Oleh : Dr Juanda Jaya (Mufti Perlis)
Suatu hari al-Imam Sufyan al-Thawri berdoa: “Ya Allah aku memohon 
keredaan-Mu.” Tiba-tiba Rabi’ah menegur beliau: “Apakah engkau tidak 
malu meminta reda-Nya sedangkan engkau sendiri belum reda kepada-Nya?” 
Lantas Sufyan menangis sambil mengucapkan lafaz istighfar 
berulang-ulang.
Rabi’ah pernah ditanya oleh seorang muridnya: “Bilakah seseorang itu 
reda kepada Allah?” Beliau menjawab: “Apabila kegembiraannya datang 
ketika dia ditimpa musibah sama seperti ketika dia mendapat nikmat.” 
Begitulah dalamnya ‘hubungan hati’ seorang hamba kepada Allah SWT. 
Kadang-kadang kita tak mahu sesiapapun terguris hatinya oleh tangan 
kita, tetapi pernahkah kita terfikir siapakah yang sesungguhnya paling 
banyak disakiti oleh perbuatan kita? Allah SWT Maha Sabar dan Maha 
Lembut kepada hamba-hamba-Nya, berulang kali kesalahan yang sama 
dilakukan oleh seorang hamba namun Dia Maha Pengampun, Penyayang dan 
Pemurah. Dosa-dosa kita dibalas dengan kurniaan nikmat dan limpahan 
rahmat. 
Hubungan hati seorang hamba dengan Allah SWT terjalin dengan ikatan 
reda. Reda kepada Allah SWT bermakna menerima qadak dan qadar yang 
ditentukan oleh-Nya ke atas diri kita. Umar bin al-Khattab pernah 
berkata: “Aku tidak kisah bagaimana keadaanku pada waktu pagi dan 
petang, sama ada dalam kesulitan atau kelapangan.” Di dalam hadis qudsi 
Allah SWT berfirman melalui sabda baginda SAW yang bermaksud: 
“Mengapakah para kekasih-Ku bersedih terhadap dunia? Sesungguhnya sedih 
kerana urusan dunia dapat menghilangkan manisnya bermunajat kepada-Ku 
daripada hati mereka.”
Tidakkah kita malu merungut atas ketentuan Allah SWT? Tusukan-tusukan
 duri di dalam hati sememangnya menyakitkan, melalui pergaulan kita 
dengan orang lain tentunya ada yang mengecewakan, melukakan bahkan 
mencabar kesabaran. Tidakkah kita sedar semua yang berlaku adalah 
ketentuan Allah SWT? Kena marah suami, dengar leteran isteri, kena 
sindiran bos, melayan kerenah anak-anak, masalah orang gaji, ibu bapa 
yang uzur, kawan-kawan yang dengki dan pelbagai masalah dalam pergaulan 
yang memberi tekanan kepada jiwa dan perasaan kita.
Mengapa seorang mukmin dituntut untuk bersikap reda? Hakikatnya 
syariat Allah SWT disusun untuk mengatur perjalanan hidup manusia. Allah
 SWT menyediakan ubat untuk manusia hidup bahagia. Tanpa ubat ini mereka
 akan sakit dan tertekan oleh cabaran duniawi yang pasti takkan sanggup 
mereka tanggung. Ubat itu adalah ibadah kepada Allah SWT. Benarkah 
ibadah menjadi jalan keluar bagi masalah tekanan jiwa?
Ibadah dalam Islam meliputi dua aspek yang saling berpengaruh antara 
satu dengan yang lainnya. Ibadah zahir seperti sembahyang, puasa dan 
haji. Dan ibadah batin atau hati iaitu melalui sifat reda, sabar, 
tawakal, syukur, malu, takut dan harap kepada Allah SWT. Tanpa ibadah 
batin seseorang akan merasa kekosongan dalam melakukan sembahyang atau 
terpaksa berpuasa dan menunjuk-nunjuk ketika mengeluarkan zakat. Tiada 
kenikmatan dan kemanisan jika melakukan ibadah zahir tanpa disertai 
ibadah batin. Zahir akan berkualiti jika  batin turut berkualiti. 
Demikian juga halnya dengan kekuatan tubuh badan yang pada hakikatnya 
bergantung kepada kekuatan hati. Pakar ahli psikologi banyak melakukan 
kajian tentang mentaliti sihat boleh memberi kesan kepada kesihatan 
jasmani. 
Apabila jiwa reda, hati lapang dan wajah berseri, segala sesuatu 
pasti akan dapat terkawal dengan baik. Melalui ibadat hati ketenteraman 
akan dirasa, tetapi ia tidak semudah yang dibayangkan. Ia perlu kepada 
mujahadah dan mengikut proses tarbiyah ruhiyah yang jalannya mendaki 
tinggi. Sesungguhnya reda kepada Allah SWT adalah satu pintu daripada 
pintu-pintu cinta kepada Allah SWT. Bukankah seorang kekasih sentiasa 
reda ke atas perbuatan kekasihnya? 
Reda bukan bermakna menyerah dan berputus asa kepada takdir, tidak 
mahu berusaha dan berikhtiar untuk mendapat kebaikan dalam kehidupan 
seterusnya. Sifat begini sungguh bertentangan dengan hakikat reda yang 
diamalkan oleh Baginda SAW. Sepertimana perkataan Syaikhul Islam Ibnu 
Taymiyah: ”Rasulullah SAW meminta rasa reda sesudah berlaku takdir 
kerana pada saat itu telah demikian nyata hakikat reda, sedangkan reda 
sebelum berlakunya takdir yang sedemikian itu hanyalah tekad dan 
keinginan untuk reda apabila takdir berlaku kepada diri baginda SAW 
nanti. Kerana sesungguhnya hakikat reda adalah sesudah berlakunya takdir
 yang ditentukan.” 
Reda juga bermakna tidak menentang apa yang ditentukan oleh Allah SWT
 kepada hamba-Nya, bahkan tidak sedikitpun mengeluh atau mempunyai 
keinginan terhadap sesuatupun selain apa yang telah ditakdirkan 
oleh-Nya. Umar bin Abdul Aziz pernah berdoa: ”Ya Allah jadikanlah aku 
reda dengan qadak-Mu dan berikanlah keberkatan di dalam qadar-Mu 
sehingga aku tidak suka mendahulukan sesuatu yang Engkau akhirkan dan 
mengakhirkan sesuatu yang Engkau dahulukan.”
Mengapa seorang hamba sanggup mencela Tuhannya dengan mengatakan: 
”Alangkah baiknya kalau Tuhanku tidak mentakdirkan ini, alangkah baiknya
 kalau hal ini tidak terjadi.” Bagaimana boleh dikatakan ia reda jika 
dia mencela sesuatu pada penciptaan Allah sedangkan Allah tidak mencela 
ciptaan-Nya sendiri.
Cukuplah bagi kita peringatan daripada al-Quran yang bermaksud: 
”Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu.” Surah 
al-Baqarah ayat: 216
Sumber :- 
http://drjuanda.com/