Thursday, November 26, 2009

Takbir Bergema Lagi

Bismillahhirrahmanirrahim.

Firman Allah dalam Surah Al-kauthar,ayat 2 bermaksud:

"Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah"



Nabi S.A.W bersabda bermaksud

"Tidak jua yang dikerjakan oleh manusia pada hari raya yang lebih dicintai Allah dari mengalirkan darah.Dan ia akan datang pada hari kiamat nanti dengan tanduk-tanduknya dan kuku-kukunya dan darahnya yang terjatuh dari Allah di suatu tempat mulia sebelum jatuh ke bumi .Maka ikhlaskan hati berkorban"(HR Tirmizi,Hakim dan Ibnu Majah dari Aisyah)



Sabda Nabi Muhammad S.A.W bermaksud:

"muliakanlah korban kamu kerana ia menjadi tunggangan kamu di titian pada hari kiamat)



Nabi bersabda bermaksud:

"Aku disuruh berkorban dan sunat bagi kamu"

(HR.tarmizi)



SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA



Kelmarin 25.9.09 saya berjumpa pakar Psikologi-kanser iaitu Profesor Madya doktor Hasanah Che Ismail.Dia menyuruh saya meneruskan prosedur fistogram iaitu sejenis ubat akan dimasukkan melalui bisul saya untuk melihat dari mana datangnya nanah yang banyak.Ia akan dilakukan pada 1.12.09. Doktor menggalakkan aku buat fistulogram dan jangan risau jika aku tak dapat ubat RM17,000.00 sebulan. Ia suruh saya banyak makan sayur dan kuatkan semangat.

Monday, November 23, 2009

FISTOGRAM


22.11.09


Hari ini aku ditemani isteri ke Klinik Surgeri, ikut serta Mak isteri saya yang strok. selepas beberapa jam baru dapat jumpa doktor. Doktor Zuhdi memasuk tiub besi ke dalam bisul saya dan saya perlu buat Fistogram(betul ke ejaan?) iaitu ubat kontras dimasukkan melalui bisul untuk mengetahui sama ada bisul itu bersambung dengan perut.


Bisul saya dah agak tertutup, tetapi isinya masih merah dan menggeleber keluar dan ia begitu menyakitkan terutama bila dicuci.


Kini akau dah buat keputusan untuk tidak membeli ubat yang berharga RM17,000.00 sebulan. Aku pasrah dan bertawakkal kepada Allah dengan ubat yang aku makan sekarang yang berharga RM 8380.00 sebulan. Akibat paling buruk ialah mati, semua orang akan mati, tidak boleh tidak cuma kita tak tahu bila, bila sampai masanya ia tak dapat ditangguh walaupun sesaat dan tidak dapat dipercepatkan.


Sekarang ni, jika tak sakit, aku menghabiskan masa membaca kitab-kitab agama dan buku motivasi.

Friday, November 20, 2009

BONE SCAN

19 .11.2009 - Khamis

Hari ini aku cuci awal bisulku. Hujan di luar mencurah, camna nak pergi ke HUSM ni! Kelmarin Misi dah telefon, confirm buat bone scan hari ini. Lepas sarapan dengan makanan biasaku, nasi himpit yang dibeli ayah, aku berpayung dengan Mek(Mak) menuggu teksi. Setelah menunggu berapa lama, teksi sepupuku datang, ok juga tak banyak kerenah kerana saudara. Pemandu teksi nipun satu, kadang-kadang tak mahu pergi ke Husm kerana jem dan ada tak mahu hantar masuk ke klinik.

Tiba di sana, dah ada orang yang menunggu giliran. Setelah sejam menunggu, Doktor India memanggilku dan melihat folderku yang tebal tu. Dia melihat bisulku dan menyuruh aku tunggu untuk dimasuk ubat nuklear. Aku minta kebenaran supaya Misi Kak Lah memasukkan drip(jarum) kerana dia sudah biasa. Risau juga aku kerana semasa di Kecemasan dulu, 25 kali cucuk tak jadi lagi, akhirnya dicucuk di leherku. Hari ini, Alhamdulillah, dengan sekali cucuk kak Lah dah berjaya memasukkan drip.

Selepas diberi ubat, aku kena tunggu 3 jam sebelum diimbas oleh mesin scanning. Masa ini digunakan untuk berbual dengan pesakit lain. Ada misi yang kena kanser paru-paru tahap 4. Kutanya adakah suaminya merokok tetapi dia kata takpun, dah takdir. Seorang lagi kanser urat, dah dibedah belakangnya dan dia pula datang dari Lebir, jam 4 pagi dah bertolak datang. Syukur juga aku kerana setengah jam aku dah sampai. Masa menunggu ini juga aku dikehendaki minum banyak air agar skan nanti nampak jelas.

Jam 2.oo petang baru aku diimbas. Lebih kurang 20 minit aku tidur dalam mesin pengimbas. Ku berdoa moga kanserku tak merebak ke tulang.

Wednesday, November 18, 2009

SELAMAT HARI RAYA EIDUL ADHA

"Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu sebuah sungai di syurga(1)

Maka dirikanlah solat kerana TuhanMu dan berkorbanlah(2)

Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu dialah yang terputus(3)"

Surah al-Kauthar


Hari ini 1 Zulhijjah dan 10 hari lagi kita akan menyambut Hari Raya Eidul Adha. Ianya mengingatkan kita kepada korban Nabi Ibrahim terhadap anaknya Nabi Ismail.Begitu juga Habil yang diterima Allah sedangkan korban Qabil ditolak oleh Allah.


Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar!


Sabda Nabi Muhammad s.a.w. bermaksud:

"Muliakanlah korban kamu kerana ia menjadi tunggangan kamu di titian pada hari kiamat"


Kembali kepada penyakitku, bisulku mulai rasa sakit dan mengikut doktar pakar plastik, hasil ujian tisu, sel di bisulku mengalami kanser dan lukanya sukar sembuh. Memang sedih tetapi pejuang Islam yang diseksa tentera Amerika termasuk seorang rakyat Malaysia di penjara Guantamao Bay lagi teruk. Makanan dimasukkan melalui tiub menerusi hidung, dan entah apa lagi seksaan yang mereka terima. Moga Allah memberi pertolongan kepada umat Islam seperti Allah menghancurkan tentera Abrahah yang cuba menghancurkan Kaabah. Ini diterangkan Allah dalam Surah Al-fiil.

Tuesday, November 17, 2009

TEMUJANJI PAKAR BEDAH PLASTIK

16.11.09

hari ini aku ada temujanji dengan Pakar Bedah Plastik di HUSM. Aku pergi ditemani ibu dan sampai di sana Mak terpaksa menolak aku menggunakan kerusi roda kerana kakiku terasa lenguh sekali. Kaki lenguh ni berlaku dah hampir semingu dan setiap malam keluargaku mengurut betis dan paha. Aku terpaksa minum sirap morfin untuk menghilangkan rasa lenguh

Setelah menunggu sejam, aku dipanggil bertemu doktor. Dia buka pembalut bisulku di dada. Dia cuci dan cuba guna kolonoskopi(macam orang yang buang najis melalui perut) tetapi dibuang semula kerana aku kena cuci luka setiap hari. Dia kata ada sel kanser di bisul ku, dan ia bersambung dengan perut. Kini kanser telah merebak ke kulit selain telah merebak ke hati. Aku pasrah.

Onkologist cadang aku tukar ubat dari gleevec(imatinib) di Suttent(sunatinib) tetapi malangnya aku tak diterima dalam Suttent Assistance Program kerana aku pegawai kerajaan, kena beli sendiri dan buat tuntutan kerajaan. Aku enggan buat begitu kerana pengalaman beli gleevec dulu, 4 bulan baru dapat claim sedang harga ubat RM 17,000.00 sebulan. Mana nak korek duit sebanyak itu kerana ubat perlu dimakan berpanjangan. Hari khamis ni aku nak buat skan tulang pula. Aku Pasrah.

Sekarang aku sedang membaca kitab La Tahzan (Jangan Bersedih) yang berharga RM49.00. Buku ini laris di Timur Tengah dan Indonesia, ia bagus bagi mengubat hati yang sedih.

Setiap penyakit penyakit ada ubatnya, kita belum temuinya lagi. Wassalam

Thursday, November 12, 2009

TUKAR UBAT

















PROSEDUR ENDOSKOPI YANG TELAH 5 KALI AKU MENJALANINYA. Sakit jugalah kerana dalam keadaan sedar, tapi terpaksalah untuk lihat perut.


Aku terima panggilan dari Suttent Assistance Program iaitu sebuah pertubuhan yang memberi ubat percuma kepada pesakit kanser. Aku telah hantar semua dokumen diperlukan tetapi dia menyatakan aku tak layak kerana aku pegawai kerajaan, kena minta dari kerajaan. Aku dah serik buat tuntutan dari kerajaan semasa membeli ubat glivec dahulu, sehingga sekarang dah dua tahun, tuntutan sebanyak rm 34,000.00 masih belum dibayar, apatah ubat baru ini, sunatinib yang berharga RM 17,000.00 sebulan. Jadi aku ambil keputusan untuk terus makan ubat glivec yang dapat percuma dari kementerian kesihatan. Mak pergi ambil ubat tu hari ini.

Bisul di dadaku semakin sembuh, tetapi nanahnya masih banyak dan keluar angin melalui lubang nanah tersebut. Aku cuci 2 kali sehari. Satu lagi ialah lenguh melampau di kaki,betis dan paha sehingga isteri,mak,ayah dan anak selalu keni picit. aku makan ubat tahan sakitpun masih tak hilang,akhirnya aku minum sirap morphine yang dibekalkan doktor, baru reda sedikit.

"Dan kepada Tuhanmu hendaklah engkau berharap" Al-Insyirah

Thursday, November 5, 2009

TUKAR UBAT

Dr.Biswal, pakar kanser memberitahu bahawa aku dimasukkan dalam Suttent Assistance Program dan akan dapat ubat baru, Sunatinb secara percuma. Malangnya syarikat ubat Axios masih belum meluluskan kerana aku pegawai kerajaan walaupun aku dah poskan dokumen yang diperlukan. Ya Allah Ya Razak, engkaulah pemberi rezeki, jika engkau takdirkan ubat itu dapat menyembuhkan sakitku, maka aku rayu padaMu Ya Allah berilah ubat itu kepadaku secara percuma kerana aku tak mampu untuk membelinya kerana kosnya melebihi RM 10,000 sebulan.

Bisul di dadaku juga belum sembuh, tiap-tiap hari kena cuci, dulu di klinik Bachok tetapi kini kucuci sendiri dengan bekalan peralatan dari klinik.

Sekian dulu,takut radiasi komputer,

Wednesday, October 21, 2009

.....Dan kepada Tuhanmu, berharaplah.



Gambar ini diambil setelah 2 minggu keluar wad, kelihatan ianya semakin sembuh. Terima kasih kepada Misi-Misi di Klinik Kesihatan Bachok yang tak jemu-jemu mencuci lukaku setiap hari dengan ramah tamah, begitu juga dengan M.A(Medical Assistance).

Hari ini aku pergi ke klinik Bachok lagi dan ikut sama anak sulungku kerana dia mengidap demam campak. Ramai pula tamu yang datang ke rumah hari ini termasuklah Cikgu Tg.Azmi yang akan mengerjakan haji tahun ini. Ku pohon padanya supaya doakan kesembuhanku di Tanah Suci nanti. Juga di doakan semoga dia mendapat haji yang mabrur.

Entah kenapa sejak ku sakit, sukar benar untuk melelapkan mata, hingga kadang-kadang terpaksa telan diazapam.

Hari Ahad depan, saya akan berjumpa Pakar Bedah, mungkin keputusan CT Scan dah dapat, dan dapatlah tahu status kanserku. Moga Allah memberi kesembuhan kepadaku. Amin.

Firman Allah dalam Surah Al-Insyirah bermaksud:

"1.Bukankah Kami(Allah) telah melapangkan dadamu(ya Muhammad).

2.Dan telah Kami ringankan bebanmu yang berat

3.Yang memberati belakangmu,

4. Dan Kami telah meninggikan bagimu sebutan namamu

5. Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai

kemudahan.

6.(sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran

disertai kemudahan.

7.Kemudian apabila engkau telah selesai(daripada sesuatu amal soleh), maka

bersungguh-sungguhlah engkau berusaha(mengerjakan amal soleh yang

lain)

8.Dan kepada Tuhanmu maka hendaklah engkau berharap"

SESUNGGUHNYA DUNIA INI TEMPAT UJIAN ALLAH


Ini birasku yang banyak membantu kami sekeluarga sejak daku sakit. Banyak dulu daku yang uruskan kini dibantu olehnya. Pun begitu ramai lagi keluargaku dan keluarga isteriku yang memberi sokongan dan bantuan kepadaku sekeluarga.
28 September 2009 daku keluar wad 2 Intan HUSM. Gembiranya hati dapat pulang dan melihat rumah yang dah 2 minggu di tinggalkan. Rumput menjalar di sekeliling rumah walaupun kalau tak silap Hari Raya ke 6. Biskut yang isteri tempah belum terusik, jadi tetamu yang datang menziarahiku dapatlah lagi merasa biskut raya.


Sejak keluar hospital, setiap hari daku kena cuci luka di dadaku di Klinik Bachok dihantar oleh birasku. Ibuku pula sentiasa menemaniku, isteriku tidak dapat menghantarku kerana ia bekerja, kecuali hari Jumaat dan Sabtu, barulah isteriku dapat membawaku ke klinik Bachok.


Lukaku dah semakin sembuh, cuma nanahnya masih banyak hingga kadang-kadang meleleh keluar, terpaksalah daku sendiri tambah kapas dan kain kasa.

Ku sendiri gerun pada mulanya untuk melihat luka di dadaku kerana ianya agak dalam dan ada lubang di tengahnya. Melalui lubang itulah keluar nanah dan angin(smell too stink). Inilah dugaan yang harus kutempuhi.


Ku tak dapat lagi menahan air mata bila solat, berdoa dan membaca Quran dan terjemahannya. Begitu kerdilnya kita di dunia yang fana ini. Sesungguhnya kita semua milikNya dan sebagai hamba, kita terimalah semampu kita. Firman Allah dalam surah al-Mulk ayat 1 - 2 bermaksud:


"Maha suci(Allah) yang di tanganNya kerajaan(pemerintahan) dan Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Yang menjadikan mati dan hidup supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalannya
dan Dia Maha Perkasa lagi Pengampun"

Sunday, October 18, 2009

ALTERNATIVE TREATMENT

Memang banyak perubatan alternatif yang kita dengar, termasuklah pelbagai produk. Saya dulu pada tahun 1997 iaitu baru sebulan lepas pembedahan telah makan alphalipid yang diperkenalkan oleh nazir yang melawat sekolah dan harganya RM 150.00 setin tetapi selepas makan 5 tin, sel kanser saya makin merebak dari 2cm di hati kepada 4 cm , 6 cm dan 7 cm. Keputusan ini dilihat melalui CT SCAN. Doktor Yus, pakar kanser melarang saya mengambil sebarang produk, turut saya arahan doktor, dan sejak itu saya berhenti memakannya. Pada pendapat saya, alfalipid mengandungi susu awal lembu yang menggalakkan pertumbuhan sel dan sel kanser turut subur.

Saya mengikut nasihat doktor dan makan ubat glivec walaupun saya terpaksa mengeluarkan duit saya dulu sebanyak RM 8380 sebulan dan banyak procedur yang terpaksa dilalui. Pernah dos saya dinaikkan kpd 600 mg dan kosnya meningkat sehingga RM 12880.00 sebulan. Saya bayar dua bulan dengan duit saya, duit KWSP dikeluarkan, duit tabung haji dikeluarkan, kerana nak harapkan claim, 3 bulan baru dapat, jadi tak sempat nak rolling duit. Alhamdullillah, dengan pertolongan Dr.wan Yus Hanif, saya di rujuk ke HRRPZII dan bertemu dengan Dr.Othman. Dr.Othman telah berusaha supaya saya dapat ubat percuma dan akhirnya mulai januari 2008 saya mendapat ubat percuma dari Hospital Besar Kota Bharu(HRPZII) hinggalah sekarang.

Dalam puasa lepas dan sehinga seminggu lepas raya(beraya dalam wadlah tahun ini), saya diberitahu bahawa Dr. Biswal , Pakar Kanser yang diimp0rt dari India mahu ganti ubat glivec dengan Sutent yang harga RM12000.00 sebulan. Minggu lepas syarikat ubat Axios menghantar borang bagi membolehkan saya mendapat ubat percuma melalui Sutent Assistance Program. Saya telah menghantar slip gaji, geran tanah, skd rumah dll, lagi dan harapnya permohonan saya diluluskan kerana jika ubat itu perlu dibayar, saya tak sanggup lagi.

Berbalik kepada rawatan alternatif, kini saya makan jus mahabbah(jus tokguru), biodisc dan talbinah yang dibeli dari Ustaz Syukri.

Saya juga mendapat rawatan perubatan Islam dan sehingga kini dah 30 orang Ustaz telah dilawati. Kadang-kadang masa menunggu begitu lama, contoh Us.Khairi di Tanah Merah, saya datang jam 3.00 petang tetapi jam 3 pagi baru dapat berjumpa untuk mendapat rawatan darinya.

Saya juga pernah ditawarkan belah batin oleh saudara mara tetapi buat masa ini saya masih waras.

Buat sahabatku semua, terima kasih kerana sudi melawatku di wad walaupun dihari raya. Terima kasih kepada Meli, Us.Mokhtar, Razali, Che Rohani, Cikgu Azizah dan ramai lagi yang tak larat saya nak tulis di sini.

Buat cikgu Adnan, terima kasih kerana menjemputku ke kenduri dirumahnya dan disediakan ikan bakar dan sayur air. Maaf kerana saya muntah di rumah anda.

Tuesday, October 13, 2009

Sabar itu senang diucap sukar dipraktik

Kini sudah 2 minggu aku keluar wad. Begitu tersentuhnya hati bila tidak dapat beraya di rumah, pun begitu aku amat berterima kasih kepada saudara mara dan para sahabat yang sanggup datang menziarahiku di hospital pada hari raya. Ku pohon maaf jika layanan tak seberapa kerana kesakitanku yang amat menyeksakan, dahlah makan minum tak boleh, tiub pula di hidung dan asyik muntah saja.

Kesian isteriku, dia telah tempah biskut raya tapi beraya di hospital. Mak ku pula menjagaku dan tidur bersama isteri di wad. Memang sedih hidup ini pun begitu ku tetap tabah menghadapinya dalam linangan air mata. Allah telah memberiku hidup lagi sudah cukup bersyukur kerana ramai yang senasib denganku telah di panggil menemuiNya. Bila tiba giliranku, aku serah kepada Allah, cuma ku pohon padaMu masukkan aku dalam kalangan orang yang soleh bila Engkau menjemputku nanti.

Kini setiap hari aku terpaksa ke klinik berhampiran untuk cucu luka di dadaku. Lukanya dah semakin pulih tetapi nanahnya masih banyak hingga bocor kain balutan luka.

UCapan terima kasih tak terhingga kepada Abe Zie kerana sudi menghantarku ke klinik tiap-tiap hari, jika tidak aku terpaksalah tunggu kereta sewa bersama Mak.

Saturday, October 10, 2009

CABARANKU MAKIN HEBAT

Tahun ini merupakan tahun yang paling menyedihkan sejak aku sakit kerana pada tahun ini aku terpaksa beraya di hospital. Sebenarnya aku sudah dimasukkan ke wad 3S kerana bisul yang naik di dadaku membengkak dan begitu sakit sekali.. Setelah beberapa hari dalam wad, bisulku pecah dan hanya dicuci oleh jururawat. Aku diberi morfin bagi menahan sakit sehingga aku khayal, cakapku tidak jelas, tak tahu arah kiblat dan lain-lain kesan negatif morfin.



Selepas bisul ku pecah, doktor membenarkan ku balik, aku gembira kerana hari raya tinggal 2 hari lagi. Ingin sekali aku beraya di surau kampungku kerana sudah lama benar aku tidak ke musalla kerana penyakit kanser yang aku tanggung. Malangnya pada malam sehari sebelum raya, perutku sakit melampau, bila tak tahan lagi di rumah, walaupun dimakan sirap morfin, aku dibawa oleh isteriku ke Unit Kecemasan HUSM pukul 300 pagi.



Sebenarnya aku dah serik ke HUSM kerana apabila doktor mahu memasukkan jarum ke dalam urat, ianya begitu menyakitkan dan biasanya selepas 3 atau 4 kali cucuk jarum baru drip dapat dimasukkann. Dari situlah air dan ubat tahan sakit dimasukkan.



Sesampainya di Husm, 6 orang doktor cuba memasukkan jarum dalam tubuhku tetapi tak berjaya, aku dah tahan lagi sakit dan meminta doktor bius saja. Akhirnya doktor pakar datang dan cucuk jarum melalui urat dileherku, sakitnya jarum yang dicucuk dileherku tak begitu terasa sakitnya kerana sakit perutku melebihi segalanya. Aku bertakbir untuk menahan sakitku.



Aku memberitahu doktor bahawa aku alergik dengan ubat tahan sakit maxilone, cuma kytril yang sesuai untukku. Selepas dimasukkan ubat tahan sakit dan beberapa jenis ubat lain, sakitku semakin reda.



Malamku aku tak dapat tidur, aku kesian kepada anak dan keluargaku kerana bersahur di hospital. Pagi esoknya ayah dan anakku pulang ke rumah dan aku ditemani oleh isteri dan emakku, dua orang yang sentiasa di sampingku bila ku sakit.



Paginya aku dilakukan ultrasound. Bila skanernya diletakkan dibisulku, aku rasa macam terkena renjatan elektrik, ini menyebabkan jurutekniknya hanya melakukkan ultrasound di kawasan lain.



Paginya bisulku ku dicuci oleh Dr.Fatin, sakitnya tak terkata, doktor menghirisku kulitku yang dijangkiti untuk mengelakkan bisulku merebak.

Selepas 15 minit, baru selesai dan aku menarik nafas lega.



Aku masih tak selesa kerana tiub dimasukkan melalui hidung dan menyebabkan tekakku merasa geli.Dah 4 hari aku tak makan dan minum, cuma bergantung kepada air dan ubat antibiotik dan gastrik yang dimasukkan melalui saluran darah.



Hari raya , lepas solat semua keluargaku datang. waris-waris turut datang, begitu juga kawan-kawanku. terima kasih semua tetapi aku minta maaf kerana tak dapat berbual panjang kerana masih lemah.



Raya ketiga, Dr. Mehboob Alam Pasya, seorang pensyarah dan doktor pakar melawatku dan memberitahu akan melakukan endoskopi. Aku terkejut kerana aku dah serik buat endoskopi, ini kali ke 5. Ia begitu menyakitkan bila wayar yang ada kamera di hujungnya dimasukkan ke dalam mulut dan seterusnya ke perut bagi melihat sebarang luka dalam perut.



Raya ke 4, Dr.Pasha membuat endoskopi, aku muntah bila dimasukkan wayar, aku tahan juga hinggalah prosedur selesai selepas 15 minit.



Hari ini aku dibenarkan minum air saja. Setiap kali aku melihat orang membawa air, tekakku terasa haus sekali tetapi terpaksa bersabar. Esoknya aku dibenarkan makan soft diet.



Hari kelima raya aku dibenarkan pulang dan mesti cucu luka tiap-tiap hari di klinik Bachok.



Bersambung kerana aku tak berani lama-lama mengadap komputer takut kepada radiasinya.