Friday, August 24, 2012

Selamat Hari Raya 1433H


 Hari Raya tiba lagi. Isteri sibuk dengan kueh raya dan baju raya, anak-anak sibuk dengan baju raya, ku cuma beraya dengan baju tahun lepas. Tiada serinya raya tahun ini kerana kesihatan ku semakin teruk. Puasa pun ku tak dapat laksanakan tahun ini.

Ku solat raya di surau kampungku. Tahun lepas ku yang baca khutbah tapi tahun ini ku cuma pendengar saja. Kueh pun ku tak sentuh di surau. Ku beraya di rumah ibu. Kemudian ku pulang ke rumah dan mulai terima tetamu. Isteriku menyediakan laksa penang untuk tetamu yang datang. Ku pula terpaksalah layan tetamu walaupun menahan kesakitan di dada.

Sehingga entri ini dah 6 hari ku tak makan nasi. Ku makan apa saja asalkan tak lekat(sangkut) di saluran makanan. Minum air pula menggunakan sudu agar tidak tersedak dan muntah.

30 Ogos ni akan buat endoskopi. Ini dah kali ke-5, kalau ikut, tak mahu rasanya tapi terpaksalah kerana nak dapatkan rawatan.

Ubat kimoterpi pula dah setahun setengah tak makan kerana kerenah birokrasi. Entahlah.

Sekian. Selamat Hari Raya maaf zahir batin.

Thursday, August 9, 2012


Ujian Bertimpa-Timpa
5 Ogos 2012, ku ke klinik surgeri kerana temujanji. Doktor mahu menjalankan endoskopi untuk melihat keadaan di dalam saluran makanan dan perut kerana ku selalu muntah bila makan dan minum. Dada sebelah kanan pula selalu sakit. Prosedur akan dijalankan pada 30 Ogos 2012. Selepas mengambil ubat, ku pulang bersama ibu dengan kereta sewa. Ku tidak pulang ke rumah sendiri tetapi ke rumah ibu.
     Jam 2.00 petang isteri yang baru pulang dari sekolah datang mengambilku di rumah ibu. Bila kami pulang ke rumah, ku dapati pintu dapur terbuka dan pintu bilik utama juga terbuka. Kain baju berselerak. Rumah ku dipecah masuk. Pencuri mengumpil gril di sliding. Anggaran duit tunai dan barang kemas Rm6000.00. Ku buat laporan polis tetapi  sampai entri ini ditulis, mereka belum datang lagi. Keluarga datang menziarahi. Semoga Allah memberi hidayah kepada pencuri dan bertaubat.


Wednesday, August 8, 2012

Ramadan Penuh Cabaran


RAMADAN DATANG LAGI
Mengimbas kembali Ramadan sejak ku dibedah, ku masih ingat lagi pada tahun pertama ku dibedah, iaitu pada tahun 2007, ku dapat berpuasa penuh walaupun ketika itu ku bekerja. Pada tahun 2008 ku Cuma puasa separuh dan terus ditimpa sakit perut. Tuan 2009 merupakan tahun paling lama ku berada di dalm wad dan ku tak puasa langsung tahun tersebut kerana selalu sakit perut. KU telah bayar fidyah untuk puasa yang ku tinggalkan.
Tahun 2010 merupakan tahun yang penuh bahagia buat ku sejak ku sakit. Ku dapat bekerja semula setelah setahun lebih bercuti tetapi tahun ini ku masih tak puasa kerana bimbang sakit perut menyerang lagi apatah lagi pakar kanser juga tak setuju ku puasa. Alhamdulillah tahun ini dapat menunaikan haji dengan sempurna bersama isteri tersayang walaupun terpaksa menggunakan pakej kerana uzur. Sebenarnya ku sudahpun terpilih melalui Muassasah yang kosnya lebih murah.
Tahun ini kesihatanku kembali tidak stabil. Selalu sakit perut dan dada, bila menyerang terpaksalah ke unit kecemasan untuk menghilangkan sakit. Dah 3 kali tahun ini ke Unit kecemasan. Ikutkan hati tak mahu lagi ke hospital bila sakitnya dicucuk drip(jarum) untuk dimasukkan ubat kerana uratku telah kecil akibat kimoterapi.
1 Ogos 2012, sekali lagi ke Unit kecemasan kerna sakit dada. Seperti biasalah, ECG dan drip untuk masuk ubat. Dari pagi sampai petang ku ditahan di sana. Puasa tahun ini hanya dapat dilakukan 2 hari sahaja.

Monday, August 6, 2012

Hari Jadi


Hari Ulang Tahun Kelahiran
10 June 2012 adalah  hari jadiku yang 49. Sudah 5 tahun ku menderita penyakit kanser. Umur ku masih panjang walaupun mengikut doktor orang menghidap kanser jenisku hanya dapat bertahan 6 bulan sahaja.
 Hari ini ku cuba hadir ke sekolah setelah bercuti hampir 50 hari. Sebenarnya tubuhku masih lemah dan tak larat rasanya nak ke sekolah. Sampai di sekolah dengan dihantar oleh isteri(isteri mengajar di sekolah berhampiran) ku ke bilik guru dan bersalaman dengan beberapa orang guru. Ku ke pejabat sekolah bertanya tentang permohonan ubat Sutent. Rupa-rupanya surat dah sampai sebulan tetapi belum diproses. Entah bilalah akan dapat ubat tersebut.
Tiba masa ku ke kelas untuk mengajar. Ku masuk kelas tetapi tak larat lagi nak mengajar. Lambat rasanya masa nak pulang. Jam 2.15 ku pulang dan terus tidur lepas solat. Ku berbaring sepanjang petang dan malam. Sebelah malamnya ku berfikir sama ada nak ke sekolah atau ambil cuti.
Pada sebelah pagi isteri dan anak-anak sibuk nak ke sekolah. Ku jelaskan kepada isteri tak larat ke sekolah. Ku ke hospital mendapatkan cuti. Ku pergi dengan kereta sewa bersama emak. Nak pandu kereta tak larat. Doktor di klinik oncology beriku cuti panjang dan ku kini dalam proses medical board.
Kini ku mengalami masalah selalu sangkut makanan bila makan. Bila muntah baru lega dan barulah dapat makan semula. Ku juga sering sakit dada dan sakit perut. Dah beberapa kali ke Unit Kecemasan HUSM tetapi dibenarkan pulang bila sakit hilang. Kini bila sakit ku Cuma makan Celebrex dan jika masih tak berkesan ku makan pula Arcoxia(ubat tahan sakit)
Bagaimana nak menghadapi hari-hari seterusnya. Ku serahkan kepada Allah.