Tips Keselamatan untuk Masalah Menelan
Pengenalan
Sumber: www.hilalazmi.com |
Masalah menelan (dysphagia) boleh
terjadi kepada sesiapa yang pernah menghidap strok, penyakit neurologi
atau saraf (sebagai contoh Parkinson's), kecederaan otak, atau segala
jenis masalah struktur organ menelan seperti kanser tekak atau pangkal
hidung. Masalah tersebut boleh mengakibatkan dehidrasi, lebihan bendalir
tekak atau hidung, dan aspiration (makanan atau minuman memasuki peparu), yang kemudiannya membawa kepada pneumonia (jangkitan peparu) atau juga kematian.
Bagi mereka yang tidak dapat menelan dengan
selamat, penggunaan tiub pemakanan disarankan. Sekiranya Terapis
Pertuturan-Bahasa menyarankan anda mengambil makanan dan minuman secara
oral, terdapat beberapa tips bagi memastikan anda menelan dengan
selamat. Tujuh komponen tips tersebut ialah:
-
Keadaan mental dan fizikal
-
Keadaan sekeliling
-
Posisi
-
Pemilihan jenis makanan
-
Strategi semasa makan
-
Strategi selepas makan
-
Strategi antara waktu makan
Keadaan Mental Dan Fizikal
-
Elakkan makan semasa anda sedang mengantuk, pening atau tertekan.
-
Elakkan makan jika badan anda dalam keadaan sangat lemah atau sukar bernafas.
Sumber: www.cikgudahlia.com |
Keadaan Sekeliling
-
Kurangkan gangguan media elektronik. Ini dapat dilakukan dengan mematikan peti televisyen, radio dan telefon bimbit.
-
Tutup pintu rumah untuk kurangkan gangguan bunyi bising dari luar. Bunyi bising tersebut mungkin berpunca dari kesesakan lalulintas atau kilang berhampiran. Keadaan sedemikian boleh mengganggu konsentrasi sewaktu makan.
-
Elakkan berbual atau ketawa berlebihan semasa makan. Ini boleh menyebabkan anda tersedak atau tercekik makanan atau minuman tersebut.
Sumber: berianipuchong.blogspot.com |
Posisi
BETUL | SALAH |
Pemilihan Jenis Makanan
-
Elakkan makanan yang sukar ditelan seperti roti berkerak, bertih jagung, sayuran mentah, kekacang, dan mentega kacang. Ini kerana makanan tersebut memerlukan pesakit mengunyah dengan cekap dan sempurna.
-
Berhati- hati dengan makanan yang bercampur konsistensi, iaitu makanan yang mengandungi lebih daripada satu tekstur. Sebagai contoh, makanan tersebut mengandungi dua tekstur seperti pepejal dan cecair. Ini boleh didapati dalam makanan seperti bubur kacang atau nasi berkuah
-
Berhati-hati dengan makanan yang boleh cair seperti ais krim. Ini bahaya bagi pesakit yang hanya selamat menelan tekstur pepejal tetapi tidak tekstur cecair.
-
Campurkan pemekat seperti 'thixer' ke dalam minuman bagi menghasilkan konsistensi yang selamat ditelan oleh pesakit sama ada tekstur pepejal, separuh pepejal atau cecair, seperti yang disarankan Terapis Pertuturan-Bahasa anda. Konsistensi yang selamat untuk setiap pesakit berbeza mengikut tahap kecekapan penelanan mereka.
Strategi Semasa Makan
-
Jangan terburu-buru semasa makan. Ambil masa yang secukupnya untuk menikmati juadah.
-
Kunyah makanan sehingga hancur. Ini untuk memudahkan pesakit menelan dan mengelakkan tercekik makanan tersebut.
-
Makan dengan jumlah yang sedikit pada satu masa. Contohnya ambil makanan separuh sudu sahaja bagi setiap suapan sehingga habis makanan.
-
Habiskan menelan setiap suapan sebelum mengisi semula sudu atau garfu dengan makanan.
-
Selepas menelan, periksa mulut untuk memastikan tiada baki makanan atau pil ubat yang tertinggal. Sekiranya terdapat baki makanan atau pil ubat, maka hendaklah dikeluarkan baki tersebut sama ada dengan menggunakan lidah, jari atau mesin penyedut. Selain itu, minum air secara bergilir-gilir dengan makanan juga boleh membantu membersihkan baki makanan atau pil ubat yang tertinggal.
-
Awasi tanda-tanda bahaya seperti batuk, tercekik atau tersedak makanan atau minuman, makanan atau minuman keluar dari hidung, atau berubah keadaan pernafasan. Sekiranya terdapat sebarang tanda tersebut,segeralah berjumpa Terapis Pertuturan-Bahasa yang berdekatan. Ini kerana anda mungkin mengalami masalah penelanan.
Strategi Selepas Makan
-
Elakkan baring 30-45 minit selepas makan. Sebaliknya, lakukan aktiviti fizikal seperti berjalan-jalan, mengemas rumah atau berkebun selama beberapa minit mengikut keselesaan.
-
Bersihkan gigi, gusi,lidah dan gigi palsu sekiranya menggunakan gigi palsu beberapa kali setiap hari. Selain itu, sedut keluar air liur yang berlebihan. Ini bertujuan memastikan organ-organ yang terlibat dengan penelanan sentiasa dalam keadaan bersih.
-
Sentiasa sapu air pada bibir, lidah, dan bahagian dalam pipi untuk memastikan mulut sentiasa lembab.
Strategi Antara Waktu Makan
-
Awasi tanda-tanda seperti batuk, kesukaran bernafas, nafas berbunyi atau laju, sakit dada, berubah kualiti suara atau demam. Sekiranya terdapat sebarang tanda tersebut,segeralah berjumpa doktor yang berdekatan. Ini kerana anda mungkin mengalami masalah penelanan.
-
Lakukan senaman berkaitan penelanan seperti yang diajar oleh Terapis Pertuturan-Bahasa anda. Selain itu, aktiviti bersenam yang lain juga boleh menguatkan otot yang terlibat dengan penelanan.
-
Kekalkan kesihatan badan dan minda dengan membaca, melakukan teka silang kata dan Sudoku, serta pelbagai aktiviti lain.
Sumber: www.kosmo.com.my |
-
Semasa tidur, tinggikan kepala pada sudut 30 darjah untuk mengelakkan aspirasi atau refluks.
Kesimpulan
Adalah penting bagi anda merujuk kepada Terapis
Pertuturan-Bahasa, doktor, atau pegawai dietetik sekiranya mempunyai
kemusykilan atau keraguan mengenai masalah menelan. Selain itu, anda
juga perlu menghadiri temujanji terapi pertuturan atau penelanan bagi
memastikan strategi penelanan, senaman, atau kepekatan makanan dan
minuman anda adalah yang terbaik mengikut keupayaan menelan anda.
Rujukan
-
Feeding a Patient with Dysphagia; retrieved September 18, 2012 from www.hnehealth.nsw.gov.au
-
Sayadi, R. & Herskowitz, J. (2010). SWALLOW SAFELY: How Swallowing Problems Threaten the Elderly and Others. A Caregiver's Guide to Recognition, Treatment, and Prevention. Inside/Outside Press, US.
Semakan Akhir | : | 27 Mac 2014 |
Penulis | : | Siti Suhana bt Mohd Khalid |