ini tentu kes nak buli guru baru.
“Mu  jangang tanya gitu Mahyani, itu hak dia” Ahmad Ruwiyani yang masih pekat dengan loghat Terengganunya membela Zaini, kawan seuniversitinya dulu.

Selepas berkenalan dengan para guru SMK Menggatal, waktu persekolahan tamat. Zaini dibawa oleh Cikgu Najib dan isterinya Cikgu Rohana untuk tinggal buat sementara waktu di rumahnya. Zaini tidak tinggal lama di sana kerana kemudiannya dia dilantik sebagai warden asrama. Tinggallah Zaini dengan Ustaz Mokhtar selaku Ketua Warden dan Cikgu Wahab.  Seronoknya dapat tinggal di asrama kerana sekurang-kurangnya makan dan tempat tinggal tidak perlu difikir lagi, apatah lagi duit simpanan hasil daripada wang biasiswa Diploma Pendidikan cuma tinggal sedikit sahaja lagi. Keluarganya tidak dapat memberi wang saku kerana mereka cuma kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, apatah lagi Zaini anak sulung daripada 8 adik beradik, ramai lagi adik-adik yang perlu ditanggung oleh ibu bapanya. Dulu Zaini pernah menyatakan hasrat kepada kedua ibu bapanya untuk sambung belajar bagi mendapatkan Master of Arts tetapi apabila memikirkan adik-adik, hasrat itu dibatalkan, biar kumpul duit dulu.

“Cikgu “don’t scare” jadi warden, kalau ada masalah, bincang dengan saya dan Ustaz  Mokhtar” nasihat Pn.Hamidah, selaku pengetua. Berdebar juga Zaini untuk memegang jawatan tersebut. Tugas itu berat, oleh sebab itu ramai guru yang menolak daripada menjadi warden dan yang menjadi mangsa ialah guru bujang yang baru mengajar, mereka tiada alasan untuk menolaknya. Zaini menerima tugas itu sebagai amanah yang perlu dilaksanakan selain daripada mengajar. Zaini mengajar Sejarah Islam Tingkatan 6 dan Bahasa Malaysia Tingkatan 6. Mengajar Sejarah tidak menjadi masalah  kerana memang itu pilihan di universiti, tetapi mengajar Bahasa Malaysia, Zaini mengalami sedikit kesukaran terutama  Bahagian C iaitu menterjemah Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu, takut hebat pelajar daripada guru. Begitulah rutin seterusnya, pagi mengajar, petang dan malam mengurus pelajar di asrama. Pelbagai suka duka ditempuhi bersama para warden lain iaitu Ustaz Mokhtar selaku Ketua Warden, dan Cikgu Wahab .Biasanya lepas Solat Maghrib, Zaini akan mengajar para pelajar mengaji al-Quran bersama Ustaz Mokhtar dan beberapa orang guru lain yang mempunyai kemahiran al-Quran.
      Kelas tambahan memang tak ada kerana falsafah pengetua, jika cikgu mengajar dengan efisen di dalam kelas, kelas tambahan tidak diperlukan  apatah lagi, kebanyakan  guru pada masa cuti persekolahan akan pulang ke Semenanjung. Walau bagaimanapun, Zaini mengambil inisiatif dengan mengadakan kelas tambahan malam bagi mata pelajaran Sejarah Islam kepada pelajar asrama. Namun ada juga pelajar luar yang datang tetapi Zaini mensyaratkan mereka mesti ditemani oleh penjaga masing-masing. Ada pelajar yang datang dari Kg.Tebobon dan Darau. Hasil daripada usaha Zaini, ramai pelajar yang mendapat A dalam mata pelajaran Sejarah dan salah seorang daripadanya ialah pelajar Kadazan, Lubita Gundongon. Memang dia layak dapat A kerana dalam Peperiksaan Percubaan pun dia dah dapat A. Sayang, ke mana perginya pelajar Bajau yang beragama Islam, kenapa tak ramai yang dapat A, pelajar Kadazan yang beragama Kristian yang dapat A.

Semasa peperiksaan STPM  dan SPM, cuma Cikgu Zaini seorang yang menjadi warden asrama kerana Ustaz Mokhtar dan Cikgu Wahab pulang kampung, Cikgu  Zaini lewat pulang ke kampung kerana menjadi pengawas peperiksaan STPM di SMK Sanzec. Pada suatu malam, Ketua Pengawas Asrama memberitahu terdapat  pelajar yang meminum arak di asrama.
 “Mereka minum di mana bah?” tanya Cikgu Zaini kepada Pengawas Asrama dengan nada terkejut kerana Cikgu Zaini belum pernah menerima laporan kes disiplin begini, kalau setakat bergaduh dan mencuri duit pelajar asrama , itu perkara biasa.
“Di asrama Cikgu?” Pengawas tersebut dengan berani melaporkan.
“Panggil mereka ke bilik warden” Cikgu Zaini member  arahan dengan tegas.
Tidak lama kemudian, 4 orang pelajar Kadazan datang ke hadapan bilik warden.
“Betul kamu minum arak di asrama” Cikgu Zaini melakukan soal selidik.
Ya ciku, tapi lihing saja bah!” jawab 3 orang pelajar tersebut dalam pelat Kadazannya.
“Kamu Biling, kenapa diam, tak mengaku” tanya Cikgu Zaini kepada seorang pelajar yang nampak gelisah dan dalam keadaan separuh mabuk.
“Aku tak minum” jawab pelajar tersebut dalam keadaan separuh mabuk.
“Kawan-kawan kamu memberitahu saya ,kamu juga minum, macam mana? “Mengaku tak?” Cikgu Zaini menyergah pelajar tersebut dengan suara nyaring.
“Ya! Saya mengaku” pelajar tersebut akhirnya akur dengan kesalahannya.
“Saya beri pilihan kepada kamu semua. Nak saya buang asrama atau nak saya rotan. Jika  saya buang asrama, esok kamu tak dapat menduduki peperiksaan SPM kerana rumah kamu semua jauh dari sekolah” Cikgu Zaini memberi pilihan kepada para pelajar tersebut.
“Rotan saja ciku. Kamu nak periksa esok bah!” pelajar tersebut merayu dalam loghat Sabah.
“Ok! Tanda tangan di buku kesalahan disiplin ni yang menunjukkan kamu bersetuju dengan hukuman rotan”
Semua pelajar tersebut menandatangani borang persetujuan dirotan.
“Sekarang, pusing punggung kamu ke arah saya” Cikgu Zaini memberi arahan.
Zapp! Zapp! Zapp! Zapp! Keempat-empat pelajar tersebut dirotan oleh Cikgu Zaini.
“Kamu semua sedarkan, meminum arak ini salah dalam peraturan sekolah. Masalah  kamu nak minum di rumah itu hak kamu kerana ia budaya kamu tetapi di sekolah tak boleh, faham!” Cikgu Zaini menjelaskan kenapa mereka dirotan. Keempat-empat pelajar tersebut  bersalaman dengan Cikgu Zaini dan  pulang ke dom masing-masing.

Hari peperiksaan semakin hampir ke penghujungnya. Semua pelajar sibuk dengan mengulangkaji pelajaran. Cikgu Zaini pergi makan di kantin asrama selepas mengimami solat Isyak bersama para pelajar. Selepas makan malam, Zaini memerhati para pelajar perempuan yang belajar di dewan makan asrama, tiba-tiba Cikgu Zaini dipanggil oleh seorang pelajar perempuan yang berasal dari Labuan, Azira.
“Cikgu! Saya ada perkara nak cakap dengan  Cikgu bah” Azira bercakap tersangkut-sangkut.
“Ada ape? Cakap sajalah” Zaini ingin cepat meninggalkan dewan makan asrama untuk pergi melihat para pelajar lelaki belajar di bilik darjah di sekolah pula.
“Cikgu, muka cikgu seiras dengan muka kekasih saya bah!” Azira menjelaskan sambil tersipu-sipu.
“Habis apa kaitan dengan saya bah?” Cikgu Zaini yang masih bujang cuba mengelak diri daripada terperangkap dengan cinta monyet para pelajar.
“Dia dah tinggalkan saya cikgu dan pulang ke Dubai” jelas Azira sayu sambil mengharap simpati daripada Cikgu Zaini.
“Oh gitu, sabarlah, kumbang bukan seekor, bunga bukan sekuntum.” Cikgu Zaini cuba mengubat hati pelajar tersebut.
“Sudikah cikgu menjadi pengganti” Azira merayu penuh simpati.
Kelam-kabut fikiran Cikgu Zaini. Patutlah semasa Cikgu Zaini mengajar, Azira selalu termenung kosong memandang mukanya. Markah peperiksaan pula selalu rendah, rupanya Azira kena penyakit angau.
“Macam mana ni! Kalau aku tolak, nanti merajuk pula pelajar ni, sedangkan peperiksaan dah nak habis. Nanti rosak fikirannya dan akan mengganggu konsentarasi dia dalam pelajaran” fikiran Cikgu Zaini berserabut. Ditelan mati emak, diluah mati bapak.
“Beginilah Azira, saya akan beri keputasan selepas tamat peperiksaan STPM lusa” Cikgu Zaini berjanji.
“Baik cikgu, saya tunggu jawapan cikgu” Azira meminta diri dan terus ke meja belajarnya untuk meneruskan menelaah pelajaran.
Fikiran Cikgu Zaini berserabut. Dia dah ada teman istimewa di kampung, takkan nak tinggal begitu saja, apatah lagi temannya di kampung jauh lebih istimewa daripada pelajarnya.   
Hari ini merupakan  hari terakhir pelajar asrama berada di asrama kerana esoknya mereka akan pulang ke rumah masing-masing menemui keluarga tercinta setelah lama ditinggalkan sejak cuti pertengahan penggal dulu lagi. Zaini mengelamun seorang diri di pondok yang didirikan oleh Ustaz Mokhtar secara gotong-royong dengan para pelajar asrama. Ustaz Mokhtar memang seorang yang kreatif, semua kerosakan kecil asrama akan dibaikinya sendiri dengan kerjasama pelajar yang berminat menimba ilmu pengetahuan.
Dari jauh Zaini melihat sekumpulan pelajar menuju ke arahnya. Azira mendahului mereka semua.
“Cikgu! Terimalah kuntuman bunga ini sebagai tanda ingatan daripada saya Cikgu” dengan suara penuh menggoda Azira menghulurkan sekuntum bunga.
Zaini menjadi serba-salah. Kalau tak diterima, kecil hati pula pelajar ini. Dengan berat hati, kuntuman bunga itu diterimanya, tetapi bukan ia cinta kepada pelajar tersebut.
“Aku tak mahu menjadi tempat ia bermanja bila ditinggalkan kekasih, aku dah ada buah hati sendirilah, perasan!” getus hati Zaini.
“Hai Cikgu! Dapat bunga ya!” usik Jenny, pelajar Kadazan yang sekelas dengan Azira.
“Orang bagi kita terimalah, nanti kecil hati pula dia” balas Zaini dengan hambar. Kalau Jenny yang bagi bunga, mungkin lain ceritanya kerana Jenny memang cantik.
Cuti akhir tahun sudah bermula. Semua pelajar asrama telah pulang ke kampung masing-masing. Ada yang diambil ibu bapa dan ada yang pulang sendiri. Mereka yang pulang sendiri akan menaiki van  ke Kota Kinabalu dan dari sana mereka akan pulang ke Semporna, Sandakan, Kudat, Kota Marudu, Ranau dan hampir ke seluruh Sabah kerana SMK Menggatal merupakan sekolah menengah berasrama yang menjadi pilihan ibu bapa. Sekolah ini memang besar dan mempunyai Tingkatan 6 aliran sains.
Zaini berkemas untuk pulang ke kampung halamannnya di Kelantan yang sudah setahun di tinggalkan.Cek gaji selama 6 bulan baru dimasukkan ke Maybank semalam. Kerana masalah pejabat, Cikgu Zaini dan beberapa orang guru baru lambat dapat gaji hingga ada guru yang nak terbalikkan meja kerani yang tak buat KEW 8. Cikgu Zaini bernasib baik kerana makan percuma di asrama sebagai warden, guru lain terpaksalah pinjam duit dengan sekolah untuk belanja seharian.  
     Rindu rasanya bertemu kedua ibu bapa dan adik-adik yang ditinggalkan. Rindu kepada ahli jemaah surau di kampungnya dan berbual mesra dengan teman-teman sepermainan . Pesawat MAS Boeing 737 meluncur laju di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu menuju Lapangan Terbang Antarabangsa Subang. Selamat tinggal Negeri di Bawah Bayu, tahun depan kalau umur panjang, Cikgu Zaini akan datang lagi meneruskan baktinya kepada anak bangsa tercinta. Selamat tinggal SMK Menggatal tercinta. Selamat tinggal murid-muridku, panjang umur kita jumpa lagi tahun depan meneruskan perjuangan dalam menimba ilmu pengetahuan yang tidak pernah habis.     Tamat……………………….

Saturday, May 15, 2010

Senikata Lagu Bila Diri Disayangi(UKAYS)

BILA DIRI DISAYANGI (OLEH UKAYS) 

Terdengar bisikan mesra
Kalimah keramat bermentera
Bermulanya siang 
Berakhir malamku
Tak akan ku jemu
Menyebut namaMu
Tiada batasan waktu
Tiada tempatMu tertentu 
Di gunung di lembah 
Di darat di air
Siapapun hamba
Keikhlasan doa
Keagungan kasih
Merubah takdir

Chorus 

Bila ku sedari diri disayangi
Langkah kaki ini 
Semakin berani 
Bila terkeliru
Ku ucap namaMu 
Terasa diriku
Kembali dipandu
Engkau yang pertama
Tiada akhirnya
Aku dalam kegelapan
Engkaulah cahaya
Izinkanlah aku
Menumpang di sini
Di bawah naungan 
Kasih dan sayangMu
Ku berserah diri
Tiada batasan waktu
Tiada tempatMu tertentu
Di gunung di lembah
Di darat di air
Siapapun hamba
Keikhlasan doa(chorus ulang 2X) 
Keagungan kasih 
Merubah takdir 

Chorus


Serirengas.blogspot.com 8 Mei 2010

Wednesday, May 12, 2010

SAJAK-SAJAK SEMPENA HARI GURU 2010


Selamat Pagi Cikgu

Kujabat mesra tanganmu
Tika sama-sama berjemaah di masjid
Teringat luhur budimu
Menabur bakti
Mengajarku baca tulis

Cikgu,
Kulihat kau masih kuat
Ke masjid memohon doa
Agar muridmu menjadi insan berakhlak
Agar muridmu menjadi pencorak bangsa
Menjana modal insan
Membentuk negara maju 2020

Cikgu,
Kau masih bertenaga mencurah bakti
Tapi ku muridmu
Menapak waktu untuk berjuang
Melahir insan bertaraf dunia
Dalam dunia tak kenal belas kasihan
Mendidik insan penuh cabaran
Merempit..............merekalah
Dadah...................merekalah
Seks bebas.......... merekalah
Entah apalagi gejala sosial...............merekalah

Guruku,
Terima kasih atas budi kalian
Kini kuturut jejak langkahmu
Mendidik anak bangsa menjadi insan soleh
Menjadi insan solehah
Moga kelak wujudlah masyarakat madani
Moga majulah Malaysia di persada dunia.


Zaini al-Rengasi
Kg.Rengas,
Bachok,Kelantan
11 Mei 2010

GURU...... KAULAH PEJUANG

Dulu kita dipuja
Menjadi pilihan menjadi menantu
Dulu kalianlah pejuang
Pejuang kemerdekaan
Pejuang bahasa
Persaudaraan Sahabat Pena
Pun SITC menjadi saksi
ASAS 50 , GAPENA kalianlah

 Kini suara kalian lenyap ditelan globalisasi
Orang lebih memandang kilauan emas
Suara kalian ibarat melukut di tepi gantang
PPSMI menjadi bukti
Bukan kalian berjuang menegak bahasa
Tetapi pejuang bahasa
Tabik A.Samad Said,
Syabas  Dato’Hassan Ahmad
Mungkin guru-guru terikat dengan akta
Atau sudah hilang semangat perjuangan

Kini bahasa Melayu kembali bermaya
Bahasa Melayu bahasa ilmu

Bangunlah guru dari tidur yang lena
Bangunkan anak bangsamu
Kerana merekalah pencorak bangsa
 pembangun negara
Menongkah  dunia tanpa sempadan
Yang tak mengenal erti belas kasihan

Lihatlah anak bangsamu,
Dadah..................merekalah
Merempit ............merekalah
Usah ulangi sejarah kejatuhan Melaka
Empayar besar berkubur dek penjajah durjana
Akbat kealfaan diri sendiri
Empayar Melaka cuma tinggal dalam kenangan
Sebagai kitab sejarah kita semua
Penuh segala iktibar dan pengajaran.

Zaini al-rengasi
SMK Kandis,Bachok,Kelantan
Serirengas.blogspot.com
5.3.2010
5.00 pagi




Assalamualaikum Cikgu

Guruku,
Kau mengajarku a,b, c,
Kau mengajarku 1,2,3,
Kau mendidikku menghormati orang lebih tua
Kau mendidikku menyayangi anak-anak kecil

Guruku,
Kau tak pernah  jemu
Mencurah bakti menggalak budaya ilmu
Mengajar kami mencari ilmu
Dalam buku,
Dalam majalah,
Dalam akhbar,
Dan kini dalam internet

Guruku,
Berkat usahamu,
Kini anak bangsamu mula tegak di persada dunia
Mereka meredah lautan
Mereka meneroka Benua Antartika
Mereka berdiri megah di Puncak Everest
Mereka terapung-apung di angkasa lepas.
Guruku,
Terima kasih atas budi yang ditabur
Jasamu takkan kami lupa
Moga Allah membalasnya dengan syurga


Zaini al-Rengasi
Kg.Rengas,
Bachok,Kelantan
10 Mei 2010





Saturday, May 1, 2010

TABUNG MANGSA GEMPA BUMI DI PADANG, SUMATERA(PADANG EARTHQUAKE DONATION)

PONDOK MODEN KANDIS,BACHOK,KELANTAN TELAH MENERIMA SERAMAI 5 ORANG PELAJAR DARI SEKOLAH IKATAN PELAJAR MUHAMMADIYAH,PADANG,SUMATERA BARAT INDONESIA SEBAGAI ANAK ANGKAT. MERAKA ADALAH ADALAH MANGSA GEMPA BUMI YANG MELANDA PADANG, INDONESIA PADA 30 SEPTEMBER 2009. DALAM GEMPA TERSEBUT, 1117 ORANG TELAH MENINGGAL DAN 38,000.00 BUAH RUMAH TELAH BINASA. Mereka telah datang ke sini untuk memohon bantuan bagi kelangsungan hidup mereka di Padang, Sumatera yang teruk dilanda gempa bumi.


5 ORANG PELAJAR TERSEBUT IALAH:
  1.      ISMEN OKNARDI
  2.      ARIES TRI DARMA
  3.      ARSYAD BUKHARI
  4.      HERI DWI SUSANTO
  5.      YOGI SUGAMA


MARILAH KITA UMAT ISLAM MEMBANTU MEREKA SEKADAR KEMAMPUAN KITA BAGI MEMBOLEHKAN MEREKA MENERUSKAN PELAJARAN DAN MENEMPUH HIDUP YANG LEBIH BAIK DAN MEMPERJUANGKAN ISLAM DI INDONESIA.

UMAT ISLAM IBARAT SATU BADAN, SATU ANGGOTA YANG SAKIT, SEMUA ANGGOTA AKAN SAKIT. JADI MARILAH KITA SAMA-SAMA MEMBERI SUMBANGAN KEPADA MEREKA.


KEPADA SESIAPA YANG BERMINAT UNTUK MENDERMA BOLEHLAH  MEMBERI SUMBANGAN WANG KE AKAUN TABUNG KEBAJIKAN PONDOK MODEN KANDIS,BACHOK DI AKAUN MAYBANK:

553083021988

Sebarang pertanyaan, sila hubungi Pendaftar Pondok Moden Kandis, Ustaz Saripuddin di talian :

019-9489094

Sumbangan hendaklah sampai SEBELUM 8 MEI 2010 kerana para pelajar tersebut akan pulang semula ke Padang Indonesia pada 9 Mei 2010.
SEMOGA SUMBANGAN ANDA MENDAPAT PAHALA DARIPADA ALLAH S.W.T.