Tuesday, January 25, 2011

Drama Mengenai Pesakit Kanser






Sekarang sedang ditayangkan drama Hani diTV3 setiap Selasa 9.00 malam. Biasanya selepas Solat Isyak, ku menontonnya bersama isteri jika tiada kerja lain. Drama yang mengisahkan Hani menderita kanser otak. Bukan sahaja Hani yang menderita, tetapi trauma turut dirasai emak, ayah dan adik-beradik, begitu juga insan yang pernah kehilangan orang yang tercinta akibat kanser iaitu Irfan.

Memang begitulah lumrah kehidupan. Hanya mereka yang mempunyai pengalaman menjaga pesakit kanser sahaja yang tahu betapa getirnya hidup menjaga pesakit kanser. Ku pernah rasa betapa tertekannya hidup ketika menjaga arwah isteriku yang menderita kanser payu dara . Dia menderita selama 4 tahun sebelum dijemput menemui Penciptanya. Ku pula dah masuk ke tahun 5 menderita sakit kanser. Entah selama mana dapat bertahan, hanya Allah yang tahu.

Kembali kepada drama Hani. Kita tidak tahu lagi apakah kesudahan drama tersebut. Macam mana skrip akhirnya. Sejak ku sakit, dah banyak drama yang ku lihat bertemakan penyakit kanser. Semuanya berakhir dengan kematian. Seolah-olah penyakit kanser adalah hukuman mati kepada pesakit.

Wahai penulis skrip drama, tulislah skrip yang dapat memberi semangat kepada kami dan keluarga kami untuk meneruskan kehidupan.

Sekian. Wassalam.

No comments: