Pengenalan
|  | 
| Sumber: www.hilalazmi.com | 
 
Masalah menelan (dysphagia) boleh 
terjadi kepada sesiapa yang pernah menghidap strok, penyakit neurologi 
atau saraf (sebagai contoh Parkinson's), kecederaan otak, atau segala 
jenis masalah struktur organ menelan seperti kanser tekak atau pangkal 
hidung. Masalah tersebut boleh mengakibatkan dehidrasi, lebihan bendalir
 tekak atau hidung, dan aspiration (makanan atau minuman memasuki peparu), yang kemudiannya membawa kepada pneumonia (jangkitan peparu) atau juga kematian.
Bagi mereka yang tidak dapat menelan dengan 
selamat, penggunaan tiub pemakanan disarankan. Sekiranya Terapis 
Pertuturan-Bahasa menyarankan anda mengambil makanan dan minuman secara 
oral, terdapat beberapa tips bagi memastikan anda menelan dengan 
selamat. Tujuh komponen tips tersebut ialah:
Keadaan Mental Dan Fizikal
- 
Elakkan makan semasa anda sedang mengantuk, pening atau tertekan. 
- 
Elakkan makan jika badan anda dalam keadaan sangat lemah atau sukar bernafas. 
|  | 
| Sumber: www.cikgudahlia.com | 
 
Keadaan Sekeliling
- 
Kurangkan gangguan media elektronik. Ini dapat dilakukan dengan mematikan peti televisyen, radio dan telefon bimbit. 
- 
Tutup pintu rumah untuk kurangkan gangguan 
bunyi bising dari luar. Bunyi bising tersebut mungkin berpunca dari 
kesesakan lalulintas atau kilang berhampiran. Keadaan sedemikian boleh 
mengganggu konsentrasi sewaktu makan. 
- 
Elakkan berbual atau ketawa berlebihan semasa 
makan. Ini boleh menyebabkan anda tersedak atau tercekik makanan atau 
minuman tersebut. 
|  | 
| Sumber: berianipuchong.blogspot.com | 
 
Posisi
| BETUL | SALAH | 
| Duduk tegak dan pastikan leher disokong. | Jangan bersandar atau baring semasa makan atau minum. | 
| Duduk tegak dengan kaki rapat ke lantai serta leher disokong. | Elakkan berdiri semasa menyuap makanan atau minuman kepada pesakit kerana boleh menyebabkan pesakit mendongak ke atas. | 
| Semasa menyuap makanan atau minuman kepada pesakit, hendaklah duduk berhadapan dengan pesakit dan pada aras mata pesakit. | Elakkan menyuap pesakit dari arah tepi kecuali disarankan Terapis Pertuturan-Bahasa. | 
| Pastikan kepala tegak atau tunduk sedikit ke bawah apabila minum. | Elakkan terlalu mendongak ketika minum. | 
Sumber: 
www.hnehealth.nsw.gov.au 
Pemilihan Jenis Makanan
- 
Elakkan makanan yang sukar ditelan seperti roti
 berkerak, bertih jagung, sayuran mentah, kekacang, dan mentega kacang. 
Ini kerana makanan tersebut memerlukan pesakit mengunyah dengan cekap 
dan sempurna. 
- 
Berhati- hati dengan makanan yang bercampur 
konsistensi, iaitu makanan yang mengandungi lebih daripada satu tekstur.
 Sebagai contoh, makanan tersebut mengandungi dua tekstur seperti 
pepejal dan cecair. Ini boleh didapati dalam makanan seperti bubur 
kacang atau nasi berkuah 
- 
Berhati-hati dengan makanan yang boleh cair 
seperti ais krim. Ini bahaya bagi pesakit yang hanya selamat menelan 
tekstur pepejal tetapi tidak tekstur cecair. 
- 
Campurkan pemekat seperti 'thixer' ke dalam 
minuman bagi menghasilkan konsistensi yang selamat ditelan oleh pesakit 
sama ada tekstur pepejal, separuh pepejal atau cecair, seperti yang 
disarankan Terapis Pertuturan-Bahasa anda. Konsistensi yang selamat 
untuk setiap pesakit berbeza mengikut tahap kecekapan penelanan mereka. 
Strategi Semasa Makan
- 
Jangan terburu-buru semasa makan. Ambil masa yang secukupnya untuk menikmati juadah. 
- 
Kunyah makanan sehingga hancur. Ini untuk memudahkan pesakit menelan dan mengelakkan tercekik makanan tersebut. 
- 
Makan dengan jumlah yang sedikit pada satu 
masa. Contohnya ambil makanan separuh sudu sahaja bagi setiap suapan 
sehingga habis makanan. 
- 
Habiskan menelan setiap suapan sebelum mengisi semula sudu atau garfu dengan makanan. 
- 
Selepas menelan, periksa mulut untuk memastikan
 tiada baki makanan atau pil ubat yang tertinggal. Sekiranya terdapat 
baki makanan atau pil ubat, maka hendaklah dikeluarkan baki tersebut 
sama ada dengan menggunakan lidah, jari atau mesin penyedut. Selain itu,
 minum air secara bergilir-gilir dengan makanan juga boleh membantu 
membersihkan baki makanan atau pil ubat yang tertinggal. 
- 
Awasi tanda-tanda bahaya seperti batuk, 
tercekik atau tersedak makanan atau minuman, makanan atau minuman keluar
 dari hidung, atau berubah keadaan pernafasan. Sekiranya terdapat 
sebarang tanda tersebut,segeralah berjumpa Terapis Pertuturan-Bahasa 
yang berdekatan. Ini kerana anda mungkin mengalami masalah penelanan. 
Strategi Selepas Makan
- 
Elakkan baring 30-45 minit selepas makan. 
Sebaliknya, lakukan aktiviti fizikal seperti berjalan-jalan, mengemas 
rumah atau berkebun selama beberapa minit mengikut keselesaan. 
- 
Bersihkan gigi, gusi,lidah dan gigi palsu 
sekiranya menggunakan gigi palsu beberapa kali setiap hari. Selain itu, 
sedut keluar air liur yang berlebihan. Ini bertujuan memastikan 
organ-organ yang terlibat dengan penelanan sentiasa dalam keadaan 
bersih. 
- 
Sentiasa sapu air pada bibir, lidah, dan bahagian dalam pipi untuk memastikan mulut sentiasa lembab. 
Strategi Antara Waktu Makan
- 
Awasi tanda-tanda seperti batuk, kesukaran 
bernafas, nafas berbunyi atau laju, sakit dada, berubah kualiti suara 
atau demam. Sekiranya terdapat sebarang tanda tersebut,segeralah 
berjumpa doktor yang berdekatan. Ini kerana anda mungkin mengalami 
masalah penelanan. 
- 
Lakukan senaman berkaitan penelanan seperti 
yang diajar oleh Terapis Pertuturan-Bahasa anda. Selain itu, aktiviti 
bersenam yang lain juga boleh menguatkan otot yang terlibat dengan 
penelanan. 
- 
Kekalkan kesihatan badan dan minda dengan membaca, melakukan teka silang kata dan Sudoku, serta pelbagai aktiviti lain. 
|  | 
| Sumber: www.kosmo.com.my | 
 
Kesimpulan
Adalah penting bagi anda merujuk kepada Terapis 
Pertuturan-Bahasa, doktor, atau pegawai dietetik sekiranya mempunyai 
kemusykilan atau keraguan mengenai masalah menelan. Selain itu, anda 
juga perlu menghadiri temujanji terapi pertuturan atau penelanan bagi 
memastikan strategi penelanan, senaman, atau kepekatan makanan dan 
minuman anda adalah yang terbaik mengikut keupayaan menelan anda.
Rujukan
- 
Feeding a Patient with Dysphagia; retrieved September 18, 2012 from  www.hnehealth.nsw.gov.au
 
- 
Sayadi, R. & Herskowitz, J. (2010). SWALLOW
 SAFELY: How Swallowing Problems Threaten the Elderly and Others. A 
Caregiver's Guide to Recognition, Treatment, and Prevention. Inside/Outside Press, US. 
| Semakan Akhir | : | 27 Mac 2014 | 
| Penulis | : | Siti Suhana bt Mohd Khalid |