KONSEP TAYAMMUM MENURUT PERSPEKTIF HUKUM
          Oleh: Mohd Rawizal bin Mohd Nawi
          B.A Syariah Islamiah 
Pendahuluan
Dalam bab  ini, penulis 
akan mengemukakan definisi-definisi tayammum menurut perspektif hukum 
serta konsep-konsep yang berkaitan dengan tayammum dari semua aspek. 
Dalam bab ini juga, huraian yang terperinci dinyatakan dalam setiap 
fakta berdasarkan kepada pandangan dari semua Ulama'' mazhab berserta 
dengan qaul yang paling rajih agar setiap kenyataan dapat dikemukakan 
dengan lebih jelas. Walaupun begitu, terdapat juga sesetengah fakta yang
 hanya ditumpukan kepada mazhab yang utama iaitu mazhab Syafi'ie dan 
Jumhur Ulama'.
Definisi Tayammum
Tayammum dari segi bahasa 
ialah القصد (sengaja). (Dr. Wahbah al-Zuhaili. 1984: 560) Pengertian ini
 diambil dari firman Allah S.W.T: (Al-Baqarah: 267)
              
              Maksudnya:
" Dan janganlah kamu 'sengaja' memilih buruk daripadanya, lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat. "
          
 Dengan pengertian ini juga, penyair berkata:
            
            Maksudnya:
          " Aku 'menyengaja' kepada kamu jika tidak aku dapati orang 
yang mempunyai akal fikiran. Dan barangsiapa tidak mendapati air 
bertayammumlah dengan tanah."
 Manakala dari segi istilah
 Syara', tayammum bermaksud 'menyengaja' atau menghendaki pada tanah 
untuk menyapu muka dan dua tangan dengan niat yang mengharuskan solat. 
(Al-Syeikh Hassan Ayub. 1422H/2002 : 61) Di dalam Kamus Istilah Fiqh 
pula mendefinisikan tayammum iaitu menyapukan debu atau tanah ke wajah 
dan kedua tangan hingga kedua siku dengan beberapa syarat, yang 
berfungsi sebagai pengganti wudhuk atau mandi sebagai rukhsah 
(kemudahan) bagi mereka yang berhalangan atau tidak dapat menggunakan 
air. (M. Abd. Mujieb, Mabruri Tholhah, Syafi'iyah Am. 1997: 382-383)
 Tayammum dari segi istilah
 Syara' juga telah diberikan pelbagai pentakrifan oleh para Fuqaha' 
dengan istilah yang seakan-akan hampir maksudnya. Imam Hanafi 
mentakrifkan tayammum iaitu menyapu muka dan kedua-dua tangan dengan 
tanah yang bersih. Berkata Imam Malik pula tayammum bererti bersuci 
menggunakan tanah atau debu yang meliputi dengan menyapu muka dan 
kedua-dua tangan dengan niat. Manakala Imam Syafi'e pula mentakrifkan 
tayammum iaitu menyampaikan atau menyapukan tanah kepada muka dan dua 
tangan sebagai ganti kepada wudu' atau mandi janabah atau seumpamanya 
dengan syarat-syarat yang tertentu. Mengikut pendapat Abu Hanifah pula 
tayammum ialah menyapu muka dan dua tangan dengan tanah yang bersih di 
atas jalan yang tertentu. (Dr. Wahbah al-Zuhaili. 1984 : 560-561)
 Dalam terminologi fiqh 
tayammum diertikan dengan menyampaikan tanah ke muka dan dua tangan 
sebagai ganti daripada wudhu dan mandi dengan syarat-syarat yang 
tertentu. Tayammum merupakan spesifik umat Islam yang disyari'atkan pada
 peperangan Bani Mustaliq tahun keenam hijrah. Ketika itu Aisyah 
kehilangan kalungnya, lalu Rasulullah S.A.W mengutus orang mencarinya, 
kemudian waktu solat datang sedangkan air tidak ada, maka turunlah ayat 
tayammum. (Dr. A. Rahman Ritonga, Dr. Zainuddin Tanjung. 1999: 79) Ini 
berdasarkan hadis: (Riwayat al-Bukhari, (b) 332: 200)
          
            Maksudnya:
          " Dari Aisyah bahawasanya ia meminjam kalung dari Asma', lalu 
kalung itu hilang. Kemudian Rasulullah S.A.W mengutus seseorang (untuk 
mencarinya), akhirnya kalung tadi dapat ditemukan. Lalu waktu solat tiba
 dan tidak ada air di sana. Mereka solat (tanpa wudu') dan 
memberitahukan kepada Rasulullah S.A.W. Maka Allah menurunkan ayat-ayat 
tayammum". Usaid bin Hudhair berkata kepada Aisyah: " Semoga Allah 
melimpahkan pahala kebaikan bagimu. Demi Allah, apabila sesuatu hal 
terjadi padamu padahal engkau tidak menyukainya, Allah menjadikan hal 
itu mengandung kebaikan bagimu dan bagimu kaum muslimin."
 Dalil pensyariatan tayammum
Tayammum disyari'atkan berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah serta Ijma'. Firman Allah S.W.T: (An-Nisa': 43)
Maksudnya:
          " Dan jika kamu sakit atau sedang dalam musafir atau datang 
dari tempat buang air atau kamu telah menyentuh perempuan, kemudian kamu
 tidak mendapat air, maka bertayammumlah kamu dengan tanah yang baik 
(suci): Sapulah mukamu dan tanganmu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi
 Maha Pengampun."
 Berdasarkan hadis Abu 'Umamah al-Bahili, bahawa Nabi S.A.W bersabda: (Riwayat Ahmad, (b) 22133: 313)
Maksudnya: 
          "Seluruh bumi dijadikan bagiku dan bagi umatku sebagai masjid 
dan alat bersuci. Maka di mana pun seseorang dari umatku harus 
mengerjakan solat, di situ pulalah terdapat alat untuk bersuci."
 Dari 'Imran Ibn Hussain r.a berkata: (Riwayat al-Bukhari, (b) 348: 161-162)
          
            Maksudnya:
" Sesungguhnya Rasulullah S.A.W telah melihat seorang lelaki 
mengasingkan diri, tidak bersembahyang bersama dengan satu kaum. Melihat
 itu, Rasulullah S.A.W bertanya: 'Wahai fulan apakah yang menghalang 
kamu bersembahyang bersama-sama dengan kaum itu?' Orang itu menjawab: 
'Saya sedang janabah dan tidak mendapat air'. Mendengar perkara itu, 
Rasulullah S.A.W. bersabda: 'Gunakanlah tanah (bertayammum); 
sesungguhnya itu adalah cukup bagi engkau."
 Manakala dalil Ijma' pula mengharuskan tayammum berdasarkan kesepakatan seluruh umat Islam (Dr. Wahbah al-Zuhaili. 1984 : 562)
Ibadat yang harus dikerjakan dengan bertayammum
Bersuci dengan bertayammum mengharuskan baginya tiga martabat ibadah yang berikut:
            Pertama : Solat-solat fardhu dan tawaf fardhu serta khutbah solat jumaat.
            Kedua : Solat-solat sunat dan tawaf sunat serta solat jenazah.
            Ketiga : Sujud Tilawah dan sujud Syukur, menyentuh musyhaf dan membaca 
  al-Quran bagi orang berjunub.
Maka sesiapa yang berniat 
salah satu daripada martabat yang pertama, harus baginya mengerjakan 
ibadat yang satu itu dan harus juga baginya mengerjakan semua ibadat 
dalam martabat yang kedua dan ketiga. Sesiapa yang berniat salah satu 
ibadat daripada martabat yang kedua, harus baginya mengerjakan semua 
martabat itu dan semua ibadat martabat ketiga tetapi tidak diharuskan 
samasekali baginya mengerjakan daripada martabat yang pertama. Manakala 
sesiapa yang berniat untuk salah satu ibadat martabat ketiga, harus 
untuknya mengerjakan semua ibadat dalam martabat ketiga tetapi tidak 
harus samasekali mengerjakan ibadat dalam martabat kedua dan ketiga. 
(Al-Syeikh, Dr. Abd. Fattah Hussin. 1411H/1991: 229) 
Hadas yang dibolehkan bertayammum
Diharuskan bertayammum 
sebagai ganti wudu' bagi seseorang yang berhadas kecil, mandi junub bagi
 seseorang yang berhadas besar samada disebabkan janabah, haid dan nifas
 atau ketika ketiadaan air serta tidak mampu menggunakan air dengan apa 
jua sebab sekalipun. Ini berpandukan kepada dalil-dalil al-Quran dan 
juga Hadis Nabi S.A.W sepertimana berikut:
i. Bertayammum Daripada Hadas Kecil:
Firman Allah S.W.T: (Al-Maidah: 6)
Maksudnya:
" Jika kamu sakit atau dalam perjalanan atau sudah buang air atau kamu 
menyentuh perempuan, kemudian kamu tiada memperoleh air, maka 
bertayammumlah dengan tanah yang suci, maka sapulah mukamu dan kedua 
belah tanganmu dengan tanah itu."
Abu Sa'id al-Khudri r.a berkata: (Riwayat Abu Daud, (b) 338: 241) 
        
Maksudnya:
" Dua orang lelaki telah keluar untuk bermusafir, kebetulan ketika 
datangnya waktu sembahyang mereka tidak mendapati air, lalu 
bertayammumlah kedua-duanya dengan tanah yang baik dan bersembahyang. 
Kemudian kedua-duanya mendapati air, sedangkan waktu belum habis. Maka 
salah seorang mereka telah mengulangi sembahyangnya dan seorang lagi 
tidak mengulangi. Kemudian mereka berjumpa Rasulullah S.A.W. lalu 
menerangkan keadaan yang demikian. Setelah itu Rasul bertanya kepada 
yang tidak mengulangi sembahyangnya: ' Pekerjaan engkau sesuai dengan 
Sunnah dan sembahyang engkau mencukupi'. Kepada yang berwudhu dan 
mengulangi pula baginda berkata: ' Engkau memperoleh dua pahala'."
ii. Bertayammum Daripada Hadas Besar:
Firman Allah S.W.T dalam surah an-Nisa': (An-Nisa': 43)
Maksudnya:
" Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengerjakan sembahyang 
ketika kamu sedang mabuk, kecuali jika kamu telah mengetahui apa-apa 
yang kamu katakan dan jangan pula sedang junub (sudah bercampur dengan 
isterimu), kecuali melalui jalan (tempat sembahyang), sehingga kamu 
mandi lebih dahulu. Kalau kamu sakit atau dalam perjalanan atau datang 
salah seorang diantara kamu dari tempat buang air atau kamu menyentuh 
perempuan, sedang kamu tidak memperoleh air, maka hendaklah kamu 
bertayammum…"
  Kemudian, dalil hadis tentang janabah: (Riwayat al-Bukhari, (b) 344: 210)
  Maksudnya:
" Dari 'Imran bin Hussain al-Khuza'iy bahawa sesungguhnya Rasulullah 
S.A.W. melihat seorang lelaki yang menyendiri, sedang dia sendiri tidak 
ikut mengerjakan solat bersama-sama satu kaum. Baginda bertanya 
kepadanya: 'Apakah yang menghalangi kamu untuk ikut bersembahyang 
bersama-sama kaum itu?' Kemudian orang tadi menjawab: ' Wahai 
Rasulullah, saya sedang junub dan tidak ada air.' Baginda lalu bersabda:
 " Lakukanlah tayammum dengan tanah yang bersih dan itu sudah cukup 
bagimu. "
Sebab-sebab Yang Mengharuskan Tayammum
Para pakar fiqh telah menetapkan beberapa keadaan yang menyebabkan seseorang boleh bertayammum sebagai berikut:
1) Ketiadaan air:
Para Fuqaha' menetapkan 
ketiadaan air sebagai salah satu penyebab diharuskan bertayammum. Hal 
ini ditetapkan berdasarkan firman Allah: (An-Nisa': 43)
              
              Maksudnya:
            " …lalu tidak kamu peroleh air, maka bertayammumlah dengan tanah yang baik (suci)".
Ketiadaan air hendaklah 
dikira setelah dilakukan pencarian dan menyakini tiadanya air yang 
membolehkannya untuk bertayammum. Selain itu, termasuk juga ke dalam 
pengertian ini ada air dalam jumlah yang sedikit yang tidak cukup untuk 
wudu' atau mandi, dan ada air tetapi harganya melebihi harga pasaran 
sehingga sulit membelinya. Termasuk juga, adanya air tetapi berada di 
tempat yang cukup jauh dan untuk mencarinya mengalami kesulitan. 
Menurut Imam Syafi'ie air 
yang sedikit yang tidak memadai untuk berwudu' atau mandi wajib 
dipergunakan untuk berwudu' atau mandi, kemudian diiringi dengan 
tayammum pada bahagian anggota wudu' atau badan yang belum terkena air. 
Abu Hurairah r.a berkata, bersabda Rasulullah S.A.W: (Riwayat Muslim (b)
 6113: 1035-1036 )
          
            Maksudnya:
" Apabila aku menegah kamu dari sesuatu urusan, jauhilah ia, dan apabila
 aku memerintahkan kamu sesuatu urusan, maka kerjakanlah seberapa yang 
kamu sanggupi".
Tayammum tidak boleh 
dilakukan bila ada air yang dapat dibeli dengan harga pasaran. Maka 
wajib membelinya sekiranya harta itu tidak diperlukan untuk menjelaskan 
hutang atau menanggung belanja musafir sekalipun memberi nafkah kepada 
binatang yang dihormati dan sebagainya. (Dr. Wahbah al-Zuhaili. 1984 : 
572) Begitu juga halnya bila ada orang yang berbaik hati untuk memberi 
air. Di samping itu bila seseorang dalam perjalanan lupa bahawa dia 
membawa air, lantas dia bertayammum, kemudian dia ingat setelah lewat 
waktu solat, maka menurut pendapat sebahagian golongan Syafi'iyyah, Abu 
Yusuf dan Malikiyyah solatnya diqadha', kerana dia telah memperoleh air.
 Menurut Abu Hanifah dan Muhammad bin Hasan dia tidak wajib mengqadha', 
kerana orang tersebut dianggap tidak memperoleh air. Tetapi kalau dia 
sedang dalam keadaan solat, lalu mengingat bahawa air ada, maka Ulama' 
sepakat untuk membatalkan solat dan mengulanginya dengan wudu'. (Dr. A. 
Rahman Ritonga, Dr. Zainuddin Tanjung. 1999: 80-81)
Menurut golongan Syafi'iyah
 orang muqim (yang tidak sedang dalam perjalanan) yang bertayammum 
kerana ketiadaan air wajib mengqadha' solatnya bila air sudah ada, 
kerana tayammum bukan merupakan rukhsah bagi yang bermuqim. Begitu juga 
orang yang melakukan perjalanan maksiat, kerana mereka tidak termasuk 
orang mendapat rukhsah. Yang mendapat rukhsah tayammum adalah orang yang
 melakukan perjalanan mubah, sunat atau wajib. Bagi Ulama'' lain dan 
pendapat yang lebih kuat dari golongan Hanabilah solatnya tidak mesti 
diulang. (Dr. A. Rahman Ritonga, Dr. Zainuddin Tanjung. 1999: 81)
2) Keuzuran untuk menggunakan air:
Termasuk ke dalam 
pengertian ini orang yang dipenjara dalam rumah tahanan yang terletak di
 pinggir sungai, dan dia tidak memperoleh izin keluar mendapatkan air 
untuk wudu'. Demikian halnya orang yang diikat dipinggir kali dan orang 
yang tidak berani keluar rumah mengambil air kerana menurut biasa ada 
bahaya yang mengancam jiwanya. Demikian juga orang yang khawatir 
diganggu oleh binatang buas atau oleh musuh di tempat yang terdapatnya 
air, (Al-Husaini, Imam Taqiyuddin Abu Bakar b. Muhammad. 1414H/1993: 
117-118) ataupun khuatir ditinggalkan oleh teman-temannya dalam suatu 
perjalanan. (Ar-Rahbawi, 'Abdul Qadir. 1994: 137) Terhadap orang yang 
berada dalam keadaan tersebut dibolehkan tayammum, meskipun air ada 
disekitarnya.
3) Dalam keadaan sakit atau luka:
Orang sakit bila khawatir 
memakai air dapat melakukan tayammum untuk mengangkatkan hadas. 
Kekhawatiran itu ada 3 kemungkinan, iaitu:
i. Seandainya dia berwudhuk
 dalam keadaan sakit seperti itu, khawatir akan kehilangan nyawanya atau
 anggota tubuhnya atau kehilangan manfaat dari bahagian anggota 
tubuhnya. Boleh disamakan dengan hal tersebut, iaitu manakala ia 
mempunyai penyakit yang tidak mengkhawatirkan tetapi dia takut 
menggunakan air yang boleh membahayakan penyakitnya. Orang seperti ini 
juga diperbolehkan bertayammum menurut mazhab yang kuat. Ibnu 'Abbas 
r.a. berkata, bersabda Rasulullah S.A.W: (Riwayat al-Daruqutni, (b) 666 :
 413)
          
            Maksudnya:
          " Apabila seseorang lelaki beroleh luka di dalam peperangan 
atau beroleh luka-luka bisul, lalu berjunub, maka ia takut mati jika 
mandi, hendaklah ia bertayammum".
ii. Khawatir sakitnya akan 
bertambah, meskipun tidak mempengaruhi masa sembuhnya. Atau khawatir 
lambat sembuhnya, meskipun sakitnya tidak bertambah. Atau khawatir 
sakitnya semakin parah, iaitu sakit yang terus menerus hingga membuatkan
 badannya kurus. Atau khawatir akan menimbulkan cacat yang buruk, 
seperti kulit badan menjadi hitam, seperti anggota bahagian wajah dan 
lain-lain.
            Dalam semua masalah ini ada khilaf yang banyak di kalangan 
para Ulama'. Qaul yang rajih, membolehkan tayammum. Yang dibuat alasan 
untuk cacat yang buruk, iaitu dapat membuat kelainan pada bentuk anggota
 badan dan cacatnya (membekas) seumur hidup.
            iii. Orang yang khawatir mendapat cacat sedikit, seperti ada
 bekas bintik-bintik atau ada sedikit warna hitam, atau khawatir 
mendapat cacat yang buruk pada selain anggota yang kelihatan (ketika 
bekerja); atau orang itu mempunyai penyakit yang dia sendiri tidak takut
 akan mendapatkan sesuatu yang dikhawatirkan di belakang hari jika 
menggunakan air, walaupun ketika itu ia merasa kesakitan, seperti ada 
lukanya atau kedinginan atau kepanasan. Tidak boleh bertayammum kerana 
sakit-sakit yang seperti ini tanpa ada khilaf. (Al-Husaini, Imam 
Taqiyuddin Abu Bakar b. Muhammad. 1414H/1993: 113-114)
Hal-hal seperti ini 
diketahui dengan kebiasaan atau melalui nasihat dari doktor yang pakar 
sekalipun bukan muslim, demikian menurut pendapat golongan Malikiyyah 
dan Syafi'iyyah. Tetapi bagi golongan Hanafiyyah dan Hanabilah doktornya
 di syaratkan seorang muslim. (Dr. A. Rahman Ringota, Dr. Zainuddin 
Tanjung. 1999: 82)
4) Memerlukan air:
Seseorang yang memiliki air
 dalam jumlah yang mencukupi sekadar untuk wudu' atau mandi, tetapi dia 
sangat memerlukannya untuk keperluan lain yang akan menyelamatkan 
jiwanya dari kemudaratan, maka ketika itu ia dibolehkan bertayammum, 
meskipun dia memiliki air. Keperluan tersebut adalah keperluan yang 
tinggi, bilamana tidak ada air dapat menimbulkan kebinasaan atau 
kesulitan, seperti kehausan yang diderita baik oleh manusia mahupun oleh
 binatang ternak dan keperluan lainnya. Termasuk juga ke dalamnya 
keperluan untuk minuman anjing pemburu atau penjaga kebun. Lain halnya 
untuk keperluan orang kafir harbi dan anjing yang tidak dibolehkan 
Syara' memeliharanya. Menurut Hanabilah (keperluan ini tidak menghalangi
 untuk memakai air).
Sebagai contoh dalam 
keadaan ini seandainya terdapat seorang lelaki meninggal dunia. Orang 
tersebut mempunyai air tetapi teman-temannya banyak yang kehausan. Maka 
teman-temannya itu boleh minum air itu dan mentayammumkan mayat itu 
sebagai ganti memandikannya. Dan teman-teman yang ikut minum itu wajib 
membayar harga air yang diminumnya dan hasilnya dimasukkan pada harta 
warisan. (Al-Husaini, Imam Taqiyuddin Abu Bakar b. Muhammad. 1414H/1993:
 118)
Bentuk-bentuk keperluan 
lain menurut pakar fiqh Syafi'iyyah adalah seperti keperluan untuk 
memasak, untuk dimasak, dan untuk menghilangkan najis yang tidak 
dimaafkan yang melekat di badan. (Dr. A. Rahman Ritonga, Dr. Zainuddin 
Tanjung. 1999: 82) Jika najis terdapat di pakaian, hendaklah air itu 
digunakan untuk berwudu' dan solat dalam keadaan tidak menutup aurat 
jika tidak ada penutup (yang suci) lain, dan solat tersebut tidak perlu 
diulangi.
5) Khawatir kehilangan harta jika mencari air:
Menurut Malikiyah orang 
yang sanggup memakai air dan yakin bahawa air akan diperoleh jika 
dicari, tetapi timbul kekhawatiran akan kehilangan harta jika pencarian 
dilakukan, dibolehkan tayammum. Tidak dibezakan apakah orang tersebut 
dalam perjalanan atau bermuqim, tidak dibezakan juga kekhawatiran 
terhadap harta sendiri atau milik orang lain yang berada di tangannya. 
Menurut selain Malikiyyah kekhawatiran terhadap musuh, pencuri atau 
kebakaran membolehkan tayammum lebih dahulu tanpa mencari air. 
Kekhawatiran itu boleh terjadi atas diri sendiri, harta, keamanan atau 
kekhawatiran terhadap orang berhutang yang hartanya sedang dalam keadaan
 yang berkuasa.
6) Keadaan sangat dingin:
Dari 'Amru bin 'Ash r.a berkata: (Riwayat Abu Daud, (b) 334: 238)
          
            Maksudnya:
" Pernah aku bermimpi (sehingga junub) pada suatu malam yang dingin 
ketika peperangan Zatus Salasil, jika aku mandi maka aku khawatir binasa
 (mati), sebab itu aku bertayammum, kemudian mengerjakan solat subuh 
bersama sahabat-sahabatku (sebagai imam). Setelah para sahabatku 
menuturkan hal yang menimpaku itu kepada nabi S.A.W, maka beliau 
bersabda: ' Wahai 'Amr, apakah kamu mengerjakan solat bersama para 
sahabatmu dalam keadaan junub?' Maka aku sampaikan kepada beliau, 
alasanku yang membuat aku tidak mandi, dan aku menjawab: Saya ketahui 
Allah berfirman: " Dan janganlah kamu bunuh diri, sesungguhnya Allah 
Maha Menyayangimu ". Maka Rasulullah S.A.W. tertawa tidak bersabda 
sesuatu pun." 
Berdasarkan hadis ini 
terdapat iqrar atau persetujuan dari Nabi, dan iqrar adalah hujjah 
(suatu dalil) kerana Nabi tidak akan menyetujui sesuatu yang salah. 
(Ar-Rahbawi, 'Abdul Qadir. 1994: 139) Maka, jika seseorang khawatir akan
 berbahaya menggunakan air kerana terlalu dingin dan air tersebut tidak 
dapat di panaskan, dibolehkan tayammum. Golongan Hanafiyyah mensyaratkan
 boleh tayammum jika khawatir membawa kematian atau lenyapnya sebahagian
 anggota badan. Hal ini hanya boleh dilakukan oleh orang yang junub dan 
tidak dapat memanaskan air. Sedangkan bagi orang yang berhadas kecil 
menurut Hanafiyah tidak boleh bertayammum dengan alasan sangat dingin.
 Sebagaimana golongan 
Hanafiyyah, golongan Malikiyyah juga mengaitkan kebolehan tayammum ini 
dengan keadaan yang dikhawatirkan membawa kematian. Sedangkan dari 
golongan Syafi'iyyah dan Hanabilah membolehkan bertayammum dengan alasan
 dingin jika sulit memanaskan air atau panasan air tidak memberikan 
manfaat (pengaruh). Orang yang bertayammum kerana dingin ini menurut 
Syafi'iyyah mesti mengqadha' solatnya sama halnya dengan tayammum kerana
 sakit. Ini berbeza dengan golongan Malikiyyah dan Hanafiyyah yang 
mengatakan solat tidak mesti diqadha'.
7) Tiada alat untuk mengambil air:
Tayammum dibolehkan bagi 
orang yang sanggup memakai air tetapi tidak boleh mendapatkannya. 
Misalnya ada air pada suatu tempat yang hanya didapatkan dengan 
alat-alat tertentu, sementara alat itu tidak ada padanya, seperti 
ketiadaan timba pengambil air dari sumur yang dalam, jika terus 
diusahakan waktu akan habis. Orang yang solat dengan bertayammum dalam 
keadaan begini tidak wajib mengqadha' solatnya menurut mazhab yang kuat.
 (Al-Husaini, Imam Taqiyuddin Abu Bakar b. Muhammad. 1414H/1993: 113)
 Menurut pandangan golongan
 Hanabilah, bila seseorang tidak memiliki alat, dia diharuskan 
menanyanya dari orang lain supaya air boleh didapatkan. Kerana suatu 
yang menyempurnakan yang wajib hukumnya juga wajib. Dalam hal ini 
mencari alat adalah wajib.
8) Khawatir Kehabisan Waktu Solat:
Kalangan Syafi'iyyah tidak 
membolehkan bertayammum kerana takut akan habis waktu solat jika dia 
mengambil air untuk berwudu', kerana tayammum ini dilakukan bersamaan 
dengan adanya air. Lain halnya bagi orang yang musafir, dia tidak mesti 
mencari air terlebih dahulu jika khawatir akan habis waktu solat dan 
dalam keadaan itu dia dibolehkan tayammum.
 Golongan Hanabilah juga 
tidak membolehkan bertayammum dengan alasan takut habis waktu solat, 
baik untuk solat jenazah, solat 'id mahupun untuk solat lima waktu. 
Seperti golongan Syafi'iyyah, mereka juga mengecualikan orang yang 
sedang musafir yang mengetahui adanya air di tempat yang dekat, akan 
tetapi jika pemergiannya mencari air itu akan menghabiskan waktu solat 
dibolehkan bertayammum dan solat yang dilakukan dengan tayammum tersebut
 tidak diulang.
 Berbeza pula dengan 
golongan di atas, golongan Hanafiyyah tidak membolehkan bertayammum 
tanpa harus mencari air lebih dahulu, kerana takut habis waktu solat 
kecuali dalam beberapa hal. Pertama, kerana takut habis waktu solat 
jenazah atau solat 'id kerana berjemaah adalah syarat sah kedua solat 
tersebut. (Ar-Rahbawi, 'Abdul Qadir. 1994: 139) Kedua, kerana khawatir 
akan habis waktu solat gerhana (kusuf dan khusuf) dan berbagai solat 
sunat yang mengikut solat fardhu. Tidak sah tayammum apabila takut habis
 waktu solat Juma'at, solat wajib lima waktu dan solat witir.
Fuqaha' dari golongan 
Malikiyyah membolehkan tayammum kerana khawatir habis waktu solat fardhu
 bila sulit mencari air, kerana memelihara pelaksanaan solat pada 
waktunya lebih utama dari mencari kesempurnaan taharah dengan air. (Dr. 
A. Rahman Ringota, Dr. Zainuddin Tanjung. 1999: 80-84)
Rukun-Rukun Tayammum
1. Niat:
Rukun-rukun tayammum yang pertama ialah niat. Sabda Rasulullah S.A.W melalui hadis yang sahih: (Riwayat al-Bukhari, (b) 1: 1)
          
            Maksudnya:
          " Sesungguhnya setiap amal atau ibadat itu hendaklah dikerjakan dengan niat".
 Tayammum termasuk dalam 
kategori amal ibadat sebagaimana solat dan wudu' juga, iaitu wajib 
dikerjakan dengan berniat. Berniat untuk bertayammum merupakan rukun 
mengikut kesepakatan Ulama' yang empat, manakala menurut golongan 
Hanafiyyah dan sebahagian Hanabilah, ianya merupakan syarat. (Dr. Wahbah
 al-Zuhaili. 1984 : 582) Beza antara syarat dan rukun ialah syarat itu 
mendahului perbuatan dengan jarak waktu yang sedikit, sedangkan rukun 
tidak sah dilakukan sebelum sesuatu perbuatan tetapi ia termasuk 
perbuatan itu sendiri. (Ar-Rahbawi, 'Abdul Qadir. 1994: 134) Ini 
bermakna, seseorang yang hendak tayammum itu wajib berniat untuk 
membolehkan solat, dan tidak memadai berniat melenyapkan hadas, kerana 
hadas seseorang tersebut tidak terangkat kerana tayammum.
 Ini berdasarkan hadis Nabi
 S.A.W. kepada 'Amru bin al-'Ash yang sedang berjunub, kerana 'Amru bin 
al-'Ash bertayammum dan solat bersama-sama sahabatnya, lalu Nabi S.A.W. 
bertanya: (Riwayat Abu Daud, (b) 334: 238 )
          
            Maksudnya:
          " Wahai 'Amru, Kenapakah engkau solat bersama-sama para sahabat engkau, padahal engkau sedang berjunub?"
Dan hadis sebagaimana yang di kemukakan dari pendapat Malikiyyah dan Syafi'iyyah: (Riwayat Abu Daud, (b) 314: 206-207)
          
            Maksudnya:
          "Wahai Abu Zarr, sesungguhnya tanah yang baik adalah suci 
selama tidak ada air, sekalipun dengan sepuluh tahun. Apabila engkau 
mendapati air maka sentuhkanlah air itu ke kulit engkau. Sesungguhnya 
hal itu lebih baik bagi engkau".
Kesimpulan yang dapat 
diambil dari hadis Nabi S.A.W tersebut memberi fahaman yang jelas bahawa
 tayammum itu hanya untuk membolehkan solat, bukan untuk melenyapkan 
hadas. Oleh itu dalam masalah ini, jika seseorang tersebut tayammum 
berniat untuk membolehkan solat maka termasuk di bawah niatnya itu empat
 ahwal (kelakuan):
i. Berniat untuk 
membolehkan solat fardhu dan solat sunat kedua-duanya sekali. Maka boleh
 ke atas seseorang mengerjakan kedua-dua solat tersebut (solat fardhu 
dan solat sunat). Dan boleh juga bagi orang solat sunat sebelum solat 
fardhu dan sesudahnya di dalam waktu dan di luarnya.
            ii. Berniat untuk membolehkan solat fardhu, samada solat 
lima waktu atau solat nazar. Maka boleh mereka menunaikan solat-solat 
fardhu tersebut, kerana mereka berniat dengan niat fardhu. Dalam masalah
 ini pendapat yang kuat boleh juga mereka menunaikan solat sunat sebelum
 solat fardhu atau sesudahnya, kerana hal-hal yang sunat mengikut 
perkara yang fardhu.
            iii. Berniat hanya untuk membolehkan solat sunat, tidak 
berniat untuk membolehkan solat fardhu. Dalam masalah ini, pendapat yang
 kuat tidak boleh tayammum tersebut digunakan untuk solat fardhu, kerana
 niat sunat itu tidak termasuk di dalam niat fardhu. Contohnya, jika 
seseorang itu berniat untuk memegang musyhaf, atau orang junub berniat 
untuk i'tikaf, maka hukumnya sama dengan niat sunat dan tidak boleh 
mengerjakan fardhu menurut mazhab yang kuat. (Al-Husaini, Imam 
Taqiyuddin Abu Bakar b. Muhammad. 1414H/1993: 123)
            iv. Berniat untuk membolehkan solat sahaja, tanpa menentukan
 solat sunat atau sembahyang fardhu. Mereka yang berniat seperti itu 
sebagai orang yang berniat untuk membolehkan solat sunat. Maka dalam 
masalah ini, tidak boleh digunakan tayammum itu untuk solat fardhu, 
tetapi hanya boleh tayammum tersebut untuk solat sunat sahaja.(Abu 
Muhammad. t.th: 187)
2. Menyapu ke muka dan dua tangan:
Para pakar fiqh sepakat menetapkan menyapu muka dan tangan sebagai rukun tayammum, berdasarkan firman Allah: (Al-Maidah: 6)
Maksudnya:
          " Maka bertayammumlah dengan tanah yang baik (suci), sapulah mukamu dan tanganmu dengan tanah itu".
 Kesimpulan yang dapat 
diambil dari ayat tersebut memberi fahaman yang jelas, iaitu seseorang 
yang bertayammum wajib meratakan muka dan kedua-dua tangan mereka dengan
 tanah yang berdebu hingga sampai ke siku sebagaimana orang yang 
berwudu' wajib meratakan muka dan tangan mereka dengan air hingga sampai
 ke siku. (Abu Muhammad. t.th: 188)
3. Tertib (berurutan):
Menertibkan
 fardhu atau rukun adalah wajib menurut golongan Syafi'iyyah dan 
Hanabilah. Jadi wajib mendahulukan muka daripada kedua tangan. Namun, 
golongan Hanabilah mengkhaskan tertib pada hadas kecil. Sedangkan pada 
hadas besar tidak diperlukan tertib. Kewajipan tertib pada tayammum 
untuk hadas kecil dilakukan berdasarkan taharah dengan air (wudu'). 
Bilamana pada wudu' ditertibkan, maka demikian juga halnya pada 
tayammum. Golongan Hanafiyyah dan Malikiyyah menertibkan rukun, dalam 
hal ini muka dan kedua tangan, hukumnya sunat. (Dr. A. Rahman Ringota, 
Dr. Zainuddin Tanjung. 1999: 87)
Syarat-syarat Tayammum
1) Keuzuran menggunakan air:
Di antara syarat-syarat 
tayammum yang pertama ialah uzur menggunakan air di sebabkan sakit atau 
musafir. (Abu Muhammad. t.th: 191) Allah S.W.T berfirman: (Al-Maidah: 6)
Maksudnya: 
" Dan jika kamu sakit atau sedang dalam musafir atau datang dari tempat 
buang air atau kamu telah menyentuh perempuan, kemudian kamu tidak 
mendapat air, maka bertayammumlah kamu dengan tanah yang baik (suci)."
 Wujudnya penghalang yang membolehkannya untuk bertayammum adalah disebabkan salah satu dari hal-hal yang berikut:
            i. Takut kehilangan nyawa.
            ii. Takut cedera pada anggota yang sakit.
            iii. Takut terkena penyakit.
            iv. Takut kehilangan manfaat anggota seperti menjadi lemah, 
cacat atau parut yang buruk pada anggota yang biasa nampak.
2) Masuk waktu solat:
Syarat sah tayammum 
hendaklah sesudah masuk waktu solat dengan yakinnya samada solat fardhu 
atau sunat. Tayammum tidak sah bagi orang yang syak masuk waktu solat. 
(Hj. Osman b. Jantan. 1983: 58) Ini berdasarkan firman Allah S.W.T: 
(Al-Maidah: 6)
              
              Maksudnya:
" Jika kamu hendak berdiri untuk solat, basuhlah mukamu…"
 Dalam ayat ini, berdiri 
untuk solat itu tentunya setelah masuk waktu solat. Wudu' dikecualikan 
dari masalah ini kerana terdapat dalil yang lain. Sedangkan tayammum 
masih tetap kerana memandang zahirnya ayat. (Al-Husaini, Imam Taqiyuddin
 Abu Bakar b. Muhammad. 1414H/1993: 115) Dan Nabi telah bersabda: 
(Riwayat al-Bukhari (b), 335: 58)
          
            Maksudnya:
" Dijadikan bumi untukku tempat solat dan suci (tanahnya untuk 
tayammum). Maka sesiapa daripada umatku yang mendapat solat (berada pada
 waktu solat) maka hendaklah ia solat."
 Hadis Baginda Rasul S.A.W.
 tersebut merupakan dalil wajib tayammum dan solat itu ialah apabila 
tidak ada air setelah masuk waktu solat. (Abu Muhammad. t.th: 191) 
Selain daripada alasan tersebut, tayammum juga merupakan bersuci yang 
dharurat. Sebelum masuk waktu solat tidak terdapat dharurat. 
(Al-Husaini, Imam Taqiyuddin Abu Bakar b. Muhammad. 1414H/1993: 116) 
Adapun menurut Ulama' mazhab Hanafi adalah terkecuali daripada hal ini 
yang menyatakan sah bertayammum sebelum masuk waktu solat. (Ar-Rahbawi, 
'Abdul Qadir. 1994: 134) Ulama' Jumhur juga menyatakan tidak sah 
tayammum kecuali setelah masuk waktu solat fardhu mahupun solat sunat 
yang tertentu atau berwaktu seperti sunat-sunat rawatib. (Dr. Wahbah 
al-Zuhaili. 1984 : 565)
3) Mencari air:
Antara syarat diharuskan bertayammum ialah mencari air setelah masuk waktu solat. Allah S.W.T. berfirman: (An-Nisa': 43)
        
Maksudnya:
" Maka tidak kamu mendapat air (untuk berwudu' dan mandi junub) maka hendaklah kamu bertayammum."
 Ayat tersebut menyuruh kita bertayammum ketika tidak ada air untuk 
berwudu' dan mandi junub, kerana air itu tidak akan ada kecuali dengan 
dicari. (Abu Muhammad. t.th: 191) Oleh itu wajib bagi orang yang hendak 
tayammum tersebut mencari air terlebih dahulu, samada dengan usahanya 
sendiri atau bantuan orang lain, atau bertanya-tanya dari 
teman-temannya. Mencari air ini hendaklah dengan memerhati dan mencari 
air dari bekal perjalanan, pergi melihat-lihat di sekelilingnya dan 
walaupun dengan cara membelinya apabila air itu lebih dari keperluannya 
dan dengan harga pasaran. Jika diyakini bahawa air tidak ada atau 
tempatnya jauh, maka tidak wajib mencarinya. (Hj. Osman b. Jantan. 1983:
 59) 
Mengenai batas jauh yang 
tidak mewajibkan mencari air itu terdapat perbezaan pendapat di kalangan
 imam mazhab. Ukuran jauh menurut golongan Hanafiyyah adalah bila 
mencapai satu mil, sekitar 1848 meter atau 4000 hasta atau lebih. 
Menurut golongan Malikiyyah mencapai dua mil.
Golongan Syafi'iyyah memperinci kebolehan tayammum yang disebabkan ketiadaan air seperti berikut: 
            i. Jika seseorang telah yakin bahawa air tidak ada di 
sekitarnya dia boleh bertayammum tanpa dituntut untuk mencarinya.
            ii. Jika meragukan atau mempunyai persangkaan berat terhadap
 adanya air, maka dia mesti memeriksa rumahnya dan rumah temannya 
terlebih dahulu secara berulang-ulang yang jarak minima 400 hasta atau 
184.8 meter. Sebab tayammum itu bersuci yang dharurat, sedangkan 
dharurat tidak mungkin terjadi bila kemungkinan untuk bersuci dengan air
 masih ada. (Al-Husaini, Imam Taqiyuddin Abu Bakar b. Muhammad. 
1414H/1993: 112) Kalau memang ternyata tidak ditemukan adanya ada air 
barulah dia boleh bertayammum.
            iii. Sebaliknya jika seseorang meyakini ada air, maka dia 
mesti mencarinya sampai menempuh jarak 6000 langkah. Mencari air tidak 
dituntut jika diyakini pada jalan yang ditempuh itu tidak ada keamanan 
atau ada halangan. (Dr. Wahbah al-Zuhaili. 1984 : 571-572)
4) Terhalang menggunakan air:
Syarat yang keempat 
tayammum iaitu terhalang menggunakan air, seperti seseorang yang 
mendapat air, dan ia tidak boleh menggunakan air itu kerana sakit atau 
takut berpisah dengan rakannya yang bersama dalam perjalanan yang akan 
membahayakan dirinya, (Abu Muhammad. t.th: 191-192) atau ia memerlukan 
air itu kerana dahaganya, manusia atau haiwan yang muhtaram (yang 
dihormati nyawanya), samada keperluan itu pada ketika itu ataupun pada 
masa akan datang. Wujudnya penghalang yang membolehkannya untuk 
bertayammum adalah disebabkan juga khawatir akan keselamatan dirinya 
dari bahaya seperti gangguan binatang buas atau musuh, dan seterusnya 
takutkan harta bendanya dicuri orang atau perompak. (Hj. Osman b. 
Jantan. 1983: 59).
5) Tanah yang suci:
Tidak sah tayammum 
seseorang kecuali dengan menggunakan debu (tanah) yang suci, murni, 
belum pernah digunakan, (Al-Husaini, Imam Taqiyuddin Abu Bakar b. 
Muhammad. 1414H/1993: 118-119) dan tidak terkena najis. Ini berpandukan 
firman Allah S.W.T: (Al-Maidah: 6)
              
              Maksudnya:
" Maka bertayammumlah dengan tanah yang baik (bersih)."
Menurut golongan Malikiyyah
 adanya tanah yang suci merupakan rukun, sedangkan bagi Ulama' yang 
lainnya merupakan syarat. (Dr. A. Rahman Ritonga, Dr. Zainuddin Tanjung.
 1999: 87) Para ahli bahasa sepakat bahawa 'sha'id' dalam ayat tersebut 
ialah permukaan bumi, baik yang berupa tanah berdebu atau bukan, 
(Ar-Rahbawi, 'Abdul Qadir. 1994: 141) berdasarkan hadis Abu 'Umamah 
bahawasanya bersabda Rasulullah S.A.W: (Riwayat Ahmad, (b) 22133: 313)
          
            Maksudnya: 
          "Seluruh bumi dijadikan bagiku dan bagi umatku sebagai masjid dan alat bersuci."
Maka pengertian sha'id atau
 tanah di sini menurut Malikiyyah yang bersependapat juga oleh 
Hanafiyyah adalah bahagian bumi yang naik atau yang muncul ke permukaan 
yang disebut juga tanah atau debu. Termasuk ke dalamnya tanah, pasir, 
batu kerikil dan kapur (untuk mengapur rumah) yang belum dibakar dengan 
api. Semua yang termasuk pengertian ini boleh digunakan untuk 
bertayammum menurut Malikiyyah dan Hanafiyyah. Selain itu, boleh juga 
bertayammum dengan barang-barang galian, selain emas, perak dan permata 
atau mutiara, selama belum dipindahkan dari tempatnya. Begitu juga 
dengan salji yang membeku, baik yang berada di laut mahupun di bumi.
 Menurut golongan 
Syafi'iyyah dan Hanabilah, tayammum mesti di lakukan dengan tanah yang 
suci dan berdebu yang dapat menempel di tangan. (Dr. A. Rahman Ritonga, 
Dr. Zainuddin Tanjung. 1999: 87-88) Hal ini berdasarkan hadis dari 
Huzaifah, bahawa Nabi S.A.W bersabda: (Riwayat Muslim, (b) 121: 210-211)
          
            Maksudnya:
" Seluruh bumi itu dijadikan masjid bagi kami, dan 'tanahnya' dijadikan 
tanah yang boleh mensucikan jika kami tidak menemukan air."
Di sini Rasulullah S.A.W. 
mengalihkan pembicaraan dari bumi lalu menyebutkan tanah yang 
mengkhususkan sifat suci yang mensucikan terhadap tanah. (Al-Husaini, 
Imam Taqiyuddin Abu Bakar b. Muhammad. 1414H/1993: 120)
Kemudian, disyaratkan juga tanah yang digunakan untuk bertayammum itu hendaklah memenuhi ciri-ciri berikut:
i. Harus bagi tanah itu 
tidak keluar dari keadaan semulajadinya kepada keadaan lain yang dapat 
mencegah dari dikatakannya sebagai "tanah". Seandainya tanah itu dibakar
 sampai menjadi abu, atau menjadi tembikar yang telah ditumbuk halus, 
maka tidak boleh digunakan untuk tayammum.
            ii. Bertayammum dengan menggunakan pasir sekiranya pasir itu
 kasar yang apabila dilemparkan tidak mengeluarkan debu, maka tidak 
boleh digunakan untuk bertayammum. Jika pasir itu halus maka boleh 
menggunakannya untuk bertayammum. Justeru, sekiranya tanah yang dicampur
 dengan pasir yang halus, tidak sah tayammumnya. Akan tetapi jika 
seseorang memukulkan tangannya ke kain, kantung atau permaidani, lalu 
melekat di tangannya debu, maka dia boleh bertayammum dengan debu 
tersebut. (Dr. A. Rahman Ritonga, Dr. Zainuddin Tanjung. 1999: 88)
            iii. Tanah yang digunakan untuk bertayammum itu harus suci 
berdasarkan firman Allah S.W.T dan sabda Rasulullah S.A.W mengenai tanah
 yang suci. Ini adalah kerana air yang bernajis tidak boleh digunakan 
untuk bersuci, maka demikian juga tanah yang menggantikan air wudu' atau
 janabah tidak boleh digunakan untuk bertayammum.
            iv. Disyaratkan juga tanah yang digunakan untuk tayammum 
harus tanah yang murni iaitu tanah yang tidak dicampur dengan tepung 
atau lain sebagainya walaupun sedikit tanpa ada khilaf di kalangan 
Fuqaha'.
            v. Tanah yang digunakan untuk tayammum itu tidak boleh yang 
musta'mal (yang telah digunakan) sebagaimana air yang musta'mal. Yang 
dimaksudkan dengan musta'mal pada tanah ialah yang menempel pada anggota
 badan atau yang sudah menyentuh badan. (Al-Husaini, Imam Taqiyuddin Abu
 Bakar b. Muhammad. 1414H/1993: 120-121)
          
Sunat-Sunat Tayammum
Para Ulama' Fiqh 
berbeza-beza pandangan dalam menetapkan sunat-sunat tayammum. Ada yang 
dipandang sunat bagi satu mazhab, tetapi dipandang wajib oleh yang lain 
atau sebaliknya. Tayammum mempunyai beberapa perkara sunat sebagaimana 
berikut:
i. Membaca Basmalah. Tetapi
 menurut Ulama' Hanabilah, membaca Basmalah itu hukumnya wajib, jika 
ditinggalkan dengan sengaja batallah tayammum, dan kewajipan ini menjadi
 gugur jika lupa atau memang kerana tidak tahu sedangkan tayammum itu 
seperti wudu'. Hal itu berdasarkan sabda Rasulullah: (Riwayat 
at-Tirmizi, (b) 25: 114)
          
            Maksudnya:
" Tiada wudu' bagi orang yang tidak menyebutkan nama Allah atasnya".
ii. Bersiwak atau menggosok
 gigi, iaitu di antara membaca Basmalah dengan memindahkan tanah ke 
anggota tayammum, (Dr. Wahbah al-Zuhaili. 1984 : 206) berdasarkan hadis 
yang diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a, bahawa Nabi S.A.W. bersabda: 
(Riwayat Muslim, (b) 23: 138)
          
            Maksudnya:
" Jikalau tidak khawatir akan memberatkan umatku, nescaya kuperintahkan mereka menggosok gigi setiap kali hendak berwudu'."
iii. Mendahulukan menyapu bahagian atas muka lalu meluncurkan ke bawah dagu.
            iv. Memukulkan bahagian dalam telapak tangan ke tanah yang 
akan dipakai tayammum. Hanya saja Ulama' Maliki menyatakan bahawa 
pukulan pertama adalah rukun manakala pukulan kedua untuk disapu ke 
tangan hingga siku adalah sunat (Dr. A. Rahman Ritonga, Dr. Zainuddin 
Tanjung. 1999: 90). Hal itu berdasarkan hadis 'Ammar di dalamnya 
disebutkan: (Riwayat ad-Daruqutni, (b) 671: 416)
          
            Maksudnya:
" Nabi memukulkan kedua telapak tangannya ke tanah".
Dan Menurut riwayat ad-Daruqutni, nabi S.A.W. bersabda: (Riwayat ad-Daruqutni, (b) 690: 191-192)
          
            Maksudnya:
" Sesungguhnya cukuplah bagimu memukulkan kedua telapak tanganmu ke tanah ".
v. Merenggangkan jari-jemari di saat ditepukkan ke tanah, agar debu dapat masuk ke celah-celah jari.
            vi. Meneguhkan tangan atau meniupnya agar tanah yang melekat
 di tangan menjadi tipis. Hal ini berdasarkan pada hadis 'Ammar yang 
lalu. Dalam hadis itu disebutkan: (Riwayat Ahmad, (b) 18294: 362)
          
            Maksudnya:
          " Dan Nabi meniup kedua tangannya..".
vii. Menanggalkan cincin 
dalam pukulan pertama, sedang dalam pukulan kedua hukumnya fardhu. 
Tetapi menurut Ulama' Hanafiyyah, cukup menggerakkannya atau 
menggeser-geserkannya. (Ar-Rahbawi, 'Abdul Qadir. 1994: 143) Ini berbeza
 dengan berwudu' kerana tanah tidak boleh sampai ke bawah jari yang 
bercincin itu. (Al-Husaini, Imam Taqiyuddin Abu Bakar b. Muhammad. 
1414H/1993: 127)
            viii. Tertib, yakni memulai dengan menyapu muka lebih dulu 
sebelum menyapu tangan adalah sunat menurut golongan Hanafiyyah dan 
Malikiyyah. Sedangkan menurut golongan Syafi'iyyah dan Hanabilah, tertib
 ini adalah fardhu. Hal itu berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W.: 
(Riwayat Muslim, (b) 2950: 513-514)
          ابدأ بما بدأ الله به.
            Maksudnya:
" Mulailah dengan apa yang dimulai Allah".
ix. Tayamun, yakni 
mendahulukan menyapu tangan kanan sebelum tangan kiri, berdasarkan sabda
 Rasulullah S.A.W.: (Riwayat Muslim, (b) 2185: 378) 
          
Maksudnya:
" Mereka memulakan dengan tangan kanan".
 Dan demikian Sabda Baginda Rasul S.A.W. riwayat Aishah r.a: (Riwayat al-Bukhari, (b) 168: 502)
          
            Maksudnya:
" Baginda Rasul S.A.W. suka pada perkara-perkara yang sebelah kanan 
ketika memakai kasut, bersikat, bersuci dan semua pekerjaannya."
x. Mencelah-celahi anak 
jari sesudah menyapu dua tangan. (Abu Muhammad. t.th: 193) Demikian juga
 menyela-nyelai janggut menurut Ulama' Hanafiyyah. (Ar-Rahbawi, 'Abdul 
Qadir. 1994: 145)
            xi. Menggosokkan-gosokkan (al-dulk) tangan kepada anggota 
tayammum seperti dalam wudu', dan tidak mengangkat tangan dari anggota 
tayammum sebelum sempurna menyapu anggota tayammum tersebut. (Dr. Wahbah
 al-Zuhaili. 1984 : 602)
            xii. Muwalat, yakni berturut-turut sehingga antara menyapu 
muka dengan kedua tangan tidak terpisah lama atau tidak terpisah oleh 
sesuatu apa pun di antara fardhu-fardhu tayammum. (Ar-Rahbawi, 'Abdul 
Qadir. 1994: 145) Malikiyyah dan Hanabilah memandang bahawa 
berturut-turut itu merupakan rukun atau wajib tayammum. Namun, Hanabilah
 lebih mengkhaskan pada hadas kecil seperti halnya dengan hukum tertib. 
Selain kewajipan berkesinambungan dalam menyapu anggota tayammum, 
Malikiyyah mewajibkan adanya kesinambungan antara tayammum dengan 
pelaksanaan solat dan ibadah lain dimana tayammum itu diuntukkan 
padanya. (Dr. A. Rahman Ritonga, Dr. Zainuddin Tanjung. 1999: 87)
            xiii. Membaca doa yang dianjurkan di saat membasuh muka dan 
tangan dalam berwudu'. Doa itu dibacanya pula ketika menyapu muka dan 
tangannya dalam bertayammum. Demikian pula disunatkan membaca doa 
sesudah selesai tayammum dengan doa sesudah berwudu', seperti membaca 
dua kalimah Syahadah dan sebagainya.
            xiv. Menghadap kiblat ketika bertayammum.
            xv. Disunatkan melebihi menyapu dari batas siku. (Dr. A. Rahman Ritonga, Dr. Zainuddin Tanjung. 1999: 90)
            xvi. Mengiringi tayammum dengan solat dua rakaat dikiaskan pada wudu'. (Dr. Wahbah al-Zuhaili. 1984 : 602)
Perkara-perkara sunat 
tersebut di antaranya ada yang sunnah dan ada pula yang mandub atau 
anjuran. Barang siapa melakukannya mendapat pahala atas perbuatannya itu
 tetapi yang tidak mengerjakannya pun tidaklah berdosa dan tayammumnya 
tetap dipandang sah. (Ar-Rahbawi, 'Abdul Qadir. 1994: 144-146)
Perkara-perkara Yang Membatalkan Tayammum
1) Perkara yang membatalkan wudu':
Tayammum terbatal oleh 
segala apa yang membatalkan wudu' dan mandi kerana tayammum adalah 
gantian kepada keduanya. (Dr. Wahbah al-Zuhaili. 1984 : 604) Jika 
bertayammum seseorang yang sudah dianggap sah kerana memenuhi 
syarat-syaratnya, lalu dia berhadas, maka batallah tayammumnya. Ini 
adalah kerana tayammum itu bersuci yang dapat menyenangkannya melakukan 
solat, jadi tayammum itu terbatal dengan sebab berhadas sebagaimana yang
 berlaku pada wudu'. Batalnya ini tidak dibezakan antara tayammum dengan
 sebab ketiadaan air atau tayammum ketika ada air seperti tayammum bagi 
orang yang sakit. (Imam Taqiyudddin Abu Bakar b. Muhammad 
al-Husaini.1993: 128) 
Sungguhpun begitu, jika 
seseorang itu bertayammum kerana berhadas besar kemudian terbatal 
tayammumnya tidak akan mengembalikannya kepada hadas besar, akan tetapi 
dia hanya dianggap orang yang berhadas kecil. Maka harus baginya membaca
 al-Quran, masuk ke masjid dan diam di dalamnya. (Al-Juzairi, Abdul 
Rahman. 1411H/1990: 165) Akan tetapi wajib baginya mandi apabila sudah 
ada air atau bila telah hilang sebab uzur yang membolehkannya tayammum. 
Dalam pada itu, golongan Malikiyyah mengatakan, jika orang yang 
bertayammum dari janabah itu berhadas kecil, maka batallah tayammumnya 
dari hadas kecil dan hadas besar sekaligus. Disebabkan itu, haramlah 
bagi orang itu melakukan segala apa yang haram dilakukan oleh orang yang
 junub sehingga ia mengulangi tayammumnya lagi. (Ar-Rahbawi, 'Abdul 
Qadir. 1994: 148)
2) Hilangnya kesulitan yang mengharuskan tayammum:
Di antara yang membatalkan 
tayammum ialah hilangnya kesulitan atau keuzuran yang menjadi penyebab 
boleh bertayammum seperti beredarnya musuh atau binatang buas, hilangnya
 kesakitan dan kesejukan, adanya alat yang boleh menyampaikan pada air 
dan terlepas dari tahanan atau penjara yang tidak terdapat air padanya. 
Ini kerana apa yang mengharuskan tayammum kerana uzur akan membatalkan 
tayammum itu kerana hilangnya keuzuran. (Dr. Wahbah al-Zuhaili. 1984 : 
604)
3) Melihat air dan sanggup memakai air:
Sekiranya seseorang 
bertayammum kerana tidak ada air, kemudian mereka melihat air seumpama 
turun hujan sebelum mereka solat maka batallah tayammum tersebut. (Abu 
Muhammad. t.th: 196) Ini berdasarkan hadis Abu Zarr r.a: (Riwayat Abu 
Daud, (b) 313: 205-206)
          
            Maksudnya:
" Tanah yang baik itu alat bersuci bagi orang Islam, sekalipun tidak 
engkau perolehi air sepuluh tahun lamanya. Maka jika engkau telah 
mendapat air, hendaklah engkau sentuhkan air itu ke kulit engkau, kerana
 yang demikian itu lebih baik bagi engkau. "
Dalam hal ini telah berkata Nafi': (Al-Siddieqy, Prof. Dr. T.M. Hasbi. 1980: 561)
" Ibnu 'Umar telah bertayammum di tempat yang jauhnya dari Madinah 
kira-kira satu atau dua batu sahaja dan bersolat Asar. Kemudian tibalah 
beliau ke Madinah sedangkan hari masih terang, beliau tidak mengulangi 
lagi solat Asarnya itu."
Melihat air atau sanggup 
memakai air yang memadai walaupun satu kali menurut golongan Hanafiyyah 
manakala menurut golongan Malikiyyah dan Hanabilah asal melihat atau 
menemukan air walaupun tidak memadai untuk wudu' atau mandi sudah 
membatalkan tayammum. (Dr. A. Rahman Ritonga, Dr. Zainuddin Tanjung. 
1999: 91) Maka, apabila seseorang itu melihat atau mendapatkan air 
sesudah bertayammum tetapi masih belum solat wajiblah atasnya berwudu' 
untuk bersolat menurut pendapat para Fuqaha'. (Al-Siddieqy, Prof. Dr. 
T.M. Hasbi. 1980: 560) Jika seseorang bertayammum kerana sakit atau 
seumpamanya, bukan kerana ketiadaan air lalu melihat air tidaklah batal 
tayammumnya. (Hj. Osman b. Jantan. 1983: 63)
4) Habis waktu solat:
Hanabilah telah memberi 
tambahan dalam perkara yang membatalkan tayammum iaitu habis waktu 
solat, kerana tayammum dilakukan untuk solat. (Dr. A. Rahman Ritonga, 
Dr. Zainuddin Tanjung. 1999: 91) Maka terbatal tayammum itu secara 
mutlak samada disebabkan hadas besar, atau terdapat najis dibadannya 
melainkan solat jumaat yang tidak membatalkan tayammum apabila habis 
waktu. (Al-Juzairi, Abdul Rahman. 1411H/1990: 165-166)
5) Murtad (riddah):
Orang yang murtad atau 
keluar dari agama Islam membatalkan tayammumnya menurut golongan 
Syafi'iyyah. Ini adalah kerana tayammum itu untuk membolehkan solat, dan
 keharusan solat dengan tayammum itu tidak ada lagi disebabkan riddah. 
Masalah ini berlainan dengan masalah wudu' dan mandi junub, kerana wudu'
 dan mandi junub itu melenyapkan hadas, bukan untuk membolehkan solat 
sahaja. Perlu ditegaskan juga bahawa semua amal ibadat yang dikerjakan 
oleh orang yang murtad itu telah tersia-sia belaka, dan tidak diterima 
Allah S.W.T. demikian pula hilang pahalanya, sedangkan tayammum itu 
termasuk di bawah amal ibadat. (Abu Muhammad. t.th: 198) Akan tetapi 
bagi golongan Hanafiyyah dan yang lain tidak membatalkan tayammum 
disebabkan murtad seperti halnya pada persoalan wudu'. (Dr. A. Rahman 
Ritonga, Dr. Zainuddin Tanjung. 1999: 91)
6) Tempoh yang panjang antara tayammum dan solat:
Tayammum terbatal dengan 
adanya tempoh yang panjang di antara tayammum dan solat menurut golongan
 Malikiyyah kecuali yang lainya. Ini adalah kerana menurut mereka 
muawalat (berturut-turut) di antara tayammum dan solat adalah rukun 
tayammum. (Dr. Wahbah al-Zuhaili. 1984 : 606)
Kaifiat Tayammum
1. Kaifiat tayammum dalam keadaan biasa
Kaifiat tayammum haruslah 
dilakukan mengikut fardhu yang telah digariskan oleh para Fuqaha'. 
Dengan ini haruslah diketahui cara-cara dan kaedah yang betul sebelum 
seseorang itu melakukan amalan tayammum di samping mengenalpasti 
kebolehan untuknya bertayammum itu memenuhi segala syarat atau 
sebaliknya. Harus diketahui juga bahawa cara bertayammum untuk hadas 
besar adalah sama caranya dengan tayammum untuk hadas kecil manakala 
kadar yang dapat dikerjakan dengan sekali tayammum itu ialah satu 
perkara wajib (fardhu) dan beberapa perkara sunat. Berikut ini adalah 
kaifiat-kaifiat untuk bertayammum:
i. Membaca Basmalah sambil 
meniatkan untuk mengharuskan solat, tawaf, menyentuh al-Quran atau 
sebagainya yang dimaksudnya dengan tayammum.
            ii. Kemudian menepuk dua tapak tangan ke debu dengan jari 
terbuka. Setelah ditiup atau dilaga-lagakan kedua-dua tangan untuk 
menipiskan debu-debu yang melekat padanya, lalu disapukan ke muka sekali
 saja. Niat mestilah dilakukan pada permulaan memindahkan tanah ke tapak
 tangan dan hendaklah berkekalan hingga menyapu sebahagian daripada muka
 sebagaimana pendapat Syafi'iyyah. Lafaz niat iaitu:
          
            Maksudnya:
          " Sahaja aku bertayammum kerana mengharuskan fardhu solat kerana Allah Taala".
Cara menyapu muka adalah 
dengan menyapu bahagian atas muka lalu meluncurkan ke bawah manakala 
kawasan muka ialah dari gigi rambut ke bawah dagu dan dari telinga kanan
 ke telinga kiri sebagaimana dalam wudu'. Bezanya ialah, jika dalam 
wudu' wajib menyampaikan air ke celah-celah janggut atau misai yang 
tebal, maka dalam tayammum hal itu tidak diwajibkan menurut mazhab yang 
kuat kerana sukar. (Al-Husaini, Imam Taqiyuddin Abu Bakar b. Muhammad. 
1414H/1993: 124) Kemudian tapak tangan itu ditepuk-tepukkan terlebih 
dahulu untuk membuang debu musta'mal (yang telah digunakan) yang masih 
melekat ditangan.
            iii. Selepas itu ditekap sekali lagi pada debu tadi untuk 
kali kedua lalu ditipiskan dengan meniup atau meneguh kedua-dua tangan. 
Kemudian tapak tangan kanan menyapu tangan kiri hingga ke siku, 
sementara tapak tangan kiri menyapu tangan kanan hingga ke siku. (Hj. 
Osman b. Jantan. 1983: 62) Cara menyapu tangan adalah dengan menyapu 
tangan kanan dengan meletakkan jari tangan kiri selain ibu jari ke bawah
 jari tangan kanan. Kemudian dilurutkan jari-jari tangan kiri hingga ke 
pergelangan tangan kanan dan digenggam sedikit dan dilurutkannya pula 
hingga ke siku. Seterusnya dipusingkan tapak tangan ke bahagian dalam 
siku dan lurutkan ke hadapan sehingga ke pergelangan tangan dan 
kedudukan ibujari dalam keadaan terangkat. Seterusnya melurut ibu jari 
kiri di belakang ibu jari kanan dan begitulah sebaliknya dengan menyapu 
tangan kiri. Seandainya ditengah-tengah mengusap anggota tayammum dia 
terangkat tangannya kemudian dikembalikan semula, hukumnya boleh menurut
 qaul yang rajih dan tidak perlu mengambil tanah lagi. (Al-Husaini, Imam
 Taqiyuddin Abu Bakar b. Muhammad. 1414H/1993: 126)
            iv. Tertib, iaitu mendahulukan menyapu muka, kemudian baru 
menyapu kedua tangan hingga dua siku. (Hj. Osman b. Jantan. 1983: 59-60)
 Manakala menurut golongan Hanafiyyah dan Malikiyyah bahawa tertib itu 
hukumnya sekadar sunat, bukan rukun. (Ar-Rahbawi, 'Abdul Qadir. 1994: 
144)
2. Kaifiat tayammum bagi pesakit berbalut
Bagi orang yang berhadas 
besar atau kecil yang hendak berwudu' atau mandi janabah, padahal ada 
anggotanya yang tidak boleh terkena air, sebagai ganti anggotanya yang 
demikian itu hendaklah ia menyampaikan serta meratakan air ke seluruh 
anggota tubuh badannya yang lain, kecuali anggota yang tidak boleh 
terkena air itu.
 Kaedahnya ialah samada 
bertayammum dahulu kemudian membasuh anggota-anggota yang lain atau 
membasuh anggota-anggota yang lain dahulu kemudian baru bertayammum. 
Kedua-dua cara ini boleh dilakukan kerana tiada disyaratkan tertib bagi 
mengangkatkan hadas besar, sebabnya hukum seluruh badan adalah seperti 
satu anggota sahaja.
 Bagi orang yang berhadas 
kecil yang hendak mengangkat hadasnya padahal ada anggotanya yang tidak 
boleh terkena air, sebagai ganti anggotanya yang demikian itu hendaklah 
ia bertayammum. Apabila sampai membasuh anggota yang tidak boleh terkena
 air itu kerana mengikut tertib. Jika sekiranya ada dua anggota wudu' 
yang tidak boleh terkena air, maka wajib ia bertayammum dua kali. Jika 
sekiranya ada tiga anggota wudu' yang tidak boleh terkena air itu, maka 
wajib bertayammum tiga kali. Tetapi jika keempat-empat anggota wudu' 
kesemuanya tidak boleh terkena air, maka hanya satu tayammum sahaja yang
 wajib sebagai ganti daripada wudu'nya. (Hj. Osman b. Jantan. 1983: 
63-64)
 Sebagai contoh dikemukakan 2 jenis keadaan sakit yang berlainan beserta cara yang betul untuk bertayammum: 
Contoh pertama: Terdapat luka di tangan:
            i. Mula-mula hendaklah dibasuh muka, kemudian bertayammum 
sebagai ganti membasuh tempat luka itu. Kemudian membasuh bahagian 
tangan yang tidak luka, lalu menyapu sebahagian kepala.
            ii. Atau mula-mula hendaklah dibasuh muka, kemudian ia 
membasuh bahagian tangan yang tidak luka kemudian ia bertayammum sebagai
 ganti membasuh tempat luka. Kemudian menyapu kepala, tidak sah jika ia 
mendahulukan tayammum sebagai ganti membasuh anggota tangan yang luka 
itu dengan mengkemudiankan tayammum sebagai ganti membasuh anggota 
tangan yang luka dengan mendahulukan pula menyapu sebahagian daripada 
kepala, kerana tidak ada tertib dalam pekerjaan yang demikian itu.
Contoh kedua: Luka di tangan dan kaki.
            i. Mula-mula hendaklah dibasuh muka dengan air, kemudian 
bertayammum dan membasuh anggota tangan yang baik; ataupun membasuh 
anggota tangan yang baik dan bertayammum kemudiannya. Kemudian menyapu 
sebahagian daripada kepala dengan air dan selepas itu bertayammum lagi 
dan membasuh anggota kaki yang baik; ataupun membasuh anggota kaki yang 
baik dan bertayammum kemudiannya. (Hj. Osman b. Jantan. 1983: 64)
Hikmat Bertayammum
1. Tayammum suatu rahmat Allah kepada hambaNya
Di antara kelebihan Allah 
S.W.T ke atas umat Islam ialah mengangkatnya daripada kesempitan dan 
kesusahan dalam segenap aspek, dan meringankan daripadanya pula. 
Keringanan dan mengangkat kesempitan di dalam tanggungjawab Syari'e amat
 jelas bagi setiap muslim. Maka tidaklah suatu tanggungjawab itu 
merupakan bebanan, atau suatu perintah daripada urusan syariat pula 
menyusahkan manusia untuk melaksanakannya, melainkan terdapatnya rahmat 
dan keringanan daripada Allah S.W.T yang mengangkat bebanan itu 
seluruhnya.
            Hal ini dapat dilihat sebagaimana solat adalah dikecualikan 
kepada perempuan yang didatangi haid dan nifas, puasa dikecualikan 
kepada orang sakit yang berpanjangan, ibadat haji tidak diwajibkan 
kepada yang tidak berkemampuan, peperangan dikecualikan kepada orang 
sakit, lemah, buta dan sebagainya.
Perkara ini dapat juga 
didapati dengan keringanan suatu tanggungjawab mengikut kadar kemampuan 
dan kudrat seseorang tanpa adanya masyaqqah (kesusahan) seperti orang 
yang lemah untuk bersolat sambil berdiri dibenarkan solat dalam keadaan 
duduk, harus mengqasar dan menjamakkan solat bagi musafir dan diharuskan
 juga berbuka puasa di bulan ramadhan dan diqadha' puasa itu selepasnya.
 Sebagaimana firman Allah S.W.T: (Al-Baqarah: 185)
              
              Maksudnya: 
            " Allah menghendaki kemudahan bagimu dan tiada menghendaki kesukaran".
Firman Allah S.W.T: (An-Nisa': 28)
              
              Maksudnya:
            " Allah menghendaki supaya meringankan bagimu (peraturan agama), kerana manusia itu dijadikan dalam keadaan lemah".
 Dengan demikian, ibadat 
tayammum yang sampai perintahnya untuk memukul ke atas tanah untuk 
disapu ke muka dan dua tangan adalah sebagai ganti wudu' dan mandi 
janabah apabila didapati bersih. (Al-Syeikh Hassan Ayub. 1422H/2002 : 
61) Ia merupakan suatu rukhsah (kemudahan yang diberi oleh Syara') bagi 
orang yang tidak boleh menggunakan air kerana sakit atau dalam musafir, 
atau kerana tidak ada air, atau sukar untuk mendapat air.
Hadis Baginda Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan daripada Jabir r.a: (Riwayat Abu Daud, (b) 336: 239)
          
            Maksudnya:
          " Kami telah keluar mengembara maka salah seorang daripada 
kami terkena batu, lalu luka kepalanya, kemudian ia bermimpi jimak maka 
ia bertanya kepada para sahabatnya: Adakah kamu dapati jalan yang 
memberi kemudahan kepadaku untuk bertayammum? Mereka menjawab: Kami 
tidak dapati jalan untuk memberi kemudahan kepada engkau, sedang engkau 
masih boleh menggunakan air. Kemudian dia mandi yang menyebabkan dia 
mati. Kemudian ketika kami sampai kepada Nabi S.A.W. diceritakan 
peristiwa itu kepada Baginda, lalu Nabi S.A.W. bersabda: Mereka bunuh 
dia, Allah akan membunuh mereka. Mengapa mereka tidak bertanya ketika 
mereka tidak tahu. Sesungguhnya ubat keraguan (kebodohan) itu ialah 
bertanya. Sebenarnya sudah memadai (sudah cukup) ia bertayammum sahaja 
dan membalut lukanya. Kemudian disapunya dengan air di atas pembalut 
lukanya tadi dan membasuh semua badannya yang lain."
 Nas-nas tersebut merupakan
 dalil bahawa tayammum itu suatu rukhsah (kemudahan) yang dikurniakan 
Allah bagi orang yang mengalami kesukaran untuk melaksanakan urusan 
agama. Kemudahan ini ialah kerana Allah S.W.T tidak memberatkan dan 
membebankan hamba-Nya dalam melaksanakan urusan tersebut di luar 
kemampuan mereka.(Abu Muhammad. t.th: 182-185) Firman Allah S.W.T lagi: 
(Al-Hajj: 78)
              
              Maksudnya:
            " Dan Dia (Allah) menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama."
 Hikmat bertayammum ini 
termasuk dalam bahagian hikmat ta'abbudi, iaitu perbuatan yang tidak 
diterangkan tuhan hikmatnya, hanya yang dapat diketahui orang 
semata-mata syaratnya sahaja, iaitu agar solat jangan sampai 
ditinggalkan dengan sebab ketiadaan air, padahal ketiadaan air itu hanya
 buat sementara waktu sahaja. Maka dengan mudah sekali orang mencari 
alasan untuk meninggalkan solat. Padahal menurut hukumnya, solat tidak 
boleh samasekali ditinggalkan dalam keadaan macam mana sekalipun. Di 
sini juga, terdapat dua hikmat yang terbesar amalan bertayammum:
i. Menghinakan diri yang condong kepada kejahatan dengan meletakkan tanah ke muka anggota yang paling mulia.
            ii. Menyatakan kemuliaan, syariat Nabi Muhammad S.A.W. yang 
mana tayammum itu tidak dilakukan di masa umat-umat yang terdahulu. (Hj.
 Osman b. Jantan. 1983: 65)
Kesimpulan
Melalui penjelasan yang 
telah dinyatakan di dalam bab ini, dapatlah kita fahami bahawa amalan 
tayammum merupakan antara ibadat yang penting sepertimana juga 
ibadat-ibadat lain yang menjadi kefardhuan kepada umat Islam. Ini adalah
 kerana Allah S.W.T telah menggariskan mengenai syariat bertayammum di 
dalam al-Quran dan Hadis dengan sejelas-jelasnya yang mana ia sebagai 
suatu kemudahan bagi umatNya dalam melaksanakan perintahNya. Ini 
seterusnya membuktikan kasih sayang yang ditunjukkan oleh Allah S.W.T 
kepada hambaNya yang beriman dan beramal soleh.
NOTA HUJUNG
Abu Muhammad. t.th. Panduan Lengkap Tentang Bersuci. t.tp: Jasmin Enterprise.
Ahmad Muhammad Syakir. 1419H/1999. Sunan al-Tirmizi. Jil. 1: Darul Hadis. 
Al-'Asqalani, Al-Imam al-Hafiz Abi al-Fadhli Ahmad bin Ali bin Hajar. 1416H/1996. 
            Fathul Bari Bisyarhi Sahih al-Bukhari. Jil. 2: Dar Abi Hayan.
Al-Daruqutni, al-Imam al-Hafiz Ali bin Umar. 1417H/1996. Sunan al-Daruqutni. Jil. 
            1. Beirut: Darul Kutub al-Ilmiyyah.
Al-Daruqutni, al-Imam al-Hafiz Ali bin Umar. 1422H/2001. Sunan al-Daruqutni. Jil. 
            1. Beirut: Darul Ma'rifah.
Dr. A. Rahman Ritonga, Dr. Zainuddin Tanjung. 1999. Fiqh Ibadah. Kuala Lumpur: 
            Penerbit Edaran Kalam.
Dr. Sameer Taha al-Majzub. 1413H/1993. Musnad al-Imam Ahmad Bin Hanbal: Al-
            Maktab al-Islamiy.
Dr. Wahbah al-Zuhaili. 1984. Al-Fiqhul Islamiy Wa Adillatuhu : Darul Fikr.
Hj. Osman b. Jantan. 1983. Pedoman Ilmu Fiqh. Singapura: Pustaka Nasional Pte. 
            Ltd.
Al-Husaini, Imam Taqiyuddin Abu Bakar b. Muhammad. 1414H/1993. Kifayatul 
            Akhyar. Singapura: Pustaka Nasional Pte. Ltd.
Al-Imam Abi 'Abdullah Muhammad bin Ismail al-Bukhari al-Ja'fi. 1419H/1999. Sahih 
            al-Bukhari: Darul Salam.
Al-Juzairi, Abdul Rahman. 1411H/1990. Kitab al-Fiqhu 'Ala al-Mazahib al-Arba'ah. 
            Jil. 1: Darul Fikr.
M. Abd. Mujieb, Mabruri Tholhah, Syafi'iyah Am (pnys). 1997. Kamus Istilah Fiqh, 
            Selangor: Advance Publication.
Muhammad Ali al-Said. 1969. Sunan Abi Daud. Jil. 1: t.pt.
Al-Quran
Al-Qurtubi, Imam al-Faqih Abi al-Abbas Ahmad bin Umar. 1414H/1993. Talkhis 
            Sahih al-Imam Muslim. Jil. 1: Darul Salam.
Al-Qusyairi al-Nisaburiy, Al-Imam Abi al-Hussain Muslim Ibn al-Hajjaj bin Muslim. 
            1419H/1998. Sahih Muslim: Darul Salam.
Ar-Rahbawi, 'Abdul Qadir. 1994. Salat Empat Mazhab. t.tp: Litera AntarNusa dan 
            Pustaka Islamiyah.
Al-Siddieqy, Prof. Dr. T.M. Hasbi. 1980. Hukum-Hukum Feqah Islam. Kelantan: 
            Pustaka Aman Press Sdn. Bhd.
Al-Syeikh, Dr. Abd. Fattah Hussin. 1411H/1991. Fiqhul Ibadat, t.tp: Ma'ahad al-
            Dirasat al-Islamiyyah.
Al-Syeikh Hassan Ayub. 1422H/2002. Fiqhul Ibadat: Darul Salam.
Al-Syeikh, Soleh bin Abdul Aziz bin Muhammad bin Ibrahim. 1420H/1999. Sunan 
            Ibnu Majah: Darul Salam.